Loading...
Tahun ini ialah tahun anjing dalam zodiak Cina, tetapi haiwan itu hilang daripada baju T yang dijual di rangkaian pasar raya terkemuka Giant.
PETALING JAYA: Terdapat 12 haiwan dalam zodiak Cina, tetapi 2 daripada haiwan itu ternyata hilang daripada baju T dijual di sebuah rangkaian pasar raya utama di negara ini yang turut mendapat reaksi pengguna internet.
Baju T berwarna merah itu mempunyai gambar tikus, lembu, harimau, arnab, naga, ular, kuda,
kambing, monyet dan ayam, kecuali gambar anjing dan babi yang digantikan dengan tulisan Cina 2 haiwan berkenaan.
Setiap haiwan dalam zodiak Cina itu mengambil giliran masing-masing dalam kitaran 12 tahun.
Tahun ini ialah giliran anjing.
Semakan di sebuah cawangan pasar raya Giant di Lembah Klang mendapati baju T itu dijual dalam pelbagai saiz untuk seisi keluarga pada harga diskaun RM10.88 berbanding harga asal RM15.99.
FMT tidak dapat menghubungi pihak pengurusan pasar raya itu, tetapi seorang jurujualnya memberitahu baju itu dijual sejak akhir bulan lalu.
Katanya, baju itu direka sempena sambutan Tahun Baru Cina bulan depan.
Mengenai kehilangan 2 zodiak Cina itu, katanya, pengilang mungkin menyasarkan pelanggan berbilang kaum, termasuk orang Melayu.
Walaupun tidak diketahui kenapa 2 haiwan itu tiada dalam rekaan baju itu, pihak berkuasa sebelum ini pernah melarang atau mengehadkan produk mengandungi anjing dan babi, haiwan yang dianggap tidak bersih oleh umat Islam mazhab Shafi’i di Malaysia.
Pada 1995, Malaysia mengharamkan filem komedi “Babe” kerana menonjolkan seekor babi sebagai watak utama, walaupun penerbitan DVD diluluskan beberapa tahun kemudian.
Pada 2016, watak seekor babi dikeluarkan daripada poster promosi untuk filem Hong Kong “The Monkey King 2”.
Dua tahun sebelum itu, aktivis Syed Azmi Alhabshi mendapat perhatian pihak berkuasa kerana menganjurkan program memberi peluang umat Islam menyentuh anjing serta mengajar cara menyamak selepas itu.
Garis panduan dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang mengawal industri halal turut melarang penggunaan nama “dog” sehingga memaksa produk popular seperti “Coney Dog” keluaran A&W terpaksa dinamakan semula.
Sementara itu, kehilangan 2 zodiak Cina itu turut mencetuskan perbualan di kalangan pengguna media sosial.
Ramai percaya ia mungkin disebabkan sentimen agama dan budaya, tetapi mereka berpendapat ia tidak patut memaksa kaum lain untuk mematuhinya.
“Kenapa orang Cina perlu mengabaikan budaya sendiri demi sesetengah fanatik di negara ini?” soal Edward Ho.
Loading...
0 Response to "Pasar raya jual baju zodiak Tahun Baru Cina tanpa anjing, babi"
Posting Komentar