Loading...

SBDJ Siri 77: Akibat Malukan Orang

Loading...
Akhirnya, anak Malik Cina terus pulih seperti sedia kala. Dia terus menghubungi menantunya tentang keadaan isterinya yang sudah baik. Tempoh yang dijanjikan sudah cukup. Saya dan Datuk pun bersedia untuk meninggalkan rumah Malik Cina.

Toyol jadi-jadian

Isterinya menangis melihat saya dan Datuk berdiri di ambang pintu untuk melangkah pulang.

“Bagaimana kalau saya hantarkan,” Malik Cina kemukakan cadangan. Datuk kerutkan dahi. Merenung ke kiri dan ke kanan halaman dengan wajah yang tenang.

“Tak payah, biar kami balik sendiri.”

“Bagaimana dengan kerja yang lalu, berapa upah dan pengerasnya.”

“Apa yang Allah kurniakan pada aku, adalah untuk kebaikan bagi menolong sesama manusia. Aku bukan mencari makan dengan kerja-kerja begini.”

“Maksudnya?”

“Tak ada apa-apa bayaran.”

Malik Cina termenung panjang. Saya terus mengikat tali kasut. Tiupan angin terasa memukul dedaun telinga dan pipi saya.

“Boleh saya tahu, siapa yang membuat anak saya jadi begini,” cara mendadak isteri Malik Cina mengajukan pertanyaan. Malik Cina kelihatan resah tidak keruan.

“Kenapa kamu tanya siapa yang membuatnya?”

“Saya nak balas dendam, kalau boleh saya minta awak buat kerja tu, kalau upahnya satu ekar tanah pun, saya sanggup mengadakannya.”

Membalas dendam dan ambil upah untuk merosakkan hidup orang lain itu bukan kerja saya,” suara Datuk meninggi wajahnya nampak masam. Datuk terus menggenggam penumbuk.

“Malik,” pekik Datuk dengan wajah yang marah.

“Ya, kenapa?”

“Banyakkan bersedekah pada anak-anak yatim dan orang susah, selalulah baca Yasin setiap malam Jumaat, pohon doa, pada Allah minta jauhkan dari segala bala.”

“Ya saya faham, saya nak tahu benarkah sakit anak saya dari buatan orang,” Malik Cina mengajukan pertanyaan.

“Itu aku tak tahu tetapi, aku rasa apa yang kau alami sekarang merupakan pembalasan dan Allah.”

“Ah, saya rasa, sepanjang hidup saya ni, saya tak pernah menganiayai orang, saya tak pernah buat orang susah.”

“Kau tak boleh cakap begitu, mungkin masa muda kamu dulu kamu pernah menipu atau memberi malu pada seseorang,” Datuk menarik nafas panjang. Isteri Malik Cina yang berdiam segera membenamkan pacak sanggul lintang pada sanggul yang seketul atas kepala.

“Itu saja yang nak saya katakan pada kamu berdua, terpulanglah pada kamu berdua memikirkannya sama ada kamu berdua nak ikut atau percaya dengan cakap aku,” selesai sahaja Datuk berkata-kata. Ia terus menggeliat. Tangan saya ditariknya untuk menuruni anak-anak tangga yang dibuat dari kayu cengal.

Bila sahaja tapak kaki Datuk memijak mata tangga terakhir. Malik Cina, menyebut nama Datuk. Mereka berpandangan. Sinar mata Malik Cina redup tertampar ke wajah Datuk.

“Ada apa lagi Malik?”

“Barangkali cakap kamu benar.”

“Maksud kamu.”

Malik Cina terdiam. Pandangannya dialihkan ke arah dinding rumah. Anak perempuannya yang datang cara mendadak di sisinya, renung muka saya, kemudian melangkah dengan tenang.

“Katakan apa saja Malik, aku bersedia mendengarnya,” pohon Datuk. Malik Cina turun menghampiri Datuk. Bahu Datuk dipegangnya. Dadanya nampak berombak. Wajahnya juga kelihatan rasa tidak menentu.

Malik Cina memaksa Datuk duduk di mata tangga terakhir. Saya berdiri dekat mereka. Isterinya mungkin tidak mahu campur dalam urusan Datuk dan Malik Cina, segera menuruti jejak langkah anaknya menuju ke ruang belakang.

“Kau betul dalam hal ini, dulu aku meminang seorang perempuan, bila sampai waktu mahu menikah, aku tidak pergi ke rumahnya pada hal kedua orang tua gadis itu, sudah pun memanggil orang kampung, kaum kerabatnya sudah berkumpul,” Malik Cina membuka rahsia dirinya.

“Kenapa kamu buat macam tu Malik?”

“Saya cara mendadak tak sukakan dia, saya dah jatuh hati dengan isteri saya sekarang.”

“Lepas tu apa yang kau buat, kau tak minta maaf.”

“Tidak, saya takut pada keluarga perempuan tersebut, kalau saya pergi, tentu saya menerima padah yang buruk, saya buat tak tahu dan nikah dengan bini saya sekarang.”

LEMBUT

Cerita dari Malik Cina itu, membuat Datuk menarik nafas panjang. Rasa kecewanya terhadap perangainya Malik Cina terbayang di wajahnya. Angin yang bertiup lembut terus menyentuh wajah saya dan Datuk.

“Aku pernah dengar cerita macam tu, tapi aku tak menduga kau yang melakukannya,” kata Datuk.

“Dari siapa dengar cerita tu?” Soal Malik Cina.

“Aku tak ingat dari siapa?” Jawab Datuk dan terus bangun. Sarungkan kasut capal bertali dua ke kaki. Datuk melangkah dua tapak ke depan.

Datuk berhenti melangkah. Pusingkan badan dan berdiri berdepan dengan Malik Cina yang masih duduk di mata anak tangga terakhir. Bahagian tepi rambut Malik Cina nampak bergerak-gerak disentuh angin.

“Kalau dulu, kau pernah memalukan orang lain, sekarang kau sendiri merasakan balasannya. Ingat, kalau kita pernah menganiayai orang satu hari kelak kita akan menerima padahnya, kalau tidak pada kita, mungkin pada anak cucu kita,” jelas Datuk dengan tenang. Malik Cina segera berdiri. Biji mata Datuk ditentangnya.

“Saya sedar dan faham semuanya,” balas Malik Cina lembut.

“Ingat mulai hari ini, bersihkan hatimu, jangan menganiayai orang, jangan menjatuhkan maruah orang, buatlah baik sesama insan.”

“Ya saya berjanji.”

“Aku doakan kamu bahagia,” tenang sekali Datuk bersuara.

Datuk bersalam dengan Malik Cina. Cepat-cepat Malik Cina memeluk tubuh Datuk. Mereka berdakapan penuh mesra.

Saya hanya memerhatikan sahaja gerak-geri Datuk dan Malik Cina.

“Biar saya hantar awak ke pekan Sungai Siput,” Malik Cina mengemukakan cadangan. Datuk segera menjatuhkan sepasang tangannya yang merangkum tubuh Malik Cina.

“Tak payah, biarlah kami berjalan kaki.”

“Kenapa pula? Naik kereta lagi bagus.”

“Terima kasih Malik, biar kami berjalan.”

Malik Cina garu hujung dagunya berkali-kali. Hatinya tidak berapa seronok mendengar alasan yang dikemukakan oleh Datuk. Dua kali tawarannya ditolak oleh Datuk.

“Terkilan rasa hati saya, datang dijemput, bila balik jalan kaki,” Malik Cina meluahkan rasa hatinya.

“Tak apalah ini permintaan tuan punya diri, kenapa kamu nak susah hati.”

“Saya tahu, tapi kurang seronok.”

“Tak apalah, aku cakap ikhlas,” jelas Datuk.

Datuk menarik tangan saya untuk memulakan langkah.

Tiba-tiba isteri Malik Cina meluru ke arah kami. Di tangannya terselit sampul surat panjang berwarna kekuningan. Isteri Malik Cina hulurkan sampul surat itu pada Datuk.

“Apa bendanya ni?” Datuk agak terkejut.

“Duit, ada dua ratus ringgit untuk upah mengubati anak saya,” jelas isteri Malik Cina. Datuk tergamam. Sampul surat di tangan isteri Malik ditepisnya. Wang bertaburan atas tanah.

Muka Datuk serta-merta menjadi marah. Nafasnya tercungap-cungap. Badannya menggeletar menahan rasa marah. Muka isteri Malik Cina jadi pucat.

“Malik,” jerit Datuk sekuat hati. Malik Cina segera menghampirinya. Wajah isteri Malik Cina yang pucat segera bertukar menjadi kemerah-merahan. Wang yang bertaburan atas tanah dikutipnya sehelai demi sehelai dan disumbat ke mulut sampul surat.

“Bukankah sudah aku katakan, aku bukan mencari rezeki dengan mengubati orang, aku sekadar berusaha yang menentukannya Allah, mengapa perkara yang aku benci ini kamu lakukan pada aku? Apa kamu mahu menguji aku,” Datuk meledakkan apa yang ada dalam hatinya.

“Maafkan saya, saya terlupa beritahu bini saya, dia tak tahu, tak terniat untuk menguji awak,” sahut Malik Cina.

Mukanya nampak cemas.

Datuk termenung. Perlahan-lahan ia menatap wajah isteri Malik Cina yang keadaannya tidak tentu arah.

“Maafkan aku, aku tak berniat nak menjatuhkan air muka kamu, maafkan aku,” nada suara Datuk dibalut rasa kesal yang memanjang. Datuk terus beristighfar beberapa kali.

“Maafkan aku,” ulang Datuk.

“Saya maafkan,” balas isteri Malik Cina. Datuk gembira mendengar kata-kata yang diluahkan oleh isteri Malik Cina. Dan Malik Cina pula berkali-kali minta maaf pada Datuk kerana kesalahannya tidak memberitahu isterinya, tentang pantang larang yang diamalkan Datuk.

“Wang itu kau sedekah pada anak-anak yatim, pada fakir miskin atau hadiahkan pada masjid, barangkali dengan wang itu dapat digunakan untuk membaiki mana-mana bahagian masjid yang rosak,” dalam nada yang lembut Datuk menyatakan pada Malik Cina dan isterinya. Mereka anggukkan kepala.

“Aku nak pesan pada kamu supaya mengamalkan membaca Al-Fatihah sebanyak 41 kali, di antara sembahyang sunat Subuh dengan fardu Subuh,” beritahu Datuk pada Malik Cina.

“Apa faedahnya mengamalkannya?” Soal Malik Cina tidak sabar.

“Kalau orang itu makan gaji, mudah naik pangkat.”

“Lagi.”

“Kalau ia miskin akan jadi kaya, ada saja rezeki yang halal diberikan Allah untuknya.”

“Lagi?”

“Kalau ia banyak hutang, ada saja jalan diberikan Allah untuknya menyelesaikan hutang.”

Malik Cina renung muka isterinya yang khusyuk mendengar penerangan dan Datuk. Saya hanya diam tetapi, apa yang saya dengar tetap saya sematkan dalam hati, Memang tidak mudah Datuk mahu memberikan amalan pada seseorang. Entah apa mimpinya ia mahu memberikan pada Malik Cina.

“Lagi apa faedahnya amalan itu,” Malik Cina mencungkil rahsia.

“Kalau seseorang itu sakit dan amalkan membaca, dengan izin Allah sakitnya akan sembuh,” jelas Datuk.

“Lagi?”

“Jika ia lemah, akan dikuatkan oleh Allah.”

“Lagi.”

“Jika orang itu berdagang atau merantau di negeri orang. Ia tetap dihormati dan dimuliakan, cita-citanya sampai dan orang itu tidak akan dimusuhi oleh sesiapa,” Datuk terbatuk.

“Banyak faedahnya,” kata isteri Malik Cina.

“Ya, dengan syarat diamalkan, tidak meninggalkan sembahyang lima waktu, nampaknya mudah tetapi jarang orang dapat mengamalkannya dengan sempurna,” Datuk meraba pangkal dagu. Ia renung muka saya, memberi isyarat untuk memulakan perjalanan.

“Tapi, kamu sekeluarga harus mengamalkannya, terutama anak kamu, supaya sakitnya tidak berulang lagi,” Datuk mengingatkan Malik Cina dan isteri.

Datuk bersalaman dengan Malik Cina. Kemudian saya pula bersalaman, Saya rasakan genggaman Malik Cina cukup erat, seolah-olah tidak mahu melepaskan saya pulang.

“Selamat jalan, semoga kamu dengan cucu selamat sampai ke tempat yang dituju,” ujar Malik Cina pada Datuk.

“Semoga Allah memberkati dan menyelamatkan keluarga kamu dari sebarang bencana,” jawab Datuk. Malik Cina tunduk tetapi, di kelopak mata isterinya tergenang air jernih.

Saya renung ke arah rumah Malik Cina. Saya lihat anaknya berdiri di muka pintu merenung ke arah saya. Memang, anak perempuan Malik cantik sungguh. Secara diam-diam saya tertarik dengan kecantikannya. Kalau saya disuruh menatap wajahnya selama dua tiga jam, saya sanggup melakukannya.

“Eh tengok apa tu, kamu tahu dia bini orang,” terdengar suara Datuk memukul gegendang telinga saya.

Cepat saya menoleh ke kanan, Malik Cina tersenyum ke arah saya. Toleh ke kiri isteri Malik Cina juga tersenyum. Saya terasa malu dan untuk menghilangkan rasa malu itu, saya terus melangkah dengan cepat mendahului langkah Datuk.

“Cucu awak dah besar, dah ada perasaan pada perempuan,” saya terdengar suara Malik Cina. Kata-kata itu menyindir diri saya. Saya terdengar ketawa Datuk pendek.

Ketawa itu juga saya rasakan menyindir diri saya. Menyesal saya renung ke rumah Malik Cina. Kalau saya renung tadi, tentu saya tidak diketawakan dan jadi bahan bualan mereka. Batin saya terus merungut, penuh rasa kesal.

LANGKAH

Saya terus melangkah. Saya tidak peduli sama ada Datuk mengikuti saya dari belakang atau tidak. Soal yang penting bagi saya ialah tidak mahu pandang muka Malik Cina dan isterinya. Tidak mahu dengar suara mereka. Semuanya menyakitkan hati. Saya terus melangkah.

Bila sampai dekat pokok besar. Datuk terus memegang bahu saya. Ia menyuruh saya jalan bersaing dengannya. Tidak kuasa saya melihat wajahnya.

Saya masih terasa malu kerana rahsia diri saya sudah diketahuinya. Saya berdoa semoga Datuk tidak menimbulkan perkara itu pada saya. Sesungguhnya, saya tidak rela malu untuk kali kedua pada Datuk.

Hati saya terasa lega. Datuk tidak menimbulkan perkara tersebut. Kami terus melangkah seiring di bawah hembusan bayu yang datang dari arah sebuah bukit yang letaknya di pinggir Kampung Bahagia.

Kicau burung yang menyanyi di pepohon kiri kanan jalan amat menyeronokkan. Matahari pagi yang berada di paras pucuk kelapa dara bersinar lembut. Kabus nipis kelihatan bangkit perlahan-lahan di puncak banjaran Titiwangsa. Bayu pun menggerakkan dedaun menghijau.

Indahnya alam ciptaan Allah. Kata nenek, kalau kita mengagumi keindahan alam ciptaan Allah, kita harus bersyukur dan memuji-Nya. Kemudian bandingkan betapa kerdilnya diri kita dalam keindahan alam itu.

Nenek juga berkata, orang-orang yang tinggal di kawasan alam semula jadi. Selalunya hidup aman dan panjang umur, sentiasa tenang. Sebabnya mereka jadi demikian, kerana mereka selalu bersyukur pada Allah secara tidak langsung mereka mendekati diri dengan-Nya.

Dan orang-orang yang selalu mendampingi dirinya dengan Allah, selalu merasa bahagia meskipun pada lahirnya mereka nampak susah dan sukar.

Kekayaan dan pangkat serta penghormatan tidak bererti, kalau batin manusia yang mewah itu tidak tenteram.

Sebabnya kebahagiaan tidak terletak pada kekayaan. Kebahagiaan terletak pada had. Bila hati tenteram, jiwa pun bersih dan wajah pun berseri.

Itu pendapat nenek yang tidak pernah ke sekolah. Susah juga untuk saya mempercayainya tetapi, kata nenek lagi, bila saya bertambah tua dan sudah mengalami rempah-ratus kehidupan, barulah saya tahu, apakah cakapnya itu benar atau tidak. Macam-macam yang datang dalam kepala saya.

Tiba-tiba saya dan Datuk sudah pun sampai ke bibir jalan raya Ipoh - Kuala Kangsar. Saya duduk di batu tepi jalan sambil mengutik-ngutik rumput semalu. Rumput yang kembang segar itu akan terus mengecut bila saya usik dengan hujung sepatu.

Datuk terus merenung ke arah kenderaan yang lalu lalang di jalan raya. Saya terus resah. Sudah berada di tepi jalan raya, Datuk masih belum beritahu saya ke mana harus pergi? Ini yang susahnya mengikut Datuk. Ia tidak mempunyai rancangan yang tertentu.

Saya segera mendekati Datuk. Ia tersenyum sumbing memandang ke arah saya. Ia bagaikan tahu dengan apa yang bergolak dalam diri saya.

“Kita ni nak ke mana tuk?”

“Ke Bakap, dekat Batu Gajah.”

“Bukan nak pergi ke pekan Sungai Siput?”

“Kamu berjalan ikut aku, apa yang aku buat kamu ikut saja jangan banyak cakap. Belum apa-apa dah nak mengajar orang tua.”

Perasaan saya tersentap mendengar kata-kata Datuk itu. Ditanya jawapannya kena marah. Tidak ditanya hati resah. Memang serba salah jadi cucu pada Datuk yang selalu beranggapan yang cucunya tidak pandai dan mesti patuh dengan cakapnya.

Datuk menahan bas yang mahu ke Ipoh. Saya disuruh naik dulu. Saya memilih tempat di bahagian belakang. Tetapi Datuk tidak setuju dengan tempat yang saya pilih itu. Ia suruh saya pilih tempat duduk yang berhampiran dengan pemandu.

“Jangan biasakan bila naik bas duduk di belakang.”

“Kenapa tuk?”

“Tak bagus, kalau ada kejadian yang tak diingini kita susah bertindak, sebaik-baiknya pilih di bahagian tengah.”

“Sebabnya tuk?”

“Kalau diserang komunis dari depan kita dapat bersedia begitu juga kalau diserang dari arah belakang.”

“Tapi, kita duduk di bahagian depan sekarang tuk?”

“Tak apa kerana aku rasa perjalanan kali ini selamat.”

Saya diam. Tidak kuasa mengajukan sebarang pertanyaan padanya. Bas terus meluncur. Saya terus terlelap. Saya terkejut bila bas berhenti dengan tiba-tiba. Saya gosok kedua belah mata dan renung kiri dan kanan. Apa yang saya lihat ialah kebun getah yang subur.

“Kita ni di mana tuk?”

“Kita baru meninggalkan Pekan Chemor.”

“Kenapa has ni berhenti di tengah hutan tuk.”

“Kamu tengok tu,” Datuk meluruskan telunjuknya ke arah belukar kecil di kiri bas.

Saya terkejut, saya lihat lebih dari dua puluh orang lelaki memakai baju seragam dengan topi leper berbucu lima. Di tangan mereka lengkap dengan senjata api.

“Itu askar tuk,” kata saya.

“Bukan, itu komunis,” sebaik sahaja Datuk mengakhiri kata-katanya. Tiga orang anggota komunis naik ke bas. Seorang berdiri di tangga bas. Seorang berdiri di bahagian tengah. Dan seorang di bahagian belakang bas.

Saya amati, yang berdiri di tangga bas. Orang India. Di tengah bas, orang Cina dan di bahagian belakang orang Melayu. Saya kira yang berdiri di tengah adalah ketua mereka.

Manakala di luar bas kelihatan lebih dari dua puluh anggota komunis duduk dalam belukar. Mereka menghalakan muncung senapang ke arah bas.

Penumpang bas yang sebahagian besarnya terdiri dari orang Melayu dan Cina serta beberapa orang India kelihatan cemas.

Pemandu bas diarahkan turun oleh komunis berbangsa India. Wang yang ada pada penjual tiket bas dirampas oleh komunis berbangsa Cina. Penjual tiket juga disuruh turun.

“Sekarang, semua orang bangun, letakkan duit, jam tangan, emas dan apa yang kamu bawa dekat pintu has, kalau kamu membantah kami tembak. Keluar satu-satu,” perintah komunis Melayu yang berada di bahagian belakang bas.

Semua penumpang bas patuh. Semua barang yang mereka bawa diserahkan pada pihak komunis. Bila sudah turun dari bas. Kami disuruh berbaris. Seorang anggota komunis melakukan pemeriksaan pada diri penumpang. Semua kad pengenalan bas dirampas dan dikumpulkan di tanah lapang untuk dibakar.

Dua orang pemuda Melayu dihentak oleh anggota komunis dengan buntut senapang. Sebabnya, kedua pemuda Melayu itu tidak mahu menyerahkan rantai leher yang dipakai. Saya lihat pemuda Melayu itu jatuh terlentang dan mulut mereka berlumuran darah.

Datuk hanya melihat peristiwa itu dengan tenang. Dahinya nampak berpeluh dipanah sinar matahari yang garang. Saya kira ketika itu, lebih kurang pukul sebelas pagi.

“Ingat siapa tak mahu dengar cakap kami inilah padahnya,” kata anggota komunis berbangsa Melayu. Anggota komunis bangsa India dan Cina menegakkan ibu jarinya memuji tindakan anggota komunis bangsa Melayu itu.

“Ini hari gua kasi power sama lu, lu boleh bikin apa saja,” kata anggota komunis Cina (ketua) pada anggota komunis bangsa Melayu. Sedangkan anggota komunis bangsa India ketawa. Matanya merenung tajam pada gadis India berkulit cerah. Berusia sekitar 18 tahun.

Gadis India yang memakai sari itu nampak gelisah. Berkali-kali ia merenung wajah ibunya. Tetapi, anggota komunis bangsa India itu terus melihatnya terutama di bahagian perut gadis India yang dibalut oleh kain sari.

“Lu suka sama dia, kalau suka ambil bawa masuk hutan,” ujar ketuanya.

“Nanti dulu,” jawab anggota komunis bangsa India. Keadaan ketika itu memang mencemaskan. Pemandu kenderaan yang lalu-lalang di situ, buat tidak kisah dengan apa yang terjadi. Mungkin mereka menyangka bas yang berhenti itu rosak.

“Eh budak, kenapa kamu tak serahkan cincin yang kamu pakai,” anggota komunis menghampiri saya.

“Ini bukan emas, ini suasa, orang lelaki haram pakai emas,” kata saya.

“Sekarang kasi sama kami.”

“Tak boleh,” saya berkeras.

“Kuranggg ajjjjar punya budak.”

Muka saya ditampar dan perut saya ditendang. Saya berguling-guling di bumi menahan kesakitan. Saya melolong minta tolong pada Datuk. Saya lihat Datuk tidak juga bertindak. Dan anggota komunis Melayu itu mengangkat buntut senapangnya untuk menghentak kepala saya.

Belum pun sempat buntut senapang itu hinggap di kepala saya. Datuk menerpa ke arah anggota komunis tersebut. Ia menendang senapang di tangan anggota komunis tersebut. Senapang itu terpelanting dan terus meletup. Salah seorang anggota komunis yang berdiri tidak jauh dari situ menjerit dan terus rebah.

Perutnya yang ditembusi peluru mengeluarkan darah yang banyak. Tendangan Datuk itu disusuli dengan penumbuk. Anggota komunis itu tersandar di pangkal getah. Bila ia cuba bangun, Datuk bagaikan terbang menerkam ke arahnya. Satu tendangan hinggap di bahagian kiri perutnya. Anggota komunis itu terus lembik di situ.

Suasana menjadi tegang. Dalam beberapa saat sahaja anggota komunis terus mengerumuni Datuk. Mereka menghalakan muncung senapang ke arah Datuk. Saya menjadi cemas dan Datuk menjadi kaku. Tetapi, ekor matanya terus mengawasi anggota komunis di sekelilingnya.

Anggota komunis berbangsa India menghampiri Datuk. Tanpa berkata apa-apa, ia melepaskan penumbuk ke arah Datuk. Cepat-cepat Datuk mengelak dan terus menyambar pergelangan tangannya.

Dengan sekuat hati, Datuk menolaknya ke kanan, Ia terperosok dalam perdu nanas. Pistol yang terselit di pinggangnya terpelanting lalu jatuh di depan Datuk. Tanpa membuang masa Datuk terus memijak pistol itu hingga terbenam dalam tanah.

“Tangkap dia dan tembak,” ketua komunis yang berbangsa Cina mengeluarkan perintah. Belum pun sempat Datuk menoleh ke kanan, tiga orang anggota komunis memeluk tubuhnya dengan kejap. Anggota komunis bangsa India yang terperosok dalam perdu nanas segera bangun. Wajahnya nampak bercalar.

“Ikat dan tembak dia,” katanya marah sambil melempar tali sabut pada kawannya. Datuk kelihatan tenang. Ia membiarkan anggota-anggota komunis itu membelitkan tali sabut ke tubuhnya. Datuk ditarik macam lembu menuju ke pangkal pokok Petai. Datuk terus diikat di situ.

“Sekarang suruh orang-orang yang turun dari bas naik ke bas semula, suruh dia orang tengok kita tembak orang tua yang nak mampus ni,” ketua komunis bangsa Cina mengeluarkan arahan pada anggota komunis bangsa Melayu.

Arahan itu segera dipatuhi. Penumpang bas kembali ke tempat duduk masing-masing. Tetapi, pemandu bas dan penjual tiket tidak dibenarkan naik bas. Mereka disuruh berdiri tidak jauh dari pintu bas.

“Eh kamu budak, mari sini, kamu duduk sini, kamu tengok macam mana orang tua ni mampus,” anggota komunis bangsa India bersuara lalu menarik tengkuk baju saya.

Saya disuruh duduk bertinggung menghadap ke arah Datuk. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa cemas dan takutnya saya ketika itu.

BAKAR

Di tengah suasana tengah hari yang terik dan perit itu, saya rasa kulit muka saya bagaikan mahu terbakar. Baju saya basah diresapi peluh. Saya menangis tersedu di depan Datuk.

“Tamar, jangan menangis, tidak ada manusia yang boleh memisahkan roh dari jasad seseorang, jika tidak diizinkan oleh Allah, janganlah kamu takut pada mereka,” kata Datuk berpandangan sama sendiri.

Dua tiga orang daripada mereka menjuihkan bibir dan sebahagian yang lain senyum dan ketawa kecil.

“Sekejap lagi kamu tahu, siapa besar, Allah kamu atau peluru senapang, masa itu kamu boleh minta tolong dengan Allah,” sindir anggota komunis bangsa Melayu. Datuk hanya diam sahaja. Wajahnya kelihatan aman tenang sekali.

Saya terus mengesat air mata, ketika itu juga saya terdengar suara jeritan burung helang, panjang dan amat nyaring sekali. Saya lihat ke langit, saya lihat burung helang itu terbang berlegar-legar di atas kepala kami.

Menurut petua orang tua-tua, bila burung helang berbunyi di atas kepala dan berpusing-pusing waktu tengah hari, itu tandanya orang yang berada di bawahnya akan menemui kesusahan, bagi mengelakkan perkara itu terjadi, orang yang mendengarnya harus memukul pangkal pokok besar sekuat hati, dengan harapan dapat didengar oleh burung helang, dengan itu burung helang tersebut akan terbang ke tempat lain.

Tamat siri 77/284

BACA: SBDJ Siri 76: Uji Ilmu Pada Isteri Orang
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

Loading...

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "SBDJ Siri 77: Akibat Malukan Orang"

Posting Komentar