Loading...

PAS, UMNO sama kuat di Kelantan

Loading...
DETIK DAILY


 Oleh Prof Madya Dr Mohd Noor Yazid

KELANTAN ialah negeri kedua terbesar peratus pengundi Melayu iaitu sebanyak 94.5 peratus, selepas Terengganu, 95.92 peratus. Kuasa politik di Kelantan sepenuhnya terletak di tangan pengundi Melayu.

PAS ialah kuasa politik paling dominan di Kelantan sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 1990 sehingga sekarang. Tidak dapat dinafikan PAS mempunyai pengaruh kuat di Kelantan, khususnya ketika pentadbiran Kelantan di bawah pimpinan Datuk Nik Aziz Nik Mat yang menjadi Menteri Besar (1990 hingga 6 Mei 2013).

Beberapa perkembangan berlaku selepas pemergiannya. PAS keluar Pakatan Rakyat. PAS bergolak dan Parti Amanah Negara (PAN) dibentuk. Pakatan Harapan menggantikan Pakatan Rakyat. Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin menyertai Pakatan Harapan.

Fokus utama dalam perbincangan ini ialah politik Melayu Kelantan. Parti politik manakah yang akan menguasai politik Kelantan selepas PRU-14 nanti? Adakah PAS akan terus berkuasa atau parti politik baharu akan mengambil alih kuasa politik Kelantan? Kalau parti politik baharu, parti politik yang mana satu; UMNO atau Pakatan Harapan?

Bagaimanakah dengan nasib PAS jika parti politik baharu itu berkuasa? Adakah akan berlaku pertandingan satu lawan satu atau berlaku pertandingan tiga penjuru dalam PRU-14 di Kelantan nanti? Sejauh manakah kerjasama politik PAS dan UMNO akan berlaku? Soalan ini wajar difikirkan bersama-sama oleh semua yang terbabit dalam politik, khususnya politik Kelantan.

Dalam kedudukan sekarang, PAS terkuat dalam DUN Kelantan dengan 31 anggota, diikuti BN/UMNO seramai 12 anggota, manakala PAN dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) masing-masing satu anggota. Berjayakah PAS mengekalkan kerusi majoriti melalui PRU-14 nanti?

PAS dapat 31 kerusi DUN

Dari segi bilangan kerusi DUN melalui PRU-13 lalu, PAS mendapat 31 kerusi DUN (seorang anggota DUN keluar, iaitu anggota DUN Salor dan menjadi anggota PAN). Jumlah 31 ini besar berbanding 45 kerusi keseluruhan.

Jika diteliti, ada tujuh kerusi DUN dimenangi PAS dengan majoriti kecil iaitu Jelawat (102 undi majoriti), Gaal (302 undi), Gual Periok (615 undi), Bukit Tuku (879 undi), Pulai Chondong ( 919 undi), Tendong dan Wakaf Baru (masing-masing 978 undi majoriti).

Kemenangan calon PAS dengan majoriti kecil ini tidak benar-benar selamat. Kemungkinan sukar bagi PAS mengekalkan kerusi yang menang dengan majoriti kecil. Dengan struktur parti politik baru berubah akan memungkinkan berlaku pertandingan tiga penjuru yang meluas di Kelantan.

Penulis berpendapat, pertandingan tiga penjuru atau lebih tidak akan memberi kesan positif bagi pihak PAS. Peluang akan lebih terbuka kepada pihak UMNO untuk menang kerana penyokong PAS berpecah kepada dua, iaitu PAS dan PAN (Pakatan Harapan). Walaupun begitu, ini sukar untuk dipastikan dengan benar-benar tepat kerana sokongan sebenar terhadap parti serpihan PAS, iaitu PAN belum lagi teruji dalam politik dan pilihan raya Kelantan.

Kedudukan UMNO juga tidak boleh dilihat sebagai kedudukan yang lemah dalam politik Kelantan. UMNO pernah berkuasa dalam politik Kelantan dari 1978 hingga 1990.

Kedua-dua UMNO serta PAS ialah parti Melayu dan Islam dalam banyak hal mempunyai persamaan, malah kedua-duanya boleh diterima oleh masyarakat Melayu Kelantan.

UMNO Kelantan kukuh

Berasaskan PRU-13, kedudukan UMNO di Kelantan tidak lemah, cuma belum cukup kuat bagi menguasai pimpinan politik negeri. Walaupun menang dengan 12 kerusi DUN, jumlah undi popular yang diperoleh UMNO agak besar.

Di sesetengah kawasan DUN dan kawasan Parlimen, majoriti diperoleh PAS adalah kecil. Misalnya, calon BN di DUN Jelawat, Datuk Dr Ilias Husin mendapat undi popular 11,620 undi berbanding calon PAS yang mendapat 11,722 undi; hanya perbezaan 102 undi. Begitu juga dengan calon BN di Gaal, Redzuan Stapa kalah di tangan PAS hanya dengan perbezaan 302 undi. Ini menggambarkan sokongan rakyat Kelantan terhadap UMNO kuat.

Pada peringkat Parlimen juga sokongan pengundi Kelantan terhadap UMNO agak kuat. Kawasan Parlimen Pasir Puteh, Jeli dan Gua Musang, calon UMNO menang dengan majoriti besar. Di kawasan Parlimen Jeli dan Gua Musang, semua kerusi DUN dimenangi calon UMNO.

Sesetengah kawasan Parlimen yang kalah juga dilihat mendapat undi popular yang besar. Misalnya, kawasan Parlimen Bachok, calon UMNO, iaitu Datuk Awang Adek Hussin mendapat undi popular 35,218 undi (PAS mendapat 35,419 undi). Majoriti 201 undi dianggap kecil bagi sebuah kawasan Parlimen yang mempunyai jumlah 81,566 pengundi.

Parlimen Pasir Puteh juga dilihat mempunyai sokongan besar terhadap calon UMNO. Ura-ura Datuk Dr Asraf Wajdi Dusuki akan bertanding di Parlimem Pasir Puteh pada PRU-14 nanti dilihat oleh ramai pemerhati sebagai keputusan yang tepat.

Sekiranya sokongan padu ahli UMNO terhadap Asraf Wajdi, kemenangan akan berpihak kepadanya. Tokoh muda berpotensi dan mempunyai asas agama dan akademik yang kuat akan memberi sumbangan besar kepada Kelantan dan Malaysia amnya.

Pengundi Pasir Puteh dan Kelantan amnya sepatutnya memberi sokongan serta peluang kepada tokoh muda yang berpotensi seperti Asraf Wajdi. Dari segi asas kelayakan dan kebolehan tokoh ini tidak perlu dipertikaikan. Tetapi harus juga diingat bahawa orang UMNO juga akan memihak kepada pihak lawan sekiranya calon itu tidak disukai. Ini boleh berlaku kerana risiko politik yang rendah dengan tidak mengundi UMNO.

Apakah senario dan persepsi politik orang Melayu Kelantan selepas PRU-14 akan berubah? Kalaulah tradisi asal orang Melayu Kelantan tidak berubah, iaitu melihat parti politik orang Melayu hanya UMNO dan PAS, Pakatan Harapan (PAN dan PPBM) akan menghadapi jalan sukar untuk menang besar di Kelantan.

Sentimen antiMahathir belum pulih sepenuhnya di Kelantan. Kedudukan PAN yang mempunyai hubungan rapat dengan DAP menimbulkan rasa serba salah pengundi Kelantan terhadap PAN.

Kalaulah ini masih benar dan tidak berubah dalam pentafsiran politik Melayu Kelantan, pertandingan sebenar PRU-14 di Kelantan hanya di antara UMNO dan PAS.

Biar apa pun bentuk pertandingan calon yang akan menang, sama ada UMNO/BN atau PAS.

Sekiranya berlaku kerja sama politik antara PAS dan UMNO di Kelantan pada PRU-14 ini, kedudukan Pakatan Harapan di Kelantan menghadapi masalah lebih besar.

*Penulis bertugas di Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Sabah

Loading...

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "PAS, UMNO sama kuat di Kelantan"

Posting Komentar