Loading...

Inside Story: Kisah Tun M bertegang dengan PKR dari mula Pembentukan Kabinet lagi

Loading...

Menarik untuk semua mengetahui apa yg terjadi dalam parti PH. Agak panjang tapi tak rugi membacanya utk pgetahuan.  Ini fakta bukan auta

Jumaat, 11 Mei 2018. Majlis Presiden Pakatan bercadang untuk mengadakan mesyuarat pertama. Ini sehari sesudah upacara Mahathir Muhamad selesai mengangkat sumpah sebagai perdana menteri Malaysia ke-7 di hadapan Yang di-Pertuan Agong.

Kabinet masih belum ditubuh. Umum hanya tahu bahawa Mahathir menjadi perdana menteri dan Wan Azizah menjadi timbalan. Fakta ini telah dijaja ke seluruh negara ketika kempen jelajah. Mustahil masih ada sosok yang terlalu Lokman Adam hinggakan gagal memahami fakta ini.

Pada hari Jumaat biasanya Mahathir akan bermukim di Yayasan Albukhary (bawah). Ini rutin Mahathir untuk berada dekat dengan Masjid Negara. Hanya perlu menapak beberapa minit melintasi jalan untuk berjumaat.

Justeru pada pagi Jumaat itu Mahathir mencadangkan agar mesyuarat pertama kerajaan baru ini diadakan di Yayasan Albukhary. Pemimpin Parti Amanah dan DAP bersetuju. Cadangan ini masuk akal kerana secara muktamad kerajaan Pakatan belum lagi wujud. Tidak mungkin boleh menggunakan ruang parlimen atau bermesyuarat di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Sayugia diingatkan Jumaat 11 Mei 2018 ialah hari cuti umum di Malaysia. Sesudah mengundi pada Rabu 9 Mei, warga Malaysia mendapat cuti panjang - Khamis, Jumaat, Sabtu dan Ahad. Ini adalah cuti merayakan kejayaan anak semua bangsa menghumbankan Najib-Rosmah dan United Malays National Organisation ke tong sampah sejarah.

Mesyuarat pertama kerajaan Pakatan Harapan dipengerusikan oleh Mahathir Muhamad berjalan lancar.

Mereka membincangkan ini dan itu dalam Pakatan Harapan. Dan akhirnya Mahathir memberitahu kepada yang hadir bahawa dia melantik Muhyiddin Yassin sebagai menteri dalam negeri, Mat Sabu sebagai menteri pertahanan dan Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan.

Wan Azizah bersuara menyatakan yang dia tidak bersetuju dengan pelantikan Lim Guan Eng.

“Kalau bukan Guan Eng, siapa yang patut dilantik?” Mahathir bertanya.

“Rafizi,” Wan Azizah memberi jawapan jelas.

Keadaan menjadi tegang. High noon muncul di Yayasan Albukhary. Ini kerana apa yang disuarakan oleh Wan Azizah tidak masuk akal kepada sesiapa yang waras.

“Bagaimana?” Mahathir bertanya.

Pertanyaan Mahathir ini berasaskan fakta. Rafizi tidak bertanding dalam PRU14 ini. Rafizi sedang menghadapi beberapa tuduhan. Kerusi Parlimen Pandan yang dahulunya diwakili oleh Rafizi kini diambil alih oleh Wan Azizah sendiri.

Semua mata memandang kepada Wan Azizah. Semua menunggu jawapan. Suasana tegang.

“Kita tangguhkan kerajaan Pakatan Harapan selama dua minggu. Kita ampunkan Anwar. Kita ampunkan Rafizi.”

Ini jalan pintas yang diajukan oleh Wan Azizah.

Jika gajah ada dalam bilik ketika Wan Azizah bersuara pasti gajah ini akan bertempik. Jika harimau yang mendengar kata-kata Wan Azizah pada petang itu pasti sang harimau ini akan menerkam. Tapi ini tidak berlaku di bilik mesyuarat Yayasan Albukhary.

Semua sopan membisu. Semua senyap. Semua menjadi hairan bin takjub. Semua menjadi pelik bin tak percaya. Tapi inilah yang telah berlaku pada Jumaat 11 Mei 2018 di Yayasan Albukhary.

Kata-kata pelik dari Cik Siti Susah Nak Percaya berdesing lalu. Hairan. Hairan. Pelik lagi memelikkan.

Babak Yayasan Albukhary yang saya tulis ini pasti ramai yang tidak akan percaya. Kenyataan PKR untuk menangguhkan kerajaan Pakatan Harapan selama dua minggu tidak masuk akal. Tujuan penangguhan hanya untuk tujuan pengampunan Anwar dan Rafizi pasti susah untuk dipercayai.

Tangguh dua minggu ertinya meneruskan kerajaan kerajaan Najib-Rosmah sebagai kerajaan menjaga. Pelik tetapi inilah yang disuarakan oleh Wan Azizah.

Hishamuddin Rais wajib merakam babak ini. Ini untuk pengajaran kepada anak cucu-cicit kita. Ini untuk mengenali watak mat songel sama seperti kita semua dapat mengenali watak Si Kitul yang wujud 600 tahun dahulu dalam kerajaan Melayu Melaka.

Suasana tegang berterusan. Ratusan media dalam dan luar negara sedang menunggu di luar bangunan. Dalam suasana tegang ini sidang akhbar diadakan juga sesudah mesyuarat berakhir. Mahathir memberitahu media bahawa nama-nama para menteri akan diumumkan esok, Sabtu 12 Mei 2018.

Mesyuarat kedua Pakatan Harapan akan diadakan di ibu pejabat Bersatu di sebelah Amcorp Mall Petaling Jaya.

Pada hemat saya pada Jumaat malam sebelum pagi Sabtu muncul pasti banyak perkara yang telah bergayut dan hanyut dalam sungai PKR. Pasti banyak surat khabar lama yang dibaca sekali lagi. Pasti banyak hampas kelapa yang telah diramas berkali-kali. Pasti deringan telefon simpang siur. Merancang. Berstrategi.

Buktinya, di pagi Sabtu 12 Mei 2108, PKR menolak untuk mengadakan mesyuarat di ibu pejabat BERSATU. Wan Azizah mencadangkan mesyuarat diadakan di bilik tahanan Anwar di Hospital Cheras.

Di mana? Di mana? Di mana?

Saya ulangi sekali lagi, di bilik Anwar Ibrahim ditahan. Di mana? Dalam Hospital Cheras. Biar betul?

Betul. Apa yang ditulis oleh Hishamuddin Rais ini betul, tepat lagi sahih. Ini bukan fitnah. Ini bukan penglipur lara. Ini fakta. Ini bukan skrip teater Tok Gopoh.

Bila cadangan ini keluar dari mulut Wan Azizah, semua pemimpin Pakatan berpandangan sesama sendiri. Cadangan membuat mesyuarat di bilik tahanan dalam hospital Cheras diperkuat oleh desakan YB Saifuddin Nasution yang juga setiausaha PKR.

PKR berkeras.  Semua senyap kerana pemimpin Pakatan Harapan tidak menyangka apa yang mereka dengar. Wan Azizah terus dengan pendirian untuk mengadakan mesyuarat di bilik tahanan Hospital Cheras. PKR berkeras dengan tuntunan ini. PKR tidak mahu mesyuarat berlangsung di pejabat BERSATU.

Mahathir Muhamad secara sopan menolak cadangan Wan Azizah. Mahathir mahu meneruskan permesyuaratan di pejabat BERSATU. Tapi PKR terus berkeras.

Dua pandangan kini bertentangan.

Ini menjadikan suasana pagi Sabtu tegang-megang. Suasana high noon sekali lagi muncul pada hari kedua kerajaan Pakatan Harapan.

Ini titik dan detik-detik songel dalam sejarah Malaysia Baru. Fakta ini wajib diketahui oleh anak semua bangsa. Hari pertama mesyuarat pertama Pakatan Harapan telah menjadi songel. Hari kedua juga berpotensi untuk menjadi lebih songel.

Wan Azizah enggan mengendur. Mahathir juga tidak lentur. Wan Azizah mahu ‘menarik diri’ jika mesyuarat ini diteruskan. Semua menjadi gelabah. Tegang..!!

Kalau dalam istana, pada malam sebelumnya seorang Cina bernama Lim Guan Eng telah memujuk Mahathir. Kali ini seorang Benggali bernama Gobind Sing Deo telah memujuk Wan Azizah agar jangan walk out dari mesyuarat.

Jalan tengah dicari. Satu delegasi dihantar bertemu Anwar untuk menerangkan duduk perkara. Mesyuarat ditangguh.

Sosok yang dilantik sebagai wakil Pakatan untuk pergi ke Cheras ialah Mat Sabu dari AMANAH, Gobind dari DAP dan Syed Saddiq dari BERSATU. Mereka ditugaskan membuat penerangan demi meredakan ketegangan.

Di Hospital Cheras, Gobind dan Mat Sabu dibenarkan masuk. Syed Saddiq tidak dibenarkan masuk atas alasan ini tempat banduan ditahan. Kenapa dua dibenarkan dan yang ketiga dilarang? Inilah namanya politik Dunia Ketiga yang bergantung kepada budi bicara. Khalas.

Gobind menerangkan duduk perkara kepada Anwar. Cuba meredakan keadaan dan memperlihatkan logik kenapa mesyuarat diadakan di ibu pejabat BERSATU dan bukan dalam tempat banduan atau hospital.

Gobind juga berjanji kepada Anwar bahawa dia akan meminta Mahathir sendiri datang berjumpa dengan Anwar selepas mesyuarat selesai pada petang ini.

Bagaimana dengan Mat Sabu? Apa yang disuarakan oleh Anwar kepada Mat Sabu?

Sejarah merakamkan bahawa Mat Sabu dan Anwar ialah kawan lama dan juga musuh lama. Pada satu ketika dulu Mat Sabu memperkenalkan konsep “Al-juburi” untuk Anwar Ibrahim. Ini ketika Anwar dalam United Malays National Organisation dan Mat Sabu dalam Parti Islam PAS.

Di zaman Reformasi, dua musuh ini berkawan kembali dalam kancah perjuangan menentang musuh yang bernama Mahathir. Musuh bersama yang memenjarakan Anwar. Ketika Anwar ditahan kali kedua Mat Sabu terus bersama bertahan melawan Najib.

Pemegang kad ABIM

Wajib diberitahu, Mat Sabu pernah bertanding melawan Anwar di Permatang Pauh dalam PRU7 pada tahun 1986. Perlu diingatkan juga dua sosok ini adalah pemegang kad ahli ABIM.

Pada pagi Sabtu itu Anwar agak kasar terhadap Mat Sabu. Anwar meminta cermin, kayu ukur dan kain untuk tujuan membuat baju Mat Sabu. Mat Sabu kenal dan tahu sangat siapa dia si Anwar ini. Justeru Mat Sabu membiarkan Anwar berlabun seorang diri.

Mat Sabu faham tekanan dalam penjara yang dihadapi oleh Anwar. Ini kerana Mat Sabu sendiri pernah dua kali di penjara oleh Mahathir Muhamad.

Delegasi berjumpa Anwar sampai kembali ke PJ. Mesyuarat diteruskan. Keadaan masih tegang. Wakil PKR terus menolak mesyuarat diadakan di ibu pejabat BERSATU.

Wan Azizah mengambil telefon bimbit dan membuat panggilan. Kemudian Wan Azizah muncul kembali untuk mengambil barangan di atas meja. Parti Keadilan Rakyat merasa tidak puas hati atas penerusan mesyuarat di ibu pejabat BERSATU.

Mat songel mana yang ditelefon oleh Cik Siti Susah Nak Percaya tidak pula jelas. Hanya Guru Nanak saja yang mengetahui.

Akhirnya Wan Azizah dan delegasi PKR mengambil keputusan untuk memulaukan mesyuarat. Pucuk pimpinan PKR berundur dari ibu pejabat BERSATU. Amin.

Pada hari Sabtu ini saya berada dalam kedai kopi di Amcorp Mall. Kemudian saya mendapat panggilan agar saya naik ke tingkat lapan pejabat BERSATU. Tujuan ialah untuk memberi sokongan kepada Mat Sabu.

Saya menunggu di pintu bilik. Muncul Zeti yang terus hilang ke dalam lif. Kemudian muncul Hasan Merican. Kami bersalaman. Kami mengenal satu sama lain. Kami dari sekolah yang sama. Si Hasan ini pemain kriket yang baik. Dia ini junior saya di sekolah.

Kemudian muncul Daim berseluar hitam, berbaju putih lengan pendek dan bercapal. Kami bersalaman. Kali pertama saya kenal Daim ialah pada Jumaat 4 Mei 2018. Kami berkenalan di atas pentas ketika malam penutup kempen jelajah di Melaka.

Daim membisikkan kepada saya, “Semua selesai. Muhyiddin menteri KDN, Mat Sabu pertahanan dan Lim Guan Eng kewangan.”

Jelas tugas saya untuk memberi sokongan kepada Mat Sabu selesai. Lalu saya turun kembali untuk pulang. Nampaknya semua telah beres.  Di rumah saya menerima SMS dari Ayen.

Si Ayen ini adalah bekas mahasiswa Universiti Bangsar Utama. Sosok ini adalah pelakon asal Tok Ampoo. Watak Tok Ampoo ini juga pernah dimainkan oleh Amir yang kini sudah menjadi menteri besar Selangor.

Si Ayen, kawan saya ini bertanya kenapa Wan Azizah tidak ada ketika sidang akhbar Pakatan Harapan, di mana Mahathir mengumumkan tiga menteri kabinet? Si Ayen ini pasti telah menonton TV atau FB live.

Rafizi meraung-raung.  Saya tidak menjawab SMS Si Ayen. Saya harapkan dia akan membaca tulisan ini. Maka dia akan faham kenapa Wan Azizah dan pimpinan PKR tidak hadir dalam sidang akhbar itu.

Pada petang Sabtu yang sama saya difahamkan Mahathir telah pergi berjumpa Anwar Ibrahim dalam bilik tahanan di Hospital Cheras. Apa yang mereka labunkan hanya Guru Nanak yang tahu.

Tetiba, Tup-tup, lewat petang Sabtu yang sama, Rafizi meraung-raung dan melaung-laung tanda tidak puas hati atas lantikan tiga menteri oleh Mahathir. Rafizi menolak lantikan ini. PKR tidak bersetuju.

Beberapa jam sesudah berita raungan Rafizi yang dilaporkan oleh Malaysiakini muncul pula berita dari Twitter Ambiga.  Ambiga menulis: “PKR please stop your nonsense”.

Dalam Bahasa Melayu Si Ambiga dengan penuh hormat meminta PKR berhenti dari membuat onar karut-marut.

Apakah onar karut-marut ini berhenti? Tunggu minggu hadapan. 

#END

HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.  Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi reaksi CG


Loading...

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "Inside Story: Kisah Tun M bertegang dengan PKR dari mula Pembentukan Kabinet lagi"

Posting Komentar