Loading...

Lebuhraya Rakyat: Menunggu YB Hanifa Ahmad Di Mahkamah Sebelum PRU (Bhgn 3)

Loading...

Menteri Besar Kelantan menanda tangani Perjanjian Penyelesaian/Settlement Agreement dengan syarikat-syarikat terlibat dengan pembinaan Lebuhraya Rakyat pada 14 Mac 2017. Lihat muka depan perjanjian dipaparkan.

 Mungkin inilah yang dirujuk oleh YB Dato Hanifa sebagai penyerahan secara persetujuan bersama dalam kenyataan media beliau Rabu lalu. 

 Namun, Settlement Agreement ini wujud kerana adanya ‘pertikaian’ sebelumnya. 

 Sesuatu penyelesaian tidak akan wujud tanpa ada pertikaian. 

 Perjanjian Penyelesaian Bersama ini hanya berlaku selepas salah satu syarikat terbabit dalam pembinaan ini telah memfailkan saman Memohon Injunksi ke atas Kerajaan Kelantan. 

Permohonan injunksi ini dibuat ekoran surat dan notis-notis dari Kerajaan Negeri seperti berikut: 

a. Notis Amaran dari JKR Kelantan bertarikh 20 Disember 2016. Rujukan JKR(M).D>9300/45 

b. Notis Untuk Tujuan Penamatan Pengambilan Kontrak Kerja Kontraktor dari Pengarah JKR Kelantan bertarikh 1 Februari, Rujukan JKR.M.(D)9300/45 – kepada TKSB China Railway. 

Penyelesaian Bersama tidak datang tiba-tiba secara otomatik tanpa latar belakang ini. 

 Ini yang gagal diterangkan oleh YB Hanifa dalam kenyataan media beliau. Dengan itu seolah-olah saya menyatakan sesuatu yang tidak betul dalam soal penamatan kontrak syarikat-syarikat berkenaan. 

 Alhamdulillah, semua dokumen berkaitan telah saya teliti sebelum saya membuat kenyataan pada Forum 28 Disember itu. 

 Saya pohon YB Dato Hanifa merujuk dokumen Settlement Agreement bertarikh 14 Mac tersebut sekali lagi, di bawah item 4 (a) dan 4 (b) pada muka surat 5. Saya paparkan petikan berkenaan di sini, untuk memperingatkan YB Dato Hanifa kedudukan yang sebenar.


 Item 4(a) menyatakan Kerajaan Negeri mengarahkan untuk menarik balik semua notis-notis yang telah dikeluarkan oleh JKR Kelantan kepada syarikat. Sebagai balasan, TKSB China Railway akan menarik balik Permohonan Injuksinya ke atas Kerajaan Kelantan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu! 

 Tindakan mahkamah itulah yang telah membawa kepada persetujuan Kerajaan Kelantan dengan penyelesaian bersama. 

 Pada muka surat yang sama, hasil Penyelesaian Bersama ini, Kerajaan Kelantan akan membayar RM 8.3 juta meliputi RM 5 juta kepada TKSB China Railway 11 dan RM 3.295 juta kepada HRA Teguh. Bayaran kepada TKSB China Railway akan dipecahkan kepada dua kali pembayaran.


 (II)  Soalnya, jika TKSB China Railway merupakan satu-satunya syarikat yang dilantik oleh Kerajaan Negeri yang telah dapat menyempurnakan hampir 30% kerja pembinaan dalam masa yg singkat, mengapa syarikat ini tidak diberikan kerjasama untuk menyiapkan projek? 

 Sungguh pun JKSB telah menarik diri, kelihatan TKSB China Railway masih berminat untuk meneruskan pembinaan sebelum kontrak dipersetujui bersama untuk ditamatkan. Selepas syarikat ini ditamatkan, sebuah syarikat baru dilantik hampir serta merta selepas penamatan bersama itu. Adakah syarikat ini mempunyai lebih kemampuan? Apakah prestasi mereka? Adakah YB Dato Hanifa bersedia melaporkan secara terbuka kepada Rakyat Kelantan prestasi syarikat berkenaan? Setakat makluman saya, prestasi pembinaan kini hanya pada purata 1% sebulan! Alahai! 

 Jika syarikat ini meneruskan pembinaan atas kadar 1% sebulan, Rakyat Kelantan hanya akan dapat menggunakan 10 km Lebuhraya ini hampir 6 tahun akan datang. Kalau terhenti sekali lagi separuh jalan? 

 Syarikat baru ini difahamkan memohon untuk mendapat Jaminan Kerajaan untuk membolehkan ia mendapat pinjaman dari institusi kewangan bagi melaksanakan pembinaan. 

 Soalnya, jika Jaminan Kerajaan diberikan kepada syarikat ini, kenapa ia tidak ditimbangkan kepada syarikat sebelumnya yang terbukti lebih berkesan? 

 Saya bimbang, jika pembinaan sekali lagi terbengkalai, apa yang telah dibina sebelum ini akan rosak dan memerlukan pembinaan baru yang akan menelan lebih banyak kos.

 Saya ragu, keputusan-keputusan kerajaan dalam isu ini dibuat berdasarkan pertimbangan yang saksama. Lebih parah lagi, jika keputusan-keputusan itu dibuat atas nasihat yang salah atau atas pertimbangan kepentingan tertentu di luar maslahah sebenar. 

InsyaAllah, saya akan terus memantau bagi kebaikan bersama Rakyat Kelantan. Semua dokumen yang diperlukan untuk menghadapi saman yang diugut oleh YB Dato Hanifa telah disediakan. Termasuk dokumen pembayaran ‘nafkah politik’. Saya berharap dapat bertemu beliau di mahkamah sebelum PRU akan datang. Terpulang untuk rakyat menilai nanti. 

YB Dato Husam Musa 
6 Januari 2018 ADUN Salor ~ sumber
Loading...

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "Lebuhraya Rakyat: Menunggu YB Hanifa Ahmad Di Mahkamah Sebelum PRU (Bhgn 3)"

Posting Komentar