Loading...
PUTRAJAYA 19 Sept. - Sekumpulan 50 orang penyokong Datuk Seri Najib Tun Razak berkumpul di hadapan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) malam ini sebagai tanda solidariti mereka terhadap bekas Perdana Menteri itu yang telah ditahan oleh suruhanjaya berkenaan.
Kumpulan yang diketuai Presiden Pemantau Malaysia Baru, Datuk Lokman Noor Adam itu mengutuk dan membantah sekeras-kerasnya tindakan SPRM yang mereka dakwa diperalat untuk menjayakan agenda mematahkan semangat ahli UMNO oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Kumpulan itu turut mengecam kenyataan rasmi SPRM yang menyatakan bahawa penahan Najib itu dilakukan di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009 setelah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara.
"Yang menghairankan kami, kenyataan Peguam Negara tadi di portal Malaysiakini menyatakan bahawa sehingga kini beliau tidak boleh mengambil sebarang tindakan berhubung kes terbabit kerana kertas siasatan masih belum diterima.
"Perkara itu jelas menunjukkan bahawa Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Shukri Abdull telah bertindak atas arahan Mahathir," kata Lokman ketika berucap pada perhimpunan itu.
Penyalahgunaan SPRM itu dakwanya juga boleh dilihat daripada tindakan SPRM membekukan akaun dan menyoal siasat ramai individu termasuk ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) seperti Datuk Seri Mustapa Mohamed.
"Berdasarkan maklumat yang diterima, selepas disoal siasat oleh pihak SPRM, (bekas Menteri Kewangan), Tun Daim Zainuddin telah memainkan peranannya memberikan kata dua kepada ahli Parlimen terbabit sama ada mahu keluar UMNO atau pendakwaan diteruskan.
"Lebih menyedihkan, pendakwaan berniat jahat ini dilakukan selepas Najib mengeluarkan bukti-bukti bahawa dana hampir AS$1 billion itu datangnya dari Kerajaan Arab Saudi dan anak Raja Abdullah beberapa hari sudah," tegasnya.
Katanya, perkara itu membuktikan bahawa Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Amla) sudah digunakan sebagai Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang baharu untuk menindas musuh politik Dr. Mahathir.
Sehubungan itu, kata beliau, Pemantau Malaysia Baru dan teman-teman pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain selain daripada bersolidariti dengan Raja-Raja Melayu, juga akan menghantar memorandum memohon campur tangan Majlis Raja-Raja bagi menghentikan penyalahgunaan Amla di negara ini pada 26 September, depan pada pukul 8.30 malam di Pintu C, Istana Negara.
Najib hari ini ditahan oleh SPRM berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berkaitan kemasukan wang RM2.6 bilion ke akaun peribadi beliau. - UTUSAN ONLINE
Loading...
0 Response to "Perhimpunan solidariti Najib di SPRM malam ini"
Posting Komentar