Loading...
Rencana berikut mengisahkan insiden berdarah, rusuhan 13 Mei 1969. Episod gelap ini terlalu memedihkan sehingga dianggap tabu dan rahsia. Kami singkap semula kisah ini untuk bacaan generasi rakyat Malaysia yang lahir selepas rusuhan yang berlaku 50 tahun lalu. Semoga ia menjadi pengajaran untuk hari ini dan untuk masa depan kita bersama.
Pada tahun 1969, Malaysia bergelut dengan ancaman komunis di samping perhubungan antara kaum yang lemah. Penjajahan Jepun dan pemerintahan British memupuk ketidakpercayaan antara kaum, dan beberapa pertempuran kecil antara kaum berlaku.
Menjelang hari mengundi pada 10 Mei, dua petugas parti politik dibunuh di Pulau Pinang dan ibu kota Kuala Lumpur. Salah seorangnya jentera Umno, manakala seorang lagi dari Parti Buruh yang dikaitkan dengan komunis.
Sehari sebelum hari mengundi, ribuan orang berarak di KL untuk mengingati pekerja Parti Buruh tersebut. Keadaan di ibu kota tegang.
Keputusan awal menjunjukkan parti pembangkang DAP dan Gerakan yang didominasi bangsa Cina, menang banyak kerusi. Di Selangor - negeri terletaknya Kuala Lumpur - Dewan Undangan Negeri tergantung.
Pada 11 dan 12 Mei, penyokong parti pembangkang berarak di KL sambil menghina kaum Melayu. Tercabar dengan tindakan itu, Pemuda Umno bercadang berarak pada 13 Mei selepas waktu Maghrib.
Sekumpulan pemuda Melayu sudah berkumpul sejak dua jam. 5,000 berkumpul, tetapi keadaan terkawal. Ramai membawa kayu dan kain rentang. Segelintir membawa parang dan keris.
PEMBUNUHAN DAN HARU-BIRU DI KAMPUNG BARU
Ini adalah cerita seorang saksi mata tragedi rusuhan kaum 13 Mei 1969. Pada masa itu, dia merupakan pelajar tahun pertama di Universiti Malaysia (UM). Dia terperangkap sehingga 16 Mei di Kampung Baru, yang merupakan salah satu ‘kawasan panas’ rusuhan tersebut.
Kini berusia 70 tahun, dia yang berbangsa Melayu itu sudi ditemu bual dengan syarat identitinya tidak didedahkan. Akuinya, kejadian 50 tahun lalu itu masih lagi meninggalkan kesan yang mendalam buat dirinya.
“Sampai sekarang pun, bila saya ke kawasan masjid (Masjid Jamek Kampung Baru), saya terimbas balik segala apa yang pernah saya saksikan,” katanya.
Dengan mata yang bergenang, dia mengimbas semula kejadian di depan matanya apabila satu kereta yang dinaiki keluarga Cina dibakar oleh sekumpulan perusuh Melayu.
“Saya tak tahu apa yang terjadi, saya macam kena rasuk. Yang saya ingat, saya jerit, ‘Lepaskan mereka! Lepaskan mereka! Bunuh aku! Bunuh aku!’ Saya ingat saya sebut perkataan itu. Saya koyak baju dan mengamuk.
“Saya pun tak tahu kenapa saya bertindak macam itu, tapi saya tak boleh terima. Bila saya lihat dua budak kecil, seorang lelaki dan seorang perempuan, menangis dalam kereta dan kedua ibu bapanya mengggigil ketakutan, saya tak boleh terima. Apa dosa mereka? Sebab mereka orang Cina? Kenapa mereka yang dijadikan mangsa?
Ini ialah cerita saksi tersebut, seperti yang diceritakan kepada Aidila Razak dan Tham Seen Hau dari malaysiakini.
Pendaftaran kampus UM bermula seminggu sebelum 13 Mei. Saya dilahirkan pada 1949, jadi semasa saya mendaftar di kampus pada 1969 itu, saya baru 20 tahun.
Saya belum cukup umur untuk mengundi, dan saya tak pernah kisah pun. Saya lebih kisah tentang macam mana saya hendak bergerak di kampus tanpa motosikal. UM terletak jauh daripada tempat saya tinggal, kena naik dua bas. Jadi, saya kena fikir cara macam mana nak bergerak. Nak pinjam motor atau cari duit untuk beli sebiji.
Ada juga kawan-kawan yang datang dari kampung yang belum ada bilik sewa, jadi saya banyak habiskan masa ketika pilihan raya itu untuk membantu mereka cari bilik atau rumah sewa.
Saya pun tiada duit. Saya tak dapat biasiswa. Jadi sambil itu, saya juga mencari duit untuk saya bayar yuran pendaftaran semester pertama, di samping itu membantu kawan-kawan yang sekapal dengan saya. Itu sajalah yang kami bimbangkan ketika itu.
Kami langsung tak berminat tentang politik. Kami tak tahu apa terjadi masa itu. Kami cuma hendak mulakan kehidupan kami sebagai pelajar, itu saja. Itu semua sebelum insiden 13 Mei tercetus.
Perhimpunan di rumah Datuk Harun
Pada hari rusuhan tersebut, saya ada di kampus. Seorang senior beritahu suruh dapatkan beberapa orang dan pergi ke rumah Datuk Harun. Saya tanya, “Kenapa? Ada bagi duitkah? Atau makanan?”
Dia jawab, ada perjumpaan. Pada masa itu, biasalah pelajar dipanggil untuk meramaikan mana-mana majlis. Mungkin dapat nasi bungkus, atau RM5 - itu saja pun dah cukup buat kami gembira.
Tapi yang kali itu agak pelik, sebab tiada pengumuman apa-apa tentangnya. Senior saya datang, berbisik saja kepada saya. Saya tak tanya lebih-lebih, sebab hormat senior.
Kami tak ada kenderaan, jadi senior itu aturkan dengan beberapa orang yang ada motosikal. Jadi kami pergi naik lima motosikal. Masa itu antara pukul 5 ke 6 petang. Pekerja pejabat pun dah balik kerja.
Sesetengah kawan saya yang ikut itu, mereka orang kampung. Jadi mereka ingatkan dapatlah mereka keluar tengok bandar sekali. Macam itulah naifnya kami masa itu.
Sebaik sampai, saya perasan, keadaan tak macam perjumpaan biasa pun. Tak ada meja pendaftaran, tak ada jalan nak masuk ke dalam, tak ada kain rentang. Cuma ada orang yang berlegar-legar saja.
“OK-lah. Mungkin ada makanan di dalam,” fikir saya sambil berjalan masuk menuju ke perkarangan (rumah).
Tapi di dalam, lebih aneh lagi. Kebanyakan orang nampak macam bukan orang Kuala Lumpur. Mereka bercakap sesama sendiri dalam bahasa Jawa. Mereka nampak keras, tak macam kerani kerajaan yang selalu hadir di kebanyakan perjumpaan.
Senior yang jemput kami itu hilang dalam orang ramai, jadi kami pun cuba bersembang dengan orang-orang di situ. Mereka kata, “Eh, takkan kau tak tahu?”
Saya mula syak ada benda tak kena apabila saya lihat mereka agihkan lilit kepala, kain merah yang ditulis Arab La ila haillahllah. Ini dah macam orang-orang silat.
Jadi, beberapa orang kawan saya ambil keputusan untuk balik. Mereka tak gemar apa yang mereka lihat. Saya pun kata, “OK, baliklah dulu.” Tinggal kami bertiga saja.
Saya ambil lilit kepala itu. Semua orang pun ambil. Tapi apabila mereka suruh pakai lilit kepala itu, saya cakap, “Saya tak mahu pakai lilit merah ini, macam nak pergi perang saja.” Mereka balas, “Kau sepatutnya dah tahu. Memang itu yang kau patut buat pun.”
Budak muda penghantar kopi
Saya dah mula kurang senang. Kemudian saya ada nampak orang yang saya kenal. Saya tanya dia, dan dia pun kata, “Kita nak berarak”. Itulah kali pertama saya diberitahu apa yang nak jadi. Nampaknya, ada perarakan balas terhadap perarakan oleh Gerakan dan DAP sehari sebelum itu bagi meraikan kejayaan mereka.
Saya tanya dia lagi, apa rancangan sebenarnya. Dia jawab, kami semua sepatutnya berjumpa di jam besar tepi Masjid Jamek dan berdemonstrasi di seluruh tempat. Saya tanya lagi berapa orang akan terlibat, dan jawabnya, “Ramai, kita kat sini saja sudah 500”.
Saya dapat tahu ada orang datang dari Klang, Negeri Sembilan, Pudu dan Setapak untuk perarakan ini. Saya tanya dia, saya patut balik atau terus di situ? Dia jawab, “Kau balik, aku tetak”.
Pada masa itulah saya sedar, dia ada parang. Selepas itu, saya turut perasan ada senjata yang disembunyikan di pagar rumah Harun. Orang di situ makin tak tentu arah. Saya dengar ada wirid dan doa dibaca dari dalam rumah.
Saya sangat takut dan nak balik rumah, tapi tak boleh sebab mereka kunci pagar. Tak ada sesiapa boleh masuk, tak ada sesiapa boleh keluar. Bermula dari situlah, perkara paling buruk terjadi.
Ada orang tempah kopi dari kedai kopi di Jalan Gurney yang berdekatan. Jadi budak Cina ini datang hantar kopi dengan dulang, dan mereka bunuh dia. Saya tak nampak pembunuhan itu, tapi saya nampak dia dah mati.
Saya tak tahu tentang ini pada mulanya, tapi rupa-rupanya pada masa itu ada orang berbisik sesama sendiri tentang orang Melayu dibunuh orang Cina di Setapak.
Selepas itu, mereka tahan sebuah van dan bunuh orang di dalamnya. Saya mula berundur ke belakang, tapi saya nampak di belakang pun ada orang jaga.
Rasa saya, kalau sekumpulan orang berjalan bersama-sama, itu kita boleh panggil berarak. Tapi bila dibukakan pagar, mereka bukan berarak, mereka meluru. Mereka mengamuk. Rupa-rupanya, mereka terdengar cerita ada orang Melayu kena bunuh, jadi mereka meluru untuk pertahankan orang Melayu. Huru-hara jadinya.
'Lindungi kawasan ini'
Saya tak tahu nak buat apa. Kawan-kawan saya berjaya ambil Vespa mereka dan kami pergi ke masjid. Ada orang di situ, nampak macam ketua-ketua. Benda pertama dia tanya saya, sama ada saya ada lilit kepala atau tidak. Lilit kepala itu ada dalam poket saya, dia suruh saya pakai. Kemudian, dia suruh saya minum sejenis air yang sudah dijampi. Air itu sepatutnya buat saya jadi berani.
Selepas 13 Mei, ada banyak cakap-cakap tentang pendekar silat yang boleh terbang, keris dan parang sakti, tapi saya tak pernah nampak pun. Saya cuma tahu air yang saya minum itu diambil daripada kolah masjid, tempat orang berwuduk. Ramai orang cirit-birit malam itu (lepas minum air).
Orang-orang yang beri arahan di dalam masjid adalah gangster Kampung Baru. Saya tak nampak mereka di perkarangan rumah Datuk Harun sebelum itu, tapi sekarang mereka bentuk kami menjadi kumpulan pertahankan diri.
Mereka bahagi-bahagikan Kampung Baru kepada beberapa kawasan dan berkata, “Kau jaga kawasan ini”. Mereka tak kata, “Bunuh orang Cina”. Tak. Mereka suruh kami lindungi kawasan masing-masing, jangan biar sesiapa masuk. Siapa yang nak keluar boleh keluar, tapi siapa yang keluar, matilah.
Mereka bimbang sebab orang Cina sedang bergerak masuk dari Jalan Kamunting. Kampung Baru ada bersebelahan beberapa kampung Cina, jadi mereka yang tinggal berdekatan dengan kawasan Cina, berpindah ke masjid untuk mendapatkan perlindungan. Kelab Sultan Sulaiman dikunci kerana ia sebelah Kampung Limau, iaitu kawasan Cina.
Ada satu rumah yang cantik di bahu Jalan Campbell (kini Jalan Dang Wangi) dan Jalan Ampang, rumah itu dibakar oleh perusuh Cina. Orang Cina di sebelah sini, orang Melayu di sebelah sana.
Senjata api dan parang berkilat macam pedang
Malam itu, selepas solat Isyak, saya ditugaskan untuk berjaga di Jalan Raja Alang (jalan menuju ke masjid) bersama 20 yang lain.
Pada masa itu, saya lihat ada sekumpulan orang Cina menunggang motosikal menuju ke arah kami. Lampu masih menyala, jadi kami dapat nampak mereka bersenjata. Mereka ada pistol, senapang patah dua laras (pada masa itu, banyak orang Cina memiliki senjata memburu). Sesetengah mereka bawa parang yang berkilat macam pedang.
Saya memang kecut perut. Tiada siapa yang boleh menghalang mereka. Kami ialah baris pertahanan paling depan, tapi apa yang kami ada? Selain batang kayu, tak ada apa-apa lagi. Saya tak ada parang, tapi saya kena bertahan. Sesetengah daripada kami asah buluh runcing. Tapi setakat itu sajalah.
Mereka datang dari arah Jalan Chow Kit menuju ke masjid. Kalau mereka melepasi kami, mereka akan dapat ambil alih masjid. Terus-terang, terkencing kami dibuatnya. Kami ini muda lagi, mereka itu gangster-gangster lama. Menggeletar kami.
Kemudian, mereka membelok ke satu jalan yang menuju ke tokong Cina. Saya tak tahulah mereka belok itu kerana mereka nampak kami, atau memang awal-awal lagi mereka nak pergi ke tokong itu. Saya memang takut betul. Cuma tak menangis saja lagi.
Malam itu agak kucar-kacir. Saya ikut beberapa orang dan akhirnya tiba untuk berjaga di kawasan berdekatan sungai, setentang dengan Sekolah Lai Meng (ketika itu). Sekolah Lai Meng terletak di Jalan Ampang - kawasan Cina- sementara kami berada di seberang, di Kampung Baru.
Pada masa ini, saya sedar ada penembak hendap. Pada masa itu, orang tak tahu macam mana rupa penembak hendap, bukan macam sekarang, kamu boleh lihat dalam filem.
Kami cuma nampak orang kena tembak. Kami terkejut. Ada seorang lelaki, saya rasa dia pernah berkhidmat dalam tentera, dia kata, “Eh, ada penembak”. Dia suruh kami menyorok, jangan duduk di kawasan terbuka.
Ada beberapa orang cuba nak menyeberangi sungai untuk memeriksa di mana penembak itu bersembunyi, tapi tak dapat. Mereka ditembak. Kami jangka penembak itu ada di Sekolah Lai Meng.
Orang Cina sedang bergerak masuk dari Setapak, Jalan Campbell, Batu Road (kini Jalan Tuanku Abdul Rahman). Apakah ada rancangan untuk mereka takluk Kampung Baru? Saya tak tahu.
Tapi gangster itu nampaknya mungkin tahu kerana mereka dah aturkan orang mereka untuk jaga kawasan-kawasan itu. Pada masa itu, ada kumpulan gangster yang berbilang bangsa di KL, jadi mungkin mereka dah bagi amaran sesama mereka.
Jip penuh dengan raifal
Saya di Kampung Baru selama tiga hari - 13, 14 dan 15 Mei. Banyak benda terjadi dalam masa tersebut.
Pada 13 haribulan, seorang pegawai tentera bawa masuk jip yang penuh dengan raifal di Kampung Baru. Saya ingat lagi, raifal automatik, saya pun dapat satu. Berat senjata itu. Tapi kebanyakan kami tak tahu macam mana nak guna senjata api itu, dan ramai naiki teruja hingga mereka menembak tak tentu hala sampai peluru habis cepat.
Pegawai tentera itu tak beri kami peluru, hanya apa yang ada dalam raifal itu saja. Jadi, mungkin dia bertindak ikut kepala sendiri (bukan arahan pihak atasan). Saya tak rasa perkara itu dirancang.
Saya juga lihat pegawai-pegawai keselamatan membawa keluar orang-orang kaya Kampung Baru menggunakan trak. Mereka nampak gayanya dibawa ke depot polis atau kawasan Kementerian Pertahanan di Jalan Gurney. Bertahun-tahun kemudian, saya diberitahu oleh mereka yang datang daripada keluarga yang ada ‘hubungan’ ini, mereka memang dibawa ke situ untuk dilindungi.
Rumah dan kedai dipecah masuk sejak 13 Mei lagi. Keluarga kakak ipar saya tinggal di Kampung Baru, dan saya nampak mereka di masjid. Rumah mereka dekat dengan kawasan Cina, jadi mereka lari.
Rumah mereka dipecah masuk, tapi saya rasa oleh orang Melayu. Orang Melayu pun bukannya semua baik. Malah, sesetengah rumah yang dipecah masuk itu memang jauh ke dalam Kampung Baru, jadi mustahil orang Cina yang pecah masuk. Inilah juga sebabnya kenapa kumpulan pertahanan ditubuhkan.
Kampung Melayu dikelilingi oleh kedai Cina. Apabila rusuhan itu tercetus, sesetengah orang pecah masuk ke dalam kedai Cina ini untuk musnahkan buku hutang. Tapi mereka tak tahu, tauke Cina itu bawa sekali buku hutang semasa melarikan diri.
Saya pun pecah masuk beberapa kedai. Tak ada makanan untuk keluarga yang berlindung di masjid, jadi kami pergi cari makanan di tengah-tengah malam. Saya cuba cari rokok nak curi, tapi tak ada. Dah ada orang pecah masuk lagi awal daripada kami. Tapi kawan saya jumpa seguni beras, dia bawa ke masjid. Tapi bila dibuka, garam, bukannya beras.
Banyak juga perkara kelakar sebegini terjadi di tengah-tengah pembunuhan beramai-ramai tersebut.
Seorang lagi kawan saya, kerdil saja orangnya - cukup-cukup empat kaki tinggi - dia cuba curi angsa dari rumah Cina yang berdekatan. Keluarga Cina itu bela ayam dan angsa. Angsa itu sama tinggi dengan dia, tapi dia pegang leher angsa itu, angkat dan lari.
'Bunuh aku! Bunuh aku!'
Hari kedua, mayat berapungan di Sungai Klang. Mayat Melayu, Cina dan India. Orang-orang tua di masjid kumpulkan orang untuk bawa keluar mayat Melayu, supaya dikebumikan. Tapi akhirnya, polis ambil semua mayat itu dibawa ke rumah mayat.
Saya saksikan sendiri bagaimana mereka bawa keluar mayat dari sungai berdekatan Kampung Cendana. Saya lihat mereka bawa keluar enam ke lapan jasad. Mereka periksa muka; kalau jasad lelaki mereka periksa bersunat ke tidak. Jika tak nampak macam Melayu, mereka tinggalkan dalam sungai.
Pada 15 haribulan, saya bersama seorang lelaki diarahkan untuk mengeluarkan dua mayat dari tempat pembuangan sampah. Dua perempuan Melayu: penari kabaret yang bekerja di Great Eastern Cabaret di Jalan Campbell. Kami serahkan jasad itu kepada pihak polis.
Ada satu hal yang saya tak pernah beritahu kepada sesiapa pun sebelum ini, walaupun kepada anak saya sendiri. Pada hari itu, saya nyaris dibunuh.
Ada satu keluarga Cina ini. Tak tahulah entah apa sebabnya mereka memandu dekat dengan persimpangan Jalan Campbell dengan Jalan Ampang. Mereka perlu lalui kawasan rusuhan orang Melayu.
Masih jelas wajah mereka - seorang ayah, ibu dan dua anak kecil: seorang lelaki dan seorang perempuan. Mereka dalam sebuah kereta yang kecil, Fiat 600 dengan nombor plat Perak. Perusuh mengerumuni kereta itu dan cuba menterbalikkannya.
Saya tak tahu apa yang terjadi pada saya, saya macam kena rasuk. Yang saya ingat, saya jerit: “Lepaskan mereka! Lepaskan mereka! Bunuh aku! Bunuh aku!” Saya ingat saya sebut perkataan itu. Saya koyak baju dan mengamuk.
Saya pun tak tahu kenapa saya bertindak macam itu, tapi saya tak boleh terima. Bila saya lihat dua budak kecil, seorang lelaki dan seorang perempuan, menangis dalam kereta dan kedua ibu-bapanya menggigil ketakutan, saya tak boleh terima. Apa dosa mereka? Sebab mereka orang Cina? Kenapa mereka yang dijadikan mangsa?
Sekarang pun, bergenang mata ini bila teringat pasal kejadian itu. Sampai sekarang saya tak tahu kenapa saya bertindak macam itu. Macam ada sesuatu dalam diri ini. Saya pun tak faham.
Keluarga di dalam kereta itu berjaya meloloskan diri, tapi perusuh menjadikan saya pula sebagai sasaran. Pada ketika itulah gangster Kampung Baru datang menyelamatkan saya. Mereka hentikan perusuh-perusuh itu, dan berkata, “Dia buat tindakan yang betul. Kita pun patut hentikan ini semua.”
Saya rasa, pada masa itulah saya sedar keamanan sedang dalam proses perundingan. Gangster Melayu dan gangster Cina buat pertemuan, dan berbincang tentang rundingan damai. Perkara ini tidak direkod di mana-mana, tapi saya tak ada sebab untuk mencurigainya. Pada zaman itu, gangster-gangster sangat berkuasa. Mereka boleh bakar satu KL kalau mereka mahu.
Sebenarnya, banyak cerita tentang orang saling membantu antara satu sama lain.
Ada mandur Melayu yang bekerja di sebuah bengkel di Jalan Campbell. Semasa rusuhan tercetus, satu keluarga Cina selamatkan dia dan sorokkan dia di siling mereka. Kami bantu bawa dia keluar dari rumah tersebut beberapa hari selepas itu.
Seorang tukang baiki televisyen berbangsa Cina yang kami cukup kenal, menceritakan bagaimana dia sedang membaiki televisyen untuk satu keluarga Melayu di Kampung Datuk Keramat (ketika rusuhan tercetus). Keluarga itu tak mahu biar dia keluar untuk balik ke rumah. Mereka pakaikan dia dengan persalinan Melayu dan simpan dia dalam rumah sampai keadaan beransur selamat.
Orang Cina datang
Saya dapat balik ke rumah pada 16 Mei. Emak saya hampir pengsan apabila dia nampak saya. Saya antara begitu banyak orang yang hilang dalam beberapa hari itu. Dia ingatkan saya dah mati. Dalam beberapa hari selepas itu, dia buat semua benda supaya saya tak keluar rumah. Nasib dia tak gari tangan saya.
Selepas itu, banyak hari saya tak dapat tidur. Saya akan terjaga di tengah-tengah malam, berfikir “Orang Cina datang”.
Saya ambil masa setahun sebelum saya dapat jejakkan kaki semula ke Kampung Baru. Sampai sekarang pun, bila saya pergi ke kawasan masjid itu, saya terimbas balik segala apa yang pernah saya saksikan.
Universiti tutup seminggu disebabkan rusuhan tersebut. Apabila kami pulang semula, keadaan sudah berbeza. Tak ada orang yang nak bercakap tentang apa yang dah terjadi.
Di pasar, malah di Chow Kit sekalipun, anda banyak dengar, “Minta maaf encik, tumpang lalu, tak apa, tak apa.” Orang makin berhati-hati dan sopan.
Di kampus, Persatuan Bahasa Cina akan pergi kepada Persatuan Bahasa Melayu dan Persatuan Pelajar Islam sebelum mereka menganjurkan pesta tanglung. Mereka tanya orang Melayu dulu sebelum mereka minta kebenaran universiti.
Tapi diam-diam, semua orang bersiap-siaga. Mak saya beli banyak betul parang, setiap satu untuk anak-anak lelaki dia. Sesetengah orang akan sembunyikan parang dalam kereta mereka. Kawan saya, seorang Cina, keluarganya simpan lembing sepuluh kaki di rumah mereka. Semakin ramai ikut latihan seni mempertahankan diri, dan tangkal pelindung pun semakin laku. Suasana berubah, KL dah berubah.
Saya bersekolah di sekolah mubaligh Kristian dan kebanyakan kawan-kawan sekelas saya orang Cina. Kami dah kenal sejak tingkatan satu lagi. Banyak di kalangan kami ke universiti sama. Tapi selepas 13 Mei, keadaan jadi janggal. Kami masih bercakap, tapi kemesraan itu sudah tak ada.
Satu hari, saya berjumpa mereka dan kami berbincang tentang kejanggalan tersebut. Disebabkan kami sungguh-sungguh cuba mengatasi fasa itu, kami masih menjadi kawan baik sehingga ke hari ini.
Cerita kami ini adalah salah satu cerita rakyat Malaysia yang hidup dan membesar bersama, dan berjaya mengharungi tragedi tersebut bersama-sama.
Hari ini, darah saya mendidih bila dengar orang-orang muda mengugut untuk mengulangi rusuhan 13 Mei. Saya nak tanya mereka, “Kamu di mana masa 13 Mei 1969? Dalam perut mak atau masih pakai seluar pendek?”
Saya nak beritahu mereka, “Kamu belum pernah berdepan satu kumpulan gangster yang bawa parang berkilat, meluru ke arah kamu sedangkan kamu cuma ada sebatang kayu untuk mempertahankan diri. Kamu tak tahu macam mana rasanya.”
Saya ada di sana. Saya masih dapat hidu bau darahnya. Saya dah cuba untuk lupakan sepanjang 50 tahun ini.
Pengalaman itu terlalu pahit, sampai kita cuma mahu lupakan segalanya. Sakit hati ini apabila teringatkan seorang budak muda dibunuh, hanya kerana dia menghantar kopi. Dia tak tahu apa-apa. Bila teringat hal itu, saya tak dapat terima hakikat.
Orang macam kami tak mahu bercakap tentang hal ini, kami lebih rela berdiam diri dan berharap ia takkan terjadi lagi. Satu-satunya sebab saya bercakap tentangnya adalah kerana saya merasakan dah sampai masanya. Banyak saksi kejadian itu telah meninggal dunia. Saya mahu cerita saya ini menjadi pengajaran.
Harapan saya, kejadian itu jangan pernah dibiar terjadi lagi.
SATU KAMPUNG CINA DISERANG
Semasa insiden 13 Mei 1969 tercetus, Datuk Foong Yee merupakan seorang inspektor polis percubaan.
Lima puluh tahun berlalu, pengalamannya merentasi jalan-jalan di Kuala Lumpur yang porak-peranda, masih lagi segar dalam ingatannya.
Dalam catatan pengalamannya ini, dia menceritakan semula bagaimana dia menyelamatkan keluarganya, seluruh perkampungannya dan jiran Melayunya daripada dibunuh oleh ahli kongsi gelap Cina.
Malah, dia juga berselisih dengan maut, apabila secara tidak sengaja memecut keretanya meluru ke arah sekumpulan pegawai tentera.
Kata Foong, dia masih ingat muncung pistol dihalakan ke kepalanya.
“Jika dia tarik picu, saya tak akan ada lagi di sini menceritakan semua ini,” katanya.
Pada tahun 2000, Foong bersara sebagai timbalan ketua polis Kuala Lumpur.
Ini ceritanya, seperti yang diceritakan kepada Tham Seen Hau (malaysiakini).
Pada 13 Mei, saya di Kepong Baru, mengubah suai sebuah rumah yang baru dibeli oleh ayah saya. Saya di sana seharian dengan ayah saya, mak dan adik lelaki.
Lewat petang, jiran kami balik ke rumah mereka dan menceritakan bagaimana di bandar, ada masalah tercetus sehinggakan orang Cina dan Melayu saling berbunuhan.
Kami ada satu TV lama yang kami baru pasang. Kami buka TV itu dan ada berita yang menghebahkan tentang perintah berkurung sekitar Kuala Lumpur.
Perkara pertama yang terlintas di kepala ialah kami kena balik ke Kampung Limau, ikut Jalan Batu (kini Jalan Tuanku Abdul Rahman). Keluarga kami tinggal di situ, dan adik-beradik saya yang lain masih ada di situ. Jadi kami terus masuk kereta saya yang agak kecil itu, dan terus bergerak pergi.
Di tengah perjalanan ada sekumpulan lelaki Cina memegang kayu besi menghalang kereta yang lalu. Di depan saya ada sebuah kereta yang dipandu seorang Melayu. Kumpulan Cina tersebut menghentak kereta itu dengan batang besi tapi tidak apa-apakan pemandu itu.
Bila tiba giliran saya, mereka nampak kami sekeluarga Cina. Mereka bertanya kami nak ke kemana dan bila diberitahu mereka, seorang daripada mereka menegah saya jangan ke sana kerana orang Cina di sana kena bunuh, rumah pun dibakar.
Dari jauh, saya boleh nampak kepulan asap naik ke langit. Tapi saya nekad untuk teruskan perjalanan.
Kebakaran dan huru-hara
Sepanjang perjalanan banyak kereta terbakar dan benda berselerakan di atas jalan sampaikan susah untuk memandu.
Saya sampai di satu sungai kerana tak berani teruskan perjalanan. Dulu di situ, ada Klinik Reddy yang beroperasi 24 jam dan sebuah kedai kopi.
Sebuah kenderaan peronda polis lalu di hadapan kedai kopi tersebut dan tidak semena-mena, sekumpulan lelaki Cina menghentikan kenderaan tersebut dan sodok dengan paip besi.
Pada masa itu, saya sedar undang-undang sudah tak bermakna lagi. Saya perlu buat keputusan sendiri.
Saya beritahu ibu bapa saya yang saya akan tinggalkan mereka di Klinik Reddy, dan saya akan ikhtiar bagaimana untuk mendapat berita tentang keadaan adik-beradik yang lain di rumah.
Ibu bapa saya melarang, mereka merayu sambil menangis supaya saya jangan pergi. Mereka kata, kalau dah ditakdirkan anak-anak mereka yang lain terkorban, biarlah sekurang-kurangnya kami berempat terus bersama. Tapi saya kata tak boleh begitu. Saya tetap mahu pergi, biarpun mereka merayu begitu.
Saya berhenti di Balai Polis Jalan Campbell (kini Ibu Pejabat Polis Dang Wangi) untuk mendapatkan maklumat, tapi tempat itu penuh dengan orang. Huru-hara.
Dari balai polis, boleh ikut jalan semak di belakang satu bengkel di situ, jalan itu boleh bawa saya tembus terus ke Kampung Limau. Tak jauh, dalam lebih kurang 2 km saja.
Semasa saya berjalan melalui semak itu, saya nampak sekumpulan orang meluru ke arah saya, mereka dah angkat parang. Saya fikir, habislah aku kali ini. Tapi mujur seorang dari mereka kenal saya. Mereka penduduk Kampung Limau. Kata mereka, kampung belum terbakar dan mereka cuba halang orang masuk ke kampung.
Macam medan perang
Perkara pertama yang saya lakukan sesudah sampai di Kampung Limau ialah ke rumah. Adik-beradik saya semua selamat.
Tidak jauh dari rumah kami adalah Sekolah Teck Meng, satu institusi swasta Cina. Penjaga di situ tak mahu buka pagar, jadi saya umpil pagar itu guna batang besi. Saya sedar, tindakan macam itu boleh undang masalah, tapi masa itu saya dah tak fikir semua itu.
Orang kampung saya semua masuk ke sekolah itu. Tak putus-putus orang masuk, sampai tempat itu pun sesak. Keadaan masa itu, macam kita lari daripada medan perang.
Sesetengah orang sempat bawa barang-barang peribadi mereka, yang kecil-kecil. Ada bayi, ada juga perempuan mengandung. Ada banyak bilik darjah, semuanya penuh dengan orang. Keadaan kekal begitu sampai pukul 12 malam, atau mungkin lebih lama dari itu.
Pada masa itu, saya pergi ke bumbung Sekolah Teck Meng. Saya pandang ke bawah ke arah Jalan Chow Kit dan Jalan Hale (kini Jalan Raja Alang). Saya lihat, semua benda sedang terbakar.
Saya mula menangis. Saya tanya diri sendiri, “Apa yang dah terjadi sebenarnya?”
“Kenapa?”
Pistol di kepala
Ibu bapa saya masih di Klinik Reddy jadi saya patah balik melalui jalan semak untuk mendapatkan kereta dan selamatkan mereka. Hanya kereta saya yang bergerak di atas jalan.
Dalam perjalanan, suluhan lampu kereta saya terpancar pada dapat lihat sekumpulan orang- sesetengahnya memakai kain pelikat. Saya terfikir, “Ya Tuhan, orang-orang Melayu ini akan bunuh aku.” Saya tekan pedal minyak dan kereta meluru ke arah mereka. Mereka melompat dan saya dapat dengar mereka menjerit. Tapi saya tak berhenti.
Saya lakukan yang sama apabila ternampak satu lagi kumpulan. Disebabkan takut diapa-apakan, saya terus tekan minyak dan tak berhenti langsung. Kemudian, saya nampak sesuatu yang berkilat apabila disuluh lampu kereta saya- lencana tentera! Saya terus tekan brek kuat-kuat, kali ini saya berdoa supaya kereta berhenti.
Bila kereta saya berhenti, saya dapat rasa muncung pistol dihalakan ke kepala saya. Pada masa itu, kereta saya tak ada pendingin hawa, jadi saya buka tingkap kereta.
Pemegang senjata api tersebut teragak-agak, dia tak pasti apa nak dilakukan. Kalau dia tarik picu, saya takkan ada di sini menceritakan semua ini.
Saya keluarkan kad polis dan tunjuk pada mereka. Lelaki itu tengok kad itu dan serahkan pada seorang lagi askar. Mereka lepaskan saya.
Lega betul hati saya apabila menemui ibu dan bapa masih ada di Klinik Reddy. Mereka pun lega apabila dapat tahu semua anak-anak mereka selamat. Kami balik ke Sekolah Teck Meng.
Hujan peluru
Menjelang pagi, kami perlu pertahankan Kampung Limau. Kami balik semula ke kampung dan berjaga di sepanjang sungai, sebab orang Melayu hanya tinggal di seberang sungai.
Kami pegang senjata, kerana kami perlu berhadapan dengan perusuh. Ada yang pegang parang, ada yang pegang paip air. Saya pegang gergaji. Ayah saya tukang kayu, jadi dia memang ada semua peralatan ini.
Saya terfikir, saya kan pegawai polis. Saya tak sepatutnya berada dalam situasi yang macam ini. Tapi apa lagi pilihan yang saya ada? Tiba-tiba, kedengaran bedilan senjata api, dan lelaki di sebelah saya tumbang. Dia kena tembak di perut.
Sebahagian daripada kami bawa dia ke Jalan Batu dan tahan sebuah ambulans yang lintas di situ. Saya dapat tahu kemudian yang dia dapat diselamatkan.
Apabila saya kembali ke sungai, saya dapati banyak tembakan senjata api bertalu-talu. Saya tak tahu datangnya dari mana. Tenterakah? Atau orang kampung Melayu? Tapi kalau begitu keadaannya, kami memang takkan menang. Jadi kami berundur.
Apa kata kita bunuh saja, kata gangster Cina
Pertahanan kami sangat lemah. Pada waktu itulah sekumpulan ahli kongsi gelap datang dari Jalan Sultan. Sebahagian mereka memang pernah tinggal di Kampung Limau.
Ada dalam lebih kurang 10 ke 11 orang, tak ramai. Sesetengah daripada mereka kata, “Apa kata kita bunuh saja orang Melayu? Ada beberapa keluarga Melayu tinggal di sini”.
Bila saya dapat tahu tentang hal itu, saya terus pergi kepada mereka dan kata, “Saya rasa itu bukan idea yang bagus.
“Kalau kita tangkap mereka dan jadikan mereka tebusan, sekurang-kurangnya kalau ada orang Melayu dari seberang sungai serang kita, kita boleh boleh bawa mereka ini ke depan dan ugut untuk bunuh mereka”.
Idea saya diterima dan pada masa itu, saya fikir, buat masa itu saya dah dapat selamatkan orang-orang Melayu ini. Tapi sampai bila? Saya tahu saya perlu bawa mereka keluar dari situ, tapi macam mana caranya? Ada dalam 20 ke 30 orang Melayu.
Mujur, mereka bernasib baik, saya nampak dua trak tentera di Batu Road. Kebetulan mereka ada betul-betul di depan saya. Saya tunjuk kad polis saya dan dan tahan trak itu. Saya ceritakan mereka apa yang terjadi, minta mereka selamatkan keluarga-keluarga Melayu ini.
Saya berlari di depan trak, tapi kena menyorok-nyorok juga. Saya tak nak ahli kongsi gelap lihat saya sebagai pengkhianat yang membantu trak tentera bawa lari tebusan.
Dari jauh, saya dapat lihat orang-orang Melayu itu masuk ke dalam dua trak tersebut dan mereka pun cabut. Lepas daripada itu, barulah saya keluar semula dari bersembunyi, berpura-pura macam tak ada apa-apa yang terjadi.
Tinggalkan Kampung Limau
Selepas membantu menyelamatkan keluarga-keluarga Melayu, saya perlu fikir tentang keselamatan diri pula. Saya sangat keletihan. Tak dapat makan, tak dapat tidur, saya pun tak tahulah saya punya tenaga, semangat dan keberanian datang dari mana. Yang saya tahu, saya kena minta bantuan.
Jadi saya lari ke Balai Polis Campbell, tapi seperti semalam, tempat itu masih huru-hara. Saya nampak seorang anggota polis di situ cuba membantu apa yang dia mampu. Saya kenal dia, Gilbert Ang.
Dia pernah menjadi ketua jabatan (yang mengendalikan urusan) kongsi gelap. Pada masa itu, kumpulan kongsi gelap memang masalah besar. Saya beritahu dia saya anggota polis percubaan, dan saya perlukan kenderaan untuk bawa keluarga saya keluar daripada bahaya.
Dia pandang ke arah saya, dan berkata, “Maaf, saya tak dapat tolong kamu”.
Jadi ketika itu, saya pun ambil keputusan untuk dedahkan kepadanya tentang apa yang saya pernah buat sebelum menyertai polis.
“Kamu ingat bila kamu pernah jadi ketua jabatan kongsi gelap? Ada mamat ini yang hubungi kamu dan beri maklumat tentang aktiviti kongsi gelap kepada kamu? Beritahu kamu siapa yang terlibat dan maklumat bahawa mereka semua ini dari Kampung Limau?”
Dia jawab, “Ya. Saya ingat. Bagus maklumat yang dia bagi kepada kami dulu”.
Saya ingatkan dia bahawa pemberi maklumat tersebut tidak mahu bertemu dengannya, tapi dia ada maklumkan yang pangkal namanya ialah “FY”.
“Sayalah FY. Foong Yee.”
Terkejut Ang. Dia peluk saya dan tanya apa yang saya perlukan. Saya beritahu dia, saya perlu bawa keluarga saya keluar dari Kepong baru, dan saya juga beritahu ada juga orang Jinjang dan Kepong di Kampung Limau.
Ang beri saya satu bas. Bas Sri Jaya. Saya bawa bas itu ke Sekolah Teck Meng, dan orang di situ mula menyerang bas itu sebab mereka ingat orang Melayu datang serang mereka. Tapi bila mereka nampak saya, mereka pun bertenang.
Saya beritahu mereka, siapa yang tinggal di Kepong atau Jinjang boleh naik bas. Keluarga saya naik bas. Dalam bas, ada kira-kira 12 ke 13 orang. Ada keluarga saya (dalam enam ke tujuh orang), dan saudara-mara yang lain termasuk anak buah saya Nicholas - masa itu masih bayi- dan pengasuhnya yang bisu.
Saya terpaksa tinggalkan mereka yang lain di situ. Saya perlu selamatkan keluarga saya dulu.
Semoga memberi manfaat.
BACA INI JUGA:
sumber: 1 | 2

Datuk Foong Yee.

0 Response to "Mengenang Pembunuhan Dan Huru-hara 13 Mei 1969"
Posting Komentar