Loading...

Lembaga Pengarah 1MDB Tak Tahu Boleh Jamin Pinjaman KWAP

Loading...
Perbicaraan tuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan Najib Razak bersambung untuk hari ke-23 hari ini.

Malaysiakini melaporkan perjalanan perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Najib Razak berdepan 7 tuduhan berkaitan dana RM42 juta melibatkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB

1 tuduhan salah guna kuasa
3 tuduhan pecah amanah
3 tuduhan pengubahan wang haram

'Lembaga pengarah 1MDB tak tahu boleh jamin pinjaman KWAP'

10 pagi: Lembaga pengarah 1MDB tidak diberitahu tentang wujudnya pilihan bagi mendapatkan pinjaman Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) untuk SRC International dengan jaminan korporat daripada 1MDB, selain jaminan kerajaan.

Ismee Ismail, yang juga bekas pengarah bukan eksekutif 1MDB, berkata demikian ketika pemeriksaan balas dengan peguam Harvinderjit Singh.

Dia berkata lembaga pengarah 1MDB tidak tahu yang KWAP menawarkan pinjaman kepada SRC International berdasarkan jaminan korporat daripada 1MDB.

Dia kemudian setuju dengan kenyataan Harvinderjit bahawa lembaga pengarah mungkin memilih pilihan itu jika tahu tentangnya, berbanding menggunakan jaminan kerajaan untuk mendapat pinjaman.

Harvinderjit: Apa yang saya nak kata ialah ada pilihan untuk 1MDB menjadi penjamin. Penting untuk lembaga pengarah maklum bahawa 1MDB menawarkan diri sebagai penjamin. Dan jaminan kerajaan hanyalah plan B. Anda kata tak ingat sama ada lembaga pengarah 1MDB diberitahu tentang (pilihan) jaminan korporat ini. Hujah saya ialah ia boleh digunakan jika anda tahu (tentangnya)?

Ismee: Ya.

Sebelum ini, saksi-saksi lain yang terlibat dalam proses meluluskan pinjaman RM4 bilion oleh KWAP kepada SRC International berkata panel pelaburan badan itu pada mulanya memutuskan untuk menawarkan pinjaman kepada 1MDB, berbanding memberikannya secara terus kepada SRC International.

Selain pengarah bukan eksekutif 1MDB, Ismee juga pernah menjadi pengerusi SRC International.

SRC International ialah bekas subsidiari 1MDB.

9.19 pagi: Najib masuk ke kandang tertuduh dan perbicaraan pun bermula.

Pemeriksaan balas terhadap bekas pengarah SRC International Ismee Ismail oleh peguam Harvinderjit Singh diteruskan.

9.05 pagi: Berpakaian sut hitam dengan tali leher biru gelap, bekas menteri besar Pahang Adnan Yaakob masuk ke mahkamah dan duduk di galeri awam menunggu perbicaraan bermula.

Turut ada ialah ketua pasukan pembelaan Muhammad Shafee Abdullah dan peguam-peguam lain, termasuk DPP V Sithambaran dan anggota pendakwaan lain.

Shafee dilihat bertegur sapa dengan pasukan pembelaan dan pendakwaan.

8.57 pagi: Tertuduh, Najib Razak masuk ke mahkamah dan dilihat berbincang dengan peguamnya Yusof Zainal Abiden di galeri awam.

Turut dilihat ialah sebuah buku bertajuk The Laws of Human Nature oleh Robert Greene, serta beberapa kusyen untuk bahagian belakang bekas perdana menteri itu.

Perbicaraan tuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram terhadap Najib Razak melibatkan SRC International masuk hari ke-23 hari ini, dan sebesar mana kawalan bekas perdana menteri terhadap syarikat itu bakal menjadi persoalan utama.

Apabila pemeriksaan balas terhadap bekas pengerusi SRC International Ismee Ismail bersambung hari ini, tumpuan akan diberikan terhadap keterangan terdahulu saksi ke-39 itu berkenaan peranan tertuduh antaranya dalam pelantikan pengarah dan urus niaga syarikat.

Ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Ishak Mohd Yusoff semalam, Ismee memberitahu mahkamah bahawa pindaan penting - kemasukan Artikel 117 dalam Memorandum dan Artikel Penubuhan Syarikat - memberikan kuasa kepada Najib dalam setiap aspek pentadbiran syarikat itu.

Ketika disoal oleh peguam Najib, Harvinderjit Singh, Ismee mengaku dia tidak melihat sendiri Najib menandatangani minit mesyuarat agung tergempar pada 23 April 2012, yang membawa kepada kelulusan Artikel 117.

Pindaan itu dikatakan membawa kepada pelantikan Najib sebagai penasihat emeritus SRC International - yang ketika itu telah menjadi entiti minit penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Artikel 117 menyatakan lembaga pengarah syarikat perlu menimbang secara serius dan melaksanakan nasihat Najib berkenaan perjalanan syarikat.

Semalam, Harvinderjit dan Ismee turut bertembung dalam peranan kelulusan Najib dalam pelantikan pengarah SRC International Nik Faisal Ariff Kamil.

Peguam itu berulang kali bertanya sama ada persetujuan Najib hanyalah bermaksud mengesahkan secara rasmi pelantikan yang dibuat lembaga pengarah, sementara Ismee bertegas lampu hijau yang diberi Najib penting untuk melantiknya.

Harvinderjit juga memberi tumpuan kepada hal sama semalam, dan Ismee mengakui lembaga pengarah syarikat itu tidak pernah mendapatkan pengesahan sama ada Nik Faisal - yang sentiasa ada ketika mesyuarat syarikat - memang bertindak sebagai perantara syarikat terbabit dengan Najib. - mk






Berminat beriklan di web Addin?Jika berminat sila send ke 




Iklan
Image
Image
Image

biomineral-penawar-penyakit-dan-masalah-kesihatan-yang-mujarab-dan-semulajadi








>
Loading...

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "Lembaga Pengarah 1MDB Tak Tahu Boleh Jamin Pinjaman KWAP"

Posting Komentar