Loading...

Aktiviti tanam sayur berhasil elak pelajar ponteng sekolah

Loading...
Imej via BH Online
TUMPAT: Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Berangan, di sini, membuktikan Program Jom Bertani yang memberi pendedahan usaha menanam sayur-sayuran kepada pelajarnya, berhasil menangani masalah ponteng dalam kalangan pelajar kelas terakhir setiap tingkatan sekolah itu.


Melihat kejayaan program yang dilaksanakan sejak tahun lalu, bermula dengan pelajar Tingkatan Satu dan Dua, mendorong ia diperluaskan kepada semua kelas terakhir Tingkatan Tiga, Empat dan Lima, mulai tahun ini.

Hasilnya, jumlah pelajar yang ponteng setiap hari kini menurun dengan ketara dengan semua pelajar terbabit bersemangat hadir ke sekolah kerana mahu menjaga sayur-sayuran yang diusahakan secara bersama rakan kelas masing-masing.

Kesungguhan pelajar itu membuatkan pelawat yang menjejakkan kaki di SMK Berangan pasti terpegun melihat deretan kira-kira 400 pokok, pelbagai jenis sayuran yang subur hasil usaha mereka.

Pasu terpakai dan bekas plastik kitar semula yang ditanam dengan kobis, terung, cili serta lada solok, kelihatan cantik disusun di kawasan tapak perhimpunan lama sekolah terbabit.

Semua tanaman itu diusahakan lebih 100 pelajar Tingkatan Satu hingga Lima, dengan bimbingan guru bawah Panitia Geografi serta Unit Bimbingan dan Kaunseling Sekolah dalam usaha menggalakkan kehadiran mereka ke sekolah.


Guru Geografi, Mohd Rosli Yaakob, berkata inisiatif menanam sayuran itu dijalankan sejak tahun lalu dengan permulaannya hanya membabitkan dua kelas terakhir Tingkatan Satu dan Dua.

“Langkah ini memberi kesan baik apabila kehadiran pelajar ke sekolah bertambah kerana masing-masing menunjukkan minat berkebun. Ia diteruskan lagi tahun ini dengan membabitkan tiga kelas lagi menjadikan semua pelajar kelas terakhir di setiap tingkatan terbabit.

“Jadual untuk aktiviti berkebun ini, diperuntukkan selama dua masa sehari bagi setiap kelas, iaitu selama satu jam pelajar akan meluangkan masa mereka mengendalikan tanaman di kebun ini,” katanya ketika ditemui di sini.

Rosli berkata, inisiatif itu juga adalah susulan silibus pengendalian sisa domestik dalam mata pelajaran Geografi dan beliau yang turut berminat dalam pertanian, terfikir untuk menggunakan kaedah itu bagi menanam minat pelajar untuk berkebun.

Beliau berkata, setiap tanaman sayuran organik tanpa baja atau kimia yang ditanam itu dibahagikan zon untuk setiap kelas dan pada masa pembelajaran, setiap kelas akan mengendalikan tanaman masing-masing.

“Tanaman ini memakan masa antara 40 hingga 90 hari sebelum boleh dituai hasilnya dan pada hari tuaian, kita boleh melihat wajah ceria setiap pelajar yang menyertai program ini kerana masing-masing kelihatan sangat berpuas hati melihat sayuran ditanam mereka membuahkan hasil.

“Dari segi jualan hasil, setakat ini kami tidak sempat untuk menjualnya kepada orang luar kerana habis dibeli warga sekolah ini sendiri. Malah ketika hampir waktu menuai, sudah ada guru yang menempah hasil kebun pelajar ini,” katanya sambil memberitahu segala modal, termasuk benih tanaman dibiayai pengurusan sekolah.


Sementara itu, Penolong Kanan Pentadbiran SMK Berangan, Zakaria Hussin, berkata inisiatif menerusi Program Jom Bertani itu dilihat sangat berkesan dalam menggalakkan kehadiran pelajar ke sekolah.

“Jika sebelum wujudnya usaha berkebun ini, boleh dikatakan separuh pelajar setiap kelas terbabit tidak hadir, namun sekarang hanya beberapa orang sahaja, itu pun disebabkan ada alasan penting.

“Inisiatif ini bukan sahaja memberi kebaikan kepada sekolah tapi yang utama adalah pelajar itu sendiri kerana dari segi akademik, mereka mungkin tercicir tetapi menerusi usaha ini, mereka memperoleh ilmu pertanian dan tidak mustahil akan ada dalam kalangan mereka mampu menjadi petani berjaya suatu hari nanti,” katanya.

Pelajar Tingkatan Dua, Muhammad Shamsudin Abdul Ghani, 14, pula menyifatkan Program Jom Bertani sangat menarik dan disebabkan itu, dia tidak pernah gagal menghadirkan diri ke sekolah setiap hari.

“Sejak tahun lepas lagi kami diberi pendedahan ilmu pertanian. Pada mulanya memang tidak minat, tapi apabila melihat hasil yang dituai, minat semakin bercambah kerana tidak sangka kami mampu berkebun.

“Kami diajar cara menanam dengan betul bermula dari proses meletak benih, menabur baja, menyiram, mengenal pasti penyakit serta menuai dan ilmu ini sangat memberi manfaat kepada kami jika ingin mengusahakan pertanian suatu hari nanti,” katanya.

Sumber: BH Online
Loading...

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "Aktiviti tanam sayur berhasil elak pelajar ponteng sekolah"

Posting Komentar