Loading...

Sambutan Hari Spesies Terancam Sedunia

Loading...
Sambutan Hari Spesies Terancam, Endangered Species Day, disambut pada bulan Mei setiap tahun adalah sebagai promosi dan usaha untuk pemuliharaan hidupan liar oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dengan mengiktiraf sambutan hari-hari berkaitan hidupan liar dan habitatnya.

Hari Spesies Terancam

Sambutan ini adalah sebagai salah satu kaedah mudah bagi mendidik generasi masa hadapan tentang biodiversiti dengan mempamerkan senarai spesies terancam di sekolah dan merayakan sambutan hari-hari tertentu yang diiktiraf antarabangsa seperti hari harimau, hari tapir, hari penyu, hari tenggiling, hari gajah, hari memerang dan lain-lain.

Selain lawatan ke zoo, pameran dalam bentuk poster atau tayangan video pendek boleh diadakan agar semua generasi akan datang tahu tentang spesies haiwan yang terancam dan bagaimana mereka boleh membantu melindungi dan memulihara haiwan terancam berkenaan sekali gus menyokong program pemuliharaan hidupan liar kerajaan.

Di Malaysia, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) dan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) boleh bekerjasama mengeluarkan bahan-bahan kempen diedarkan ke sekolah di seluruh negara bagi mempromosikan spesies terancam di Malaysia.

Sambutan Hari Spesies Terancam merupakan pendedahan penting untuk pendidikan dan kesedaran menyeluruh rakyat Malaysia tentang hidupan liar.

Sekiranya semua hari-hari berkaitan hidupan liar dan hari spesies terancam diberikan peringatan kepada pelajar sudah tentu maklumat tentang hidupan liar dan pemuliharaannya akan ada dalam pengetahuan mereka.

Di Malaysia misalnya, banyak haiwan yang didaftarkan oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN) sebagai haiwan terancam. Antaranya ialah orang utan, harimau, gajah, tenggiling, pelanduk, tapir malaya dan cencurut hitam.

Hari spesies terancam disambut bagi mengingatkan semua orang tentang status haiwan terancam dan usaha pemuliharaan haiwan dan habitat mereka.

Undang-undang dan penguatkuasaan sahaja tidak memadai dalam mengawal kepupusan haiwan terancam.

Banyak laporan media tentang kes berkaitan hidupan liar yang dilindungi, pihak berkuasa sekadar menyebut tentang status haiwan dilindungi undang-undang dan denda yang boleh dikenakan sekiranya didapati bersalah, namun kejadian seperti kemalangan jalan raya dan penyeludupan terus juga berlaku.

Satu sistem pendidikan secara lebih berkesan perlu dilakukan terutamanya menggunakan media baharu dan merentasi jabatan kerajaan serta komuniti tempatan dan antarabangsa.

Lokasi strategik seperti lapangan terbang, tempat menunggu di agensi kerajaan, pasar raya dan sekolah boleh diadakan promosi melalui video pendek secara berterusan. Maklumat tentang undang-undang perlu dimaklumkan kepada semua orang.

Di Semenanjung Malaysia, spesies hidupan liar yang dilindungi adalah spesies yang disenaraikan di bawah Jadual Pertama dan Kedua Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan spesies yang disenaraikan di bawah Jadual Ketiga Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 [Akta 686].

Selain haiwan mamalia besar yang bakal pupus sekiranya tidak dijaga, haiwan lain seperti burung, serangga, reptilia dan amfibia juga perlu diberi perhatian.

Banyak lagi haiwan berkenaan yang kita tidak tahu. Burung botak upeh misalnya sudah pupus di habitat liar.

Sebagai sebuah negara yang tinggi kepelbagaian biologi mesti memberikan perhatian serius tentang kepupusan haiwan liar di habitat semula jadi.

Bagi memulihara haiwan yang hampir pupus, pembiakan dalam kurungan mungkin perlu dilakukan untuk dilepaskan ke habitat liar.

Perubahan alam sekitar, pemangsaan yang berlebihan, pemburuan haram, perubahan habit manusia dan bencana alam boleh mengancam populasi haiwan.

Sesetengah haiwan boleh dibiakkan di dalam kurungan tetapi sukar untuk menambahkan populasi di habitat luar.

Perhilitan dan zoo ada menjalankan program pembiakan spesies terancam untuk tujuan pemuliharaan.

Tanggungjawab IUCN

Kesatuan Antarabangsa Untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN) menyenaraikan cencurut hitam (Suncus ater) sebagai spesies yang sangat terancam pada tahun 1996.

Haiwan yang saiznya dikatakan antara 20 hingga 100 sentimeter (sm) ini sangat jarang dilihat dan tidak banyak maklumat tentangnya.

Maklumat yang ada hanyalah daripada Medway tahun 1965 berdasarkan kepada satu spesimen yang dijumpai di Gunung Kinabalu, Sabah pada ketinggian 1,650 meter (m) dari paras laut.

Spesies ini mungkin juga boleh ditemui di kawasan tanah tinggi Borneo atau mungkin sudah pupus.

Begitu juga dengan status badak sumatera (Dicerorhinus sumatrensis) yang mengikut Mogabay.com sudah tiada di Sabah.

Pada tahun 2008 dianggarkan 50 ekor dan lima tahun kemudian bilangan berkurangan kepada hanya 10 dan sekarang mungkin sudah tiada.

Pengurangan habitat dan pemburuan haram kerana tanduknya adalah punca utama kepupusan. IUCN menyenaraikannya sebagai spesies terancam sejak 1986 lagi.

Berdasarkan statistik IUCN, tapir malaya (Tapirus indicus) spesies terancam sejak 1986.

Haiwan yang masih ada di habitat liar di Semenanjung berhadapan dengan pengurangan dan gangguan habitat yang cepat akibat pembangunan.

Orang utan (Pongo pygmaeus) memang sudah menarik perhatian dunia kerana populasinya terus terancam akibat habitatnya terus terganggu oleh aktiviti pembalakan dan pembakaran hutan.

IUCN menyenaraikannya dalam spesies terancam sejak 1986. Taburannya juga terhad di Sumatera dan Borneo sahaja.

Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok Sabah adalah model pemuliharaan spesies terancam orang utan.

Harimau malaya (Panthera tigris jacksoni) sudah hangat dibincangkan kerana populasinya yang cepat berkurangan.

Sejak tahun 1950-an bilangan harimau dianggarkan sebanyak 3,000 ekor dan berkurang kepada antara 250 hingga 340 pada 2013.

Taman Negara, Kompleks Hutan Endau-Rompin dan Kompleks Hutan Belum-Temenggor merupakan kawasan utama untuk pemuliharaan harimau malaya.

Harimau malaya diletakkan dalam senarai spesies terancam pada tahun 2008.

Gajah Asia (Elephas maximus) yang disenarai sebagai spesies terancam sejak 1986.

Gajah memerlukan kawasan keliaran yang luas dan banyak sumber makanan. Kawasan keliaran berkurang menimbulkan pelbagai konflik dengan dengan manusia.

Monyet belanda (Nasalis larvatus) disenaraikan sebagai spesies terancam pada tahun 2008.

Populasinya menurun 80 peratus dalam masa 30 tahun dan sekarang dijangkakan hanya ada 7,000 ekor sejak tahun 2000 akibat daripada kehilangan habitat seperti hutan bakau di pantai.

Tenggiling terus terancam kerana sisik, daging dan kulitnya yang dikatakan mempunyai nilai perubatan. Harga yang tinggi menggalakkan pemburuan haram.

Pada tahun 2016 Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam Flora dan Fauna Liar (CITES) mengharamkan sepenuhnya perdagangan tenggiling sunda (Manis javanica).

Mengawal kepupusan haiwan adalah tanggunggjawab semua. Program pendidikan, penyelidikan dan kesedaran mestilah dilaksanakan dengan lebih agresif dan sistematik.

Satu pelan tindakan umum dan khusus perlu diadakan dengan jelas serta mampu dilaksanakan.

Selamat menyambut Hari Spesies Terancam Sedunia.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan

Loading...

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "Sambutan Hari Spesies Terancam Sedunia"

Posting Komentar