Loading...

Anugerah Guru Pendidikan Khas Terbaik Asia 2019 milik Razhiyah

Loading...

KOTA BHARU: Tugas mendidik pelajar di sekolah pendidikan khas bukan dianggap cabaran, sebaliknya satu kelebihan kepada dirinya selepas menerima Anugerah Guru Pendidikan Khas Terbaik Asia 2019.
Guru cemerlang dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji, K A Razhiyah Mohamed Khutty, 60, menerima anugerah berkenaan di Persidangan Special Education Network and Inclusion Association (SENIA) di Hong Kong pada 24 Februari lalu.

Katanya, dia memulakan karier perguruan pada 1985 dan mula menumpukan kepada pendidikan khas pada 1990 apabila melihat cabaran mendidik pelajar istimewa berbeza daripada mengajar pelajar normal.

“Saya menganggap pelajar istimewa ini seperti anak sendiri dan cuba menyampaikan ilmu kepada mereka sebaik mungkin sehingga menjadi insan berguna serta berjaya di sebalik kekurangan diri masing-masing.

“Pada masa sama, mengajar mereka memberi satu kepuasan kepada saya, terutama apabila setiap yang diajar dipraktikkan mereka biarpun ia mengambil masa lama, tidak seperti pelajar normal lain,” katanya ketika di temui di SMK Panji, di sini, hari ini.
Razhiyah berkata, sepanjang menjadi pendidik, banyak anugerah pernah dimenanginya termasuk tersenarai antara 50 guru dunia dalam anugerah Hadiah Guru Global 2018 anjuran Yayasan Varkey, di London, United Kingdom (UK).

Katanya, sejak berkhidmat di SMK Panji pada 2006, dia memperkenalkan program Teratak Spa iaitu projek yang memberi peluang kepada pelajar istimewa mengendalikan rawatan kecantikan seperti rawatan muka, kaki dan urutan tangan.

“Konsep ini ditekankan kepada 26 pelajar istimewa berusia antara 13 hingga 19 tahun termasuk yang menghadapi masalah autisme, sindrom down, masalah pembelajaran dan lembam untuk membina keyakinan diri mereka.

“Mereka juga diajar membuat produk sendiri dihasilkan menggunakan kelapa seperti pelembap bibir dan minyak urut,” katanya yang turut menerbitkan empat buku berkaitan pelajar pendidikan khas.
Sementara itu, Pengetua SMK Panji, Sharifah Nor Arinawati Long Ibrahim, 53, berkata,dia menganggap guru berkenaan dilahirkan untuk memberi sumbangan dan mendidik golongan pelajar pendidikan khas.

“Pada tahun ini, dia (Razhiyah) akan menamatkan perkhidmatannya sebagai pendidik dan ia satu kehilangan besar kepada saya serta pihak sekolah.

“Mengajar anak istimewa memerlukan tahap kesabaran tinggi, namun saya bangga melihat dia memberi ilmu dengan penuh dedikasi sehingga dapat membuatkan anak-anak ini selesa dan seronok berada di sekolah,” katanya.

Katanya, sokongan dan bantuan rakan sangat penting dalam meningkatkan motivasi diri supaya pelajar istimewa ini turut mendapat perhatian sewajarnya.
Loading...

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "Anugerah Guru Pendidikan Khas Terbaik Asia 2019 milik Razhiyah"

Posting Komentar