Loading...

Apa Itu Notis Perlucutan Hak Yang Dikenakan Terhadap Najb?

Loading...
Dalam hantaran Facebook, Najib Razak berkongsi soalan yang dikatakan daripada seorang sahabat berkenaan notis pelucutan hak terhadapnya, isterinya Rosmah Mansor, tiga anak mereka dan 13 individu serta syarikat.

Apa itu Notis Perlucutan Hak
Notis Perlucutan Hak terhadap Najib-Rosmah.

Bekas perdana menteri itu berkata soalan itu memeningkan dan beliau tidak dapat menjawabnya.

"Ada seorang sahabat yang hantar soalan ini kepada saya tapi saya tak tahu bagaimana untuk jawab.

"(Soalannya berbunyi) DSN (Datuk Seri Najib) telah didakwa mahkamah menerima wang RM2.6b 1MDB. DSN telah didakwa mahkamah memulangkan wang RM2.6b 1MDB. Tetapi PH (Pakatan Harapan) nak lucut hak harta DSN dan keluarga yang PH tuduh dibeli dengan wang RM2.6b 1MDB yang telah dipulangkan.

"Macam mana ni?"

Artikel ini akan cuba membantu sahabat Najib tersebut dan juga pihak lain untuk lebih memahami isu yang diperkatakan itu.

Apa itu notis pelucutan hak?

Jabatan Peguam Negara telah memfailkan notis usul berhubung pelucutan hak terhadap ratusan barangan yang dirampas daripada Najib, Rosmah, dan 16 individu lain termasuk anak mereka Riza Aziz, Nor Ashman, dan Nooryana Najwa, serta ibu Jho Low, Goh Gaik Ewe.

Ia bagi merampas lebih RM18 juta dalam beberapa akaun bank, wang tunai RM537,000 dalam pelbagai mata wang, 263 beg tangan mewah, 14 jam tangan, 27 pasang kasut, 27 buah kenderaan model Nissan Urvan, dan rumah Goh di Pulau Pinang.

Notis usul sama turut difailkan terhadap Obyu Holdings Sdn Bhd, yang dikaitkan dengan rakan Najib, Bustari Yusof.

Adakah barangan itu dibeli dengan wang RM2.6 bilion?

Barangan tersebut disita untuk siasatan terhadap skandal 1MDB, tetapi pihak berkuasa belum mengesahkan sama ada ia berkaitan dengan wang RM2.6 bilion.

Bagaimanapun, harus dimaklumkan pertuduhan terhadap Najib bukan saja berkaitan isu RM2.6 bilion.

Dalam pertuduhan berkaitan 1MDB terhadapnya, Najib juga didakwa menyalahgunakan kuasa dan pengaruh dalam kerajaan dan 1MDB untuk mendapatkan habuan berjumlah RM60 juta, RM90.9 juta dan RM49.9 juta - secara berasingan - sebelum dan selepas beliau menerima dan "mengembalikan" wang RM2.6 bilion.

Adakah Najib memulangkan keseluruhan RM2.6 bilion?

Skandal RM2.6 bilion merujuk kepada AS$681 juta yang dipindah ke akaun bank peribadi Najib pada Mac dan April 2013.

Nilai jumlah tersebut pada masa itu ialah RM2.08 bilion, bagaimanapun ketika skandal itu muncul kali pertama pada 2015, kadar tukaran mata wang menunjukkan nilainya pada RM2.6 bilion.

Daripada AS$681 juta, Najib telah memulangkan AS$620 juta (RM2.03 bilion).

Dengan baki AS$61 juta itu, Najib didakwa mengagihkannya kepada lima penerima, iaitu Umno (RM20 juta); Umno Batu Kawan (RM100,000); Lim Soo Peng (RM246,000); ORB Solutions Sdn Bhd (RM2 Juta) dan Semarak Consortium Sdn Bhd (RM303,000).

Selepas diagihkan, baki RM162.4 juta kemudian didakwa dipindah ke salah satu akaun Ambanknya.

Apa kata Najib berkenaan barangan yang disita?

Najib mendakwa polis mengambil langkah pelucutan hak terhadap aset dengan jumlah keseluruhan RM711 juta itu kerana pemulangan barangan akan membuktikan dirinya tidak bersalah.

Beliau berkata tempoh maksimum setahun untuk penyitaan akan tamat dalam masa sepuluh hari, iaitu pada 18 Mei 2019, bermakna polis perlu memulangkan kembali barangan itu.

Najib sekali lagi mengatakan barangan itu ialah hadiah dan derma, antaranya daripada tetamu kehormat luar negara.

Siapa individu-individu, yayasan dan syarikat yang dinamakan itu selain Najib dan keluarganya?

1. Mohd Kyizzad Mesran

Tidak banyak yang diketahui tentang Mohd Kyizzad. Dia pernah berkhidmat di Jabatan Perdana Menteri di bahagian pengurusan aset.

2. Senijauhar Sdn Bhd

Senijauhar Sdn Bhd adalah sebuah syarikat yang mempunyai kaitan dengan Umno Johor.

Menurut Suruhanjaya Syarikat Malaysia, para pengarahnya adalah Pengerusi Umno Johor, Hasni Mohamad; ketua Umno Kluang, Jais Sarday, dan Adun Semarang, Samsolbari Jamali.

Ketika dihubungi, Hasni berkata syarikat itu ditubuhkan untuk menguruskan aset Umno Johor termasuk 27 kenderaan Nissan Urvan yang dirampas oleh pihak berkuasa tahun lalu. Van-van berkenaan digunakan oleh Skuad Sayang Wanita Umno negeri.

Katanya, syarikat itu masih belum menerima notis pelupusan hak untuk van-van berkenaan.

3. Aiman Ruslan

Tidak banyak yang diketahui mengenainya kecuali beliau pernah berkhidmat dengan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

The Edge, yang memetik notis pelucuthakan, berkata kenderaan Nissan X-Trail 4WD yang didaftarkan atas nama wanita itu telah disita pada 13 Ogos 2018 dan tidak jelas bagaimana beliau dikaitkan dengan Najib.

4. Yayasan Rakyat 1Malaysia

Yayasan Rakyat 1Malaysia adalah yayasan yang dipengerusikan Najib yang menyenaraikan matlamatnya sebagai membantu rakyat Malaysia yang kurang bernasib baik melalui pendidikan dan sukan.

Mengikut notis pelucuthakan itu, RM6.87 juta dirampas dari yayasan itu pada 16 Ogos tahun 2018 lalu.

Wall Street Journal sebelum ini melaporkan bahawa Yayasan Rakyat 1Malaysia telah digunakan untuk menyalurkan sumbangan berjuta-juta ringgit daripada Kumpulan Genting sebagai balasan kepada 1MDB yang membeli aset kuasa kumpulan itu pada harga yang melambung.

Laporan itu berkata, ini adalah cara tidak langsung untuk 1MDB menyalurkan wang untuk digunakan pada pilihan raya umum ke-13.

5. Yayasan Semesta

Mengikut notis pelucuthakan itu, RM4,757.02 dirampas dari akaun bank Yayasan Semesta di Petaling Jaya pada 17 Januari tahun 2019.

Yayasan Semesta berdaftar di Petaling Jaya dan beroperasi dari sebuah masjid tempatan dan tidak jelas bagaimana yayasan ini dikaitkan dengan Najib.

6. Yayasan Mustika Kasih

Menurut notis pelucuthakan, sebanyak RM100,000 telah dirampas dari Yayasan Mustika Kasih pada 17 Januari tahun 2019.

Yayasan itu sebelum ini bekerjasama dengan kerajaan dan yayasan lain untuk membantu orang ramai untuk menunaikan umrah dan tidak jelas bagaimana yayasan ini dikaitkan dengan Najib.

7. Rembulan Kembara Sdn Bhd

Syarikat itu dahulunya dikenali sebagai Goldfin Group Sdn Bhd dan berpangkalan di Pulau Pinang.

Sebagai Goldfin Group, ia adalah antara beberapa syarikat swasta yang menyumbang kepada Dana Kesejahteraan Kanak-kanak Antarabangsa yang dilancarkan oleh Rosmah pada Februari 2013. Dana itu ditubuhkan berikutan lawatannya ke Gaza.

RM35,510 dirampas dari akaun bank Rembulan Kembara pada 11 Mac tahun 2019.

8. Goh Gaik Ewe

Goh adalah ibu ahli perniagaan Jho Low yang kini menjadi buruan. Banglo keluarga itu di Pulau Pinang adalah antara barangan yang disenaraikan dalam notis pelucuthakan dan RM852,515 juga dirampas dari akaunnya.

9. Ng Chong Hwa

Lebih dikenali sebagai Roger Ng, bekas ahli perbankan Goldman Sachs yang juga sekutu Jho Low yang telah diekstradisi ke Amerika Syarikat untuk menghadapi tuduhan pengubahan wang haram.

RM1.45 juta telah dirampas dari akaun banknya pada 11 Mac tahun 2019.

10. Lim Hwee Bin

Lim adalah isteri Ng dan menurut Bloomberg, penyiasat sedang menyiasat pemindahan AS$17.5 juta kepadanya, sejurus selepas penjualan bon 1MDB pada Mei 2012 dan RM429,234 yang disita berjaya dirampas dari akaunnya pada tahun 2019.

11. Kee Kok Thiam

Menurut The Edge, Kee telah ditugaskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Nik Faisal Ariff Kamil untuk memasukkan wang tunai ke dalam akaun AmBank Najib.

Beliau juga dihubungi oleh Jho Low untuk membantu mengatur layanan VIP untuk Nawaf Obaid, adik kepada Tarek Obaid dari PetroSaudi International dan RM1.52 juta telah dirampas dari akaunnya pada 11 Mac tahun 2019.

12. Tan Vern Tact

Tan adalah pengarah eksekutif di Utama Banking Group Bhd (UBG) dan pengarah bukan eksekutif di Loh & Loh dan Putrajaya Perdana.

Syarikat-syarikat ini dikaitkan dengan Jho Low dan RM6.44 juta dirampas dari akaunnya pada 11 Mac tahun 2019.

13. Geh Choh Hun

Geh adalah orang kepercayaan Low. Beliau mempengerusikan Kelab Kebajikan 1Malaysia Pulau Pinang, yang aktif dalam menganjurkan makan malam dan mengagihkan sumbangan wang tunai kepada beberapa pertubuhan, termasuk NGO dan tiga kumpulan media tempatan Cina, semasa pilihan raya umum 2013.

RM133,388 telah dirampas dari akaunnya pada 11 Mac tahun 2019.

14: Obyu Holding Sdn Bhd

Obyu Holdings dimiliki oleh Bustari Yusof, adik bekas menteri kerja raya, Fadillah Yusof. Bustari adalah orang kepercayaan rapat Najib.

Menurut Bernama, AGC sedang berusaha untuk menyita dari Obyu Holdings sebanyak 11,990 unit barang kemas, jam tangan 401 utas dan 16 unit aksesori jam tangan, cermin mata 234 unit dan 306 beg tangan serta wang tunai berjumlah RM114,164,393.44 dalam pelbagai denominasi.

Semakan di mahkamah mendapati kes berkenaan telah dibawa di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Jenayah.

Bagaimanapun, tarikh kes itu akan didengar di mahkamah mana belum ditetapkan lagi.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Loading...

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "Apa Itu Notis Perlucutan Hak Yang Dikenakan Terhadap Najb?"

Posting Komentar