Loading...
Gambar hiasan |
Bagi yang masuk ke tahun satu pastinya berdebar-debar untuk menjejakkan kaki ke alam sebenar persekolahan kerana sebelum ini mereka hanya berada di ruang litup prasekolah yang pasti berbeza persekitarannya.
Orang paling sibuk setiap kali sesi buka sekolah tentulah ibu bapa yang seboleh-bolehnya mahu memberi kan yang terbaik kepada anak-anak terutamanya dari segi pakaian seragam dan peralatan.
Cuma penulis tersentuh hati apabila seorang rakan memberitahu, masih ada ibu bapa yang tidak menjelaskan wang sumbangan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) bagi tahun 2017 di sebuah sekolah di Selangor biarpun kini sudah penghujung tahun.
Cerita rakan penulis, minggu lepas, ketika melalui kawasan sekolah berkenaan, dia ternampak kain rentang yang memaparkan tulisan: “Terima kasih kepada mereka yang telah menjelaskan sumbangan PIBG. Kepada yang belum, bila lagi?”
Meskipun sumbangan berkenaan tidak wajib, namun sekurang-kurangnya ia sedikit sebanyak dapat menampung aktiviti melibatkan murid-murid sepanjang tahun persekolahan.
Menurut rakan penulis lagi, kebanyakan ibu bapa di sekolah berkenaan bukanlah dikategorikan sebagai orang susah memandangkan kereta yang dipandu mereka ketika mengambil anak-anak pulang sekolah bukan calang-calang.
loading...
Jadi, tidak adil kepada mereka yang telah menjelaskan sumbangan berkenaan. Lagipun, sumbangan tersebut agak berpatutan dan tidak sampai pun RM5 sebulan jika hendak dibayar secara ansuran.
Mungkin ada ibu bapa yang susah, tetapi mereka boleh datang ke sekolah untuk berbincang mengenai perkara tersebut.
Apa yang lebih menyedihkan, terdapat dalam kalangan bapa yang mampu membeli barang tidak berfaedah seperti rokok, tetapi berkira apabila melibatkan kepentingan pembelajaran anak-anak.
Sebenarnya, kadar sumbangan bergantung kepada apa yang disyorkan oleh ibu bapa sewaktu mesyuarat PIBG dan mendapat persetujuan majoriti ketika mesyuarat berkenaan.
Sumbangan PIBG adalah hasil sumbangan daripada ibu bapa kepada persatuan dan ia bukannya yuran. Pihak sekolah tidak pernah mengenakan sebarang yuran kepada ibu bapa atau murid.
Boleh dikatakan ramai yang tidak berpuas hati dengan kadar sumbangan PIBG hakikatnya tidak pernah menghadiri mesyuarat tetapi bertindak membuat ‘bising’ ketika mendapat tahu mengenainya ketika sesi persekolahan dibuka.
Dalam perkembangan lain, seorang lagi rakan penulis berasa amat terkilan selepas seorang pengawal keselamatan di sebuah tempat penginapan di Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan tidak membenarkan dia menunaikan solat Asar di surau di kawasan terbabit.
Menurut rakan penulis itu, ketika itu dia dan keluarga bersiap-siap untuk menjalankan aktiviti riadah mendaki sebuah bukit yang agak terkenal di situ.
Apa yang menyebabkan dia terkilan adalah sebelum ini pengawal keselamatan di situ membenarkan orang luar menumpang solat.
Disebabkan tiada kemudahan surau lain di kawasan berkenaan dan bimbang tidak sempat menunaikan solat ketika turun dari bukit berkenaan, dia terpaksa menunaikan solat berlapikkan baju hujan yang dibawa di tepi hutan.
Sumber: Kosmo!
Loading...
0 Response to "Jelaskanlah Wang PIBG Walaupun Tidak Wajib"
Posting Komentar