Loading...

Cuti bencana tak perlu kelas gantian

Loading...
JOHOR BAHRU 29 Mac - Semua 111 sekolah yang ditutup akibat pencemaran sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim tidak perlu mengadakan kelas gantian kerana cuti yang telah diisytiharkan untuk sekolah terlibat merupakan cuti bencana.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Aminolhuda Hassan berkata, sesi pengajaran dan pembelajaran (PNP) di semua sekolah berkenaan akan berjalan seperti biasa, selepas sekolah kembali dibuka pada Ahad ini.
“Oleh kerana kita (sudah) isytihar dari segi keselamatan (bencana), (maka) cuti itu adalah cuti yang tidak perlu ganti.

“Peperiksaan juga tidak akan dianjak, namun guru diharap dapat menghabiskan silibus pembelajaran kerana mereka perlu kejar seminggu (tempoh cuti pencemaran) bagi memastikan pelajar dapat bersedia hadapi peperiksaan,” katanya.

Beliau berkata de­mikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik pada Selasa yang menyerahkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri untuk membuat keputusan sama ada cuti akibat pencemaran itu perlu diganti dengan kelas gantian atau tidak.

Aminolhuda di­temui pemberita selepas me­nyertai Program Gotong-Royong Pasca Pencemaran Sungai Kim Kim di Sekolah Kebangsaan Tanjung Puteri Resort, di sini hari ini.
Yang turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Pasir Gudang, Jasni Omar; Guru Besar SK Tanjung Puteri Resort, Asri A. Karim dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah berkenaan, Rohaizat Rahmat.

Terdahulu, beliau memberi­tahu semua sekolah yang terjejas akibat insiden tersebut wajib dibersihkan sehingga esok, sebelum dibuka semula pada Ahad ini.

“Semua tingkap dan kipas perlu dibuka untuk pastikan ada pengedaran udara. Selain itu, satu taklimat akan diadakan oleh pakar kepada sekolah terlibat pada 1 April bagi menerangkan langkah penjagaan seterusnya,” katanya. – BERNAMA
Loading...

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "Cuti bencana tak perlu kelas gantian"

Posting Komentar