Loading...
KUALA LUMPUR: Pilih parti yang paling kurang memberi mudarat, pesan Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin kepada seorang peserta forum yang meminta nasihat untuk pilihan raya umum akan datang.
Beliau secara peribadi berkata demikian memandangkan tiada pilihan yang benar-benar bagus pada pilihan raya kali ini.
“Saya pesan (pada) diri saya, kita boleh sokong sesiapa. Ini adalah ijtihad. Saya rasa pilihan raya ini bukan ada sesiapa yang bagus tetapi siapa yang kurang teruk.
“Pandangan saya, melihat mudarat yang lebih ringan, antara potong kaki atau potong kepala, itu sahaja. Dua-dua kena potong juga, tetapi satu mati dan satu lagi sakit,” katanya di program Bicara Ilmu di Pusat Konvensyen Sime Darby hari ini.
Pemerhati meramalkan PRU14 akan diadakan pada Mac atau April ini, dan perlu dipanggil sebelum tempoh penggal berakhir pada Ogos.
Kempen #UndiRosak menjadi subjek perdebatan hangat di media sosial baru-baru ini dan dikritik oleh beberapa pemimpin pembangkang dan kerajaan.
Cerita peribadi bukan isu rakyat
Dalam soal memilih calon pula, Asri menyarankan pengundi supaya melihat kualiti hujah calon-calon yang bertanding.
“Tidak perlu bawa isu peribadi calon lawan ke dalam ceramah. Kalau hendak beritahu, beritahu isu yang ada kaitan dengan awam, seperti kehilangan RM50 juta atau bilion.
“’Come on lah’, kalau nak cari benda itu, semua kita ada. Kita sedap cakap urusan peribadi orang sedangkan kita sendiri banyak masalah.
“Jadi ‘gentleman’ lah apabila pilihan raya. Kenapa pilihan raya cakap urusan itu, sehinggakan adik dia pun masuk campur dan lebih teruk lagi, adik buat perangai tidak elok pula,” katanya tana menamakan mana-mana individu.
Asri turut menyelar sikap masyarakat yang asyik dengan dosa peribadi calon berbanding kesalahan-kesalahan
yang memberi kesan pada masyarakat.
“Masyarakat kita memang macam itu, dosa peribadi itu walaupun berdosa tetapi dianggap sebagai isu besar, manakala dosa yang membabitkan umum itu kita biar.
“Kalau orang itu berkhalwat, masuk dalam surat khabar, 6 tahun cerita tidak habis, tetapi kalau mencuri RM5 bilion, ‘relax’, senyum-senyum dan cium tangan lagi,” katanya.
Pengundi harus adil, jangan fanatik
Tambahnya, rakyat harus bersikap adil dalam menilai parti-parti politik dan jangan menyokong secaara membuta tuli.
“Kadang-kadang kita tidak suka, tetap kena nilai juga. Adakah penilaian kita itu adil ataupun tidak adil?
“Kadang-kadang kita tidak suka pada seseorang, dari awal dia bercakap walaupun benda betul juga kita tidak suka.
Kalau betul dia cakap, cakap betul. Kalau salah dia cakap, cakap salah,” katanya.
Asri turut mengingatkan rakyat jangan fanatik terhadap parti-parti politik kerana sikap seperti itu bukan ajaran Islam.
“Kita hendak sokong tidak mengapalah, kita hendak mengundi juga tidak mengapalah, hendak jadi calon juga tidak mengapa. Tetapi fanatik ini tidak mungkin boleh berlaku.
“Ramai jenis macam itu. dia kira tengok lambang sahaja. Orang kadang-kadang tengok lambang, sebab mahu dapat duit,” katanya. - FMT
Loading...
0 Response to "[PENYOKONG PAS PATUT FAHAM] Pesan Asri: PRU kali ini antara potong kaki atau potong kepala"
Posting Komentar