Loading...
Tanggapan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) terhalang untuk membuat reformasi kerana khuatir dikecam masyarakat Melayu tidak boleh diterima.
Penganalisis politik, Awang Azman Awang Pawi berkata, orang Melayu mana pun akan menerima perubahan jika ia menyumbang kepada kebaikan Islam, masyarakat Melayu dan masyarakat keseluruhan.
Jelasnya, masyarakat Melayu adalah sama seperti kaum lain di Malaysia dengan kategori yang pelbagai dan bergantung kepada latar belakang masing-masing, sama ada pendidikan, status kehidupan atau ekonomi.
“Semua ini membawa kepada perbezaan nilai dan cara berfikir,” katanya ketika dihubungi FMT.
Beliau berkata, cakap-cakap bahawa orang Melayu masih konservatif atau takut kepada perubahan adalah kenyataan yang simplistik atau satu bentuk generalisasi mengenai kaum itu.
“Kalau orang Melayu konservatif, tidak akan ada pemimpin seperti (Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir (Mohamad) dan (Presiden PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim. Juga, tiada pemikir penting negara seperti Za’ba dan Prof Syed Hussein Alatas yang kaya dengan pemikiran progresif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang kemungkinan kerajaan gagal meneruskan agenda reformasi negara kerana khuatir kehilangan sokongan orang Melayu yang tidak mahukan perubahan dalam “acuan” Malaysia Baru.
Sebelum ini, kajian Penang Institute bersama Ilham Centre (Ilham) menunjukkan kerajaan PH disokong kurang daripada separuh orang Melayu.
Yusri Ibrahim.
Kajian bertajuk “Nilai dan Pilihan Komuniti Melayu Muslim di Malaysia” itu dikendalikan ketua penyelidik Ilham, Yusri Ibrahim.
Kajian itu mendapati responden tidak menyuarakan hasrat yang sama dengan perancangan kerajaan, termasuk inisiatifnya untuk memansuhkan Akta Hasutan.
Sebanyak 73.30% orang Melayu tidak bersetuju akta tersebut dimansuhkan demi keamanan dan kestabilan negara.
Semasa kempen pilihan raya umum ke-14 tahun lepas PH memberi jaminan akta tersebut akan dihapuskan jika mereka berjaya menguasai Putrajaya.
Mengulas lanjut, Awang Azman berkata, jika orang Melayu benar-benar takutkan perubahan, kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak akan tewas kepada PH.
“Negara kita ada aktivis Melayu seperti Hishamudin Rais dan juga ahli akademik berpartisan seperti Dr Syed Husin Ali yang sudah lama mengidamkan perubahan,” katanya.
Jelasnya, kerajaan PH tidak boleh menggunakan alasan sukar membuat perubahan dan meneruskan reformasi kerana masalah tersebut berpunca daripada kelemahan dalaman parti itu sendiri.
“Namun (mereka) menyalahkan pihak lain kerana ketidakupayaan sendiri,” katanya.
Sementara itu, Yusri berkata, amat penting untuk mengambil kira sentimen orang Melayu kerana golongan inilah yang menentukan landskap politik negara.
“Jika sentimen, perasaan dan sensitiviti orang Melayu tidak diberi perhatian, kami percaya (pentadbiran) kerajaan tidak akan berjalan lancar,” katanya ketika ditemui FMT baru-baru ini.
Jelasnya lagi, jika sentimen orang Melayu tidak diberikan perhatian, mereka akan berasa hak dan keistimewaan mereka akan ditarik.
“Ini kemudiannya akan mencetuskan ketidakstabilan dalam landskap politik di Malaysia,” jelasnya. - free malaysia today
Iklan
Loading...
0 Response to "Melayu Tidak Boleh Berubah?"
Posting Komentar