Loading...
Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengkritik keputusan pemimpin keluar parti dan sifatkan tindakan itu sebagai bukan perkara yang boleh diteladani.
“Meninggalkan Umno ketika parti sedang diuji, bukanlah sikap terpuji dan boleh diteladani, Islam mendidik kita agar taat selagi mana kita tidak menyalahi apa yang dikehendaki syarak. Saya ingin nyatakan atas alasan apapun, tindakan tersebut sangat tidak wajar dilakukan.
“Apatah lagi beliau dipilih sebagai wakil rakyat atas kepercayaan yang Umno berikan. Meletakkan alasan kelemahan parti kerana agenda peribadi sesuatu yang tidak wajar dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, bekas menteri luar Datuk Seri Anifah Aman memutuskan untuk keluar Umno, kurang 24 jam selepas peletakan jawatan Ahli Majlis Tertinggi Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Menurut sumber yang rapat, Anifah menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa. Tidak jelas lagi mengapa Anifah yang juga ahli parlimen Kimanis, meletak jawatan dari Umno atau beliau menyertai parti lain.
Semalam, Mustapa, yang bersama Umno selama 40 tahun, keluar dari parti itu mengatakan hala tuju parti itu tidak selari dengan prinsipnya.
Mengulas lanjut, Zahid berkata Umno ketika ini memerlukan loyalis yang setia bersama parti bagi memastikan segala rancangan dilakukan parti lebih mudah ditadbir serta berjalan dengan baik.
“Saya harap isu ini tidak akan melemahkan apalagi melumpuhkan Umno. Biarlah yang setia kepada semangat perjuangan sahaja tinggal bersama Umno. Saya minta kita rapatkan saf dan melakukan usaha bersama agar Umno bangkit semula menjadi parti kuat di negara ini.
“Saya yakin jika kita terus berpadu semua pihak akan menghormati. Kita akan mengadakan Perhimpunan Agung Umno 2018 penghujung bulan ini, saya harap ia tidak akan melemahkan kita. Pelbagai usaha dilakukan Umno mengukuhkan kembali keyakinan dan kepercayaan ahli kepada idealisme perjuangan Umno.”
Umno memenangi 54 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-14.
Sejak itu, 5 ahli parlimen keluar dari parti tersebut: Anifah, Ahli Parlimen Jeli Mustapa, Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin, Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dan Ahli Parlimen Bagan Serai Datuk Noor Azmi Ghazali. - Astro
Loading...
0 Response to "Tinggalkan parti saat Umno diuji bukan sikap terpuji, kata Zahid"
Posting Komentar