Loading...
“Kita berjaga-jaga, mungkin orang betul mungkin tidak,” Datuk mengingatkan. Ia terus bangun. Bersedia menghadapi seribu kemungkinan. Rasa bimbang itu berakhir dengan kemunculan dua anggota polis serta kawan Alang Abdul Rauf yang telah diperintahkan pergi ke balai polis.
Saya ketawa sendirian, masalah yang menghantui diri saya dan orang-orang lain di tanah kubur sudah terjawab.
Kedua anggota polis itu merungut kerana terhidu bau busuk. Setelah Alang Abdul Rauf mengadakan perbincangan dengan anggota polis kedua-dua mayat yang tidak reput itu terus diusung keluar dari kawasan tanah perkuburan.
“Pagi esok saya uruskan untuk ditanam di kawasan baru,” beritahu Alang Abdul Rauf pada ketua balai Polis.
Tidak ada bantahan dari ketua balai tetapi, kedua-dua mayat itu terpaksa disimpan di hospital Batu Gajah sementara menanti hari siang.
Semua yang terlibat dengan kerja-kerja menggali mayat di tanah perkuburan lama terus pulang ke rumah masing-masing.
DATANG
Pagi itu, lebih kurang pukul lapan, kawan-kawan Alang Abdul Rauf yang menggali kubur malam tadi datang.
Alang Abdul Rauf segera menyuruh pergi ke kawasan tanah perkuburan yang baru untuk menggali lubang bagi menanam mayat yang tidak reput yang ditemui malam tadi.
“Semuanya pergi dulu, aku ke balai dulu menyelesaikan semua urusan, tunggu di sana sampai mayat tiba, boleh jadi aku tumpang jeep polis yang bawa mayat ke situ,” terang Alang Abdul Rauf.
Kawan-kawannya mengangguk tanda setuju mematuhi cakapnya.
Sebaik-baik saja kawan-kawan Alang Abdul Rauf pergi saya dan Datuk serta Alang Abdul Rauf pun berangkat ke balai polis. Saya terkejut, bila melihat orang ramai berkumpul d depan balai.
Semuanya mahu melihat mayat tidak reput yang baru saja dikeluarkan dari hospital. Kebanyakannya meninjau dari jauh kerana tidak sanggup menghidu bau busuk.
“Mana lagi satu mayat,” soal Alang Abdul Rauf pada ketua balai yang berdiri tidak jauh dari jeep.
“Yang lagi satu sekejap lagi sampailah, kami pakai dua jeep,” jelas ketua balai.
Alang Abdul Rauf renung muka Datuk. Saya beredar dari situ menuju ke tanah lapang. Hidung saya tidak tahan menghidu bau busuk dari mayat dalam jeep.
“Begini saja, boleh tak Datuk sarjan hantar mayat ni ke masjid, di sana ada orang menanti untuk menguruskannya mayat ini mahu dimandikan dan dikapankan sebelum ditanam,” ujar Alang Abdul Rauf dengan wajah yang tenang.
“Kalau begitu, biar saya suruh drebar hantar mayat ke masjid.”
“Itulah yang baiknya, Datuk sarjan.”
Waktu jeep itu mula bergerak, beberapa orang yang tidak menghiraukan bau busuk rapat ke jeep.
Mereka menyelak kain penutup mayat, sebaik sahaja kain itu terbuka, muka mereka terus pucat tidak berdarah.
Tanpa berkata sepatah pun mereka terus menjauhkan diri dari jeep. Ada di antaranya yang muntah.
Jeep yang membawa mayat tidak reput dan berbau busuk itu meninggalkan kawasan balai menuju ke masjid.
Datuk, Alang Abdul Rauf dan saya tidak ikut serta. Kami menanti mayat yang lagi satu. Orang ramai masih lagi menunggu di kawasan balai polis. Mereka bagaikan tahu ada mayat yang akan tiba.
Sepuluh minit kemudian jeep yang membawa mayat kedua pun tiba. Sebaik saja jeep itu berhenti, orang ramai terus menghampirinya. Semuanya bersuara mengatakan mayat yang baru sampai itu berbau wangi.
Dalam keadaan yang agak kelam-kabut itu ada tangan yang membuka kain penutup mayat.
Mana yang sempat melihat rupa mayat itu terus memberitahu kawan-kawannya yang lain tentang wajah mayat yang bersih, tenang dalam keadaan tersenyum.
Cerita itu cukup cepat merebak. Orang kian ramai datang ke kawasan balai polis. Masing-masing mahu melihat rupa mayat yang tidak reput dan mengeluarkan bau wangi yang harum.
Dalam keadaan yang tidak menentu itu, ketua balai menyuruh Alang Abdul Rauf, Datuk dan saya masuk ke perut jeep. Perintahnya itu segera kami patuhi.
Sebelum jeep bergerak Datuk dan Alang Abdul Rauf bersalaman dengan ketua balai polis yang berbadan tegap, memiliki raut muka yang agak garang, berkulit hitam tetapi, setiap kali bercakap nada suaranya lembut dan bersopan sekali.
Ketika jeep bergerak perlahan-lahan, keluar dari kawasan balai polis, orang ramai terus mengikutinya hingga sampai ke pintu pagar. Mereka bagaikan tidak puas menatap dan mencium bau wangi dari mayat yang tidak reput itu.
Dalam keghairahan orang ramai yang mahu melihat mayat tidak reput, pemandu jeep terus menekan minyak dan jeep terus meluncur laju.
Orang ramai yang berkerumun di tepi pagar dan terus di gayut rasa kecewa dan hampa yang memanjang.
SELESAI
Sebelum masuk waktu Zuhur, urusan mengebumikan dua mayat yang tidak reput itu pun selesai tetapi, kisahnya menjadi buah bibir orang-orang sekitar Batu Gajah.
Dan ceritanya pula berbeza dengan cerita yang sebenar. Sudah ditokok tambah untuk menyedapkan sesiapa saja yang mendengarnya.
Datuk yang sudah tahu cerita sebenarnya hanya tersenyum. Begitu juga dengan Alang Abdul Rauf.
Seronoknya, ada di antara tukang-tukang cerita itu yang tidak tahu peristiwa tersebut telah dilalui oleh Datuk dan Alang Abdul Rauf serta kawan-kawannya.
Mereka pun bercerita di depan Datuk dan Alang Abdul Rauf, kononnya, kedua-dua mayat yang tidak reput itu telah memberitahu pada orang yang menemui mereka (mayat), tentang harta karun yang tertanam di satu tempat yang disebut sebagai Cangkat.
Cangkat yang dimaksudkan oleh mereka itu ialah sebuah kawasan tanah yang kedudukannya agak tinggi dengan keadaan tanah sekitarnya dan telah dibangunkan hospital, pejabat kerajaan, kem tentera serta kawasan perumahan.
Di kawasan kaki Cangkat itulah kononnya ada harta karun yang nilainya berjuta-juta ringgit.
Akibat percayakan cakap-cakap yang tidak bertanggung jawab itu, beberapa orang telah masuk ke kawasan tersebut dan menggali tanah di kawasan kaki bukit itu.
Akibatnya, mereka telah diberkas oleh polis kerana menceroboh tanah kerajaan yang sudah di pagar untuk dibangunkan beberapa projek yang berfaedah untuk orang ramai.
Walaupun ada yang ditangkap dan dikenakan denda tetapi, masih terdapat juga orang yang berani menceroboh dan menggali tanah di kawasan tersebut.
Mereka cukup yakin dan percaya dengan cerita yang sengaja di adakan-adakan oleh pihak yang suka menyebar khabar-khabar angin.
“Satu hari nanti mereka sedar, apa yang mereka dengar bukannya cerita yang betul,” kata Datuk pada Alang Abdul Rauf yang kurang senang dengan cerita-cerita yang sampai ke telinganya.
“Cerita mayat wangi dan busuk ini, dah merebak sampai ke Pulau Pinang, entah siapa yang menyebarnya,” keluh Alang Abdul Rauf.
“Mulut manusia tak ada sesiapa yang boleh menahannya,” sanggah Datuk.
Mereka ketawa sambil melihat matahari petang yang kian condong dari anjung rumah.
“Esok, aku balik Alang,” kata Datuk.
Alang Abdul Rauf sambil berhenti menggulung rokok daun bersama tembakau jawa. Muka Datuk direnungnya.
Hati saya cukup gembira dengan keputusan yang Datuk buat. Saya sudah bosan tinggal di rumah orang lama-lama.
“Tak apalah, kalau dah begitu hajat awak, Maghrib ni kita berjemaah di masjid Batu Gajah,” tutur Alang Abdul Rauf sambil meletakkan rokok nipah ke bibir.
“Kenapa tak jemaah di surau kampung ni, Alang?”
“Ada guru agama dari Selekoh, Bagan Datuk nak bersyarah hal agama, aku rasa elok kita pergi,” balas Alang Abdul Rauf.
“Elok juga tu, kalau begitu elok kita mandi dan bersiap tak lama lagi sampailah waktu Maghrib,” suara Datuk riang.
Datuk menyuruh saya mandi dulu. Kemudian dia pula menyusul dan diikuti oleh Alang Abdul Rauf.
Akhirnya kami pun menuju ke masjid Batu Gajah. Sebaik saja sampai di masjid salah seorang para jemaah memberitahu Datuk bahawa guru agama itu memang dijemput khas dari Selekoh dan namanya memang terkenal di negeri Perak.
Selepas menunaikan waktu Maghrib guru agama itu pun menyampaikan ceramah agamanya hingga sampai waktu Isyak.
Setelah menunaikan fardu Isyak para jemaah pun beransur pulang. Alang Abdul Rauf pun mengajak Datuk pulang tetapi, permintaan Alang Abdul Rauf itu tidak dapat ditunaikan oleh Datuk. Alang Abdul Rauf terkejut.
Setelah diterangkan oleh Datuk tujuan sebenarnya, Alang Abdul Rauf segera faham dan masuk ke masjid kembali.
Mereka duduk dekat guru agama yang sedang bersiap-siap untuk pergi ke rumah imam masjid tempat ia bermalam.
“Ada apa hajat?” tanya guru agama itu.
“Saya cuma nak bertanya tentang hal-hal agama dan macam-macam hal lain yang ada hubungannya dengan makhluk Allah,” ujar Datuk.
“Silakan, mana yang saya tahu, saya terangkan, mana yang saya tak tahu, saya tanya pada orang yang lebih tahu kemudian saya beritahu pada awak,” terang guru agama itu dengan jujur dan ikhlas.
Datuk dan Alang Abdul Rauf berpandangan. Datuk pun memberikan syarat pada Alang Abdul Rauf untuk mengemukakan pertanyaan.
Alang Abdul Rauf pun menerangkan pada guru agama tentang peristiwa mayat yang ditemuinya, satu berbau busuk dan satu berbau wangi tetapi kedua-dua mayat itu tidak reput.
Guru agama itu mendengar dengan khusyuk keterangan dari Alang Abdul Rauf.
“Kata orang, mayat yang tak reput tu menunjukkan masa hidupnya si mati hafiz Quran,” cara mendadak saja Imam masjid yang duduk di sebelahnya mengeluarkan pendapat.
Guru agama terkenal itu diam. In merenung muka Alang Abdul Rauf dan Datuk berkali-kali.
“Saya juga pernah dengar orang kata macam tu, seseorang yang boleh mengingati ayat Quran dari awal hingga akhir boleh membaca dengan betul masa hidupnya, bila mati mayatnya tak reput.
Itu kata orang-orang, entah benar entahkan tidak. Allah saja yang menentukannya,” jelas guru agama terkenal dengan jujur.
Tiba-tiba saja imam masjid yang berada di sebelahnya tersenyum memandang Alang Abdul Rauf.
“Rauf,” katanya.
"Kau nak tanya tentang mayat yang aku kapankan pagi tadi?”
Alang Abdul Rauf anggukkan kepala. Imam masjid renung muka guru agama sambil berkata, “Begini tuan guru, biar saya bercerita tetapi ini cerita saja, entahkan betul entahkan tidak, saya tak berani nak kata.”
“Ceritakan, barangkali cerita itu ada faedahnya untuk orang yang hidup, boleh dijadikan panduan,” guru agama itu memberikan kerjasama pada imam masjid.
Imam masjid itu bercerita, mayat yang tidak reput dan berbau wangi itu adalah mayat seorang lelaki yang buta tetapi boleh membaca Quran dengan lancar.
Semasa hayatnya menjadi guru agama pada anak-anak raja di istana serta menjadi kadi dan imam masjid, ketika kawasan Batu Gajah ini mula diterokai. Orang itu berasal dari Kelantan.
“Mana tuk Imam tahu semuanya ni?” tanya guru agama.
“Arwah ayah saya yang menceritakan pada saya. Ayah saya adalah anak muridnya masa ayah saya hidup dulu. Ayah saya selalu menziarahi kuburnya,” jelas imam itu.
“Lagi apa cerita ayah awak tentangnya,” soal Datuk.
“Kata ayah saya, orang tu masa mudanya belajar agama di tanah suci,” jelas imam itu sambil merenung wajah guru agama yang duduk di sisinya.
Serentak Alang Abdul Rauf dan Datuk anggukkan kepala.
“Macam mana dengan mayat yang lagi satu, berbau busuk dan mukanya menakutkan? Mayat siapa agaknya, Pak Imam tentu tahu ceritanya,” Datuk mengajukan pertanyaan.
Saya lihat Pak Imam terdiam sejenak, macam memikirkan sesuatu.
“Saya tak tahu,” katanya pendek.
Datuk dan Alang Abdul Rauf berpandangan. Rasa kecewa jelas terbayang di wajah mereka.
Saya lihat guru agama yang duduk di depan kami, meraba-raba hujung serbannya berkali-kali. Sesekali ia kelihatan merenung ke ruang masjid yang luas.
“Kata orang,” guru agama itu mula bersuara.
Alang Abdul Rauf dan Datuk memperkemaskan sila masing-masing.
Pak Imam juga menumpukan seluruh perhatiannya pada guru agama. Matanya tidak berkedip merenung ke arah bibir guru agama tersebut.
“Mayat tak reput, berbau busuk dan muka pula berbulu ini pernah saya dengar ceritanya.
"Kata orang, mayat yang macam itu, menandakan si mati itu masa hidupnya orang yang alim tahu hal-hal agama, hafaz Quran, tetapi banyak mengamalkan perbuatan yang bertentangan dengan hukum agama,” sambung guru agama itu.
“Maksud tuan guru macam mana?” tanya Datuk.
Terdengar suara cicak menjerit dari tulang bumbung masjid. Bunyi dedaun yang berlaga sesama sendiri jelas kedengaran akibat dirempuh angin malam.
“Begini, dia menjalankan semua yang disuruh agama tetapi, dia juga melakukan perkara yang ditegah, umpamanya dia jadi dukun atau bomoh dan bersahabat dengan syaitan.”
“Begitu,” sahut Alang Abdul Rauf.
“Ya, ada orang alim dan dihormati jadi tukang ramal memberi nombor ekor pada orang ramai dengan mengguna ayat-ayat Quran, jadi tukang tilik, ada juga yang memutuskan ubat dengan cara berjamu, pada hal dia tahu cara itu bertentangan dengan ajaran agama tetapi dilakukannya juga,” terang guru agama itu dengan wajah yang tenang.
Kami semua termangu mendengar kata-katanya.
“Bukankah jadi dukun dan bomoh itu baik, menolong sesama manusia,” ungkah Alang Abdul Rauf.
Sepasang mata guru agama tertancap ke wajah Alang Abdul Rauf. Datuk nampak resah dan saya mula menggeliat.
“Tengok caranya. Kalau kita mengamalkan petua yang tidak bertentangan dengan agama, tidak menjadi salah, kalau sudah sampai menurun panggil roh Datuk nenek, berjamu itu dan ini, tentu tak elok, apa lagi minta tolong pada keramat itu dan ini, syirik jadinya,” cukup tenang guru agama itu memberikan penjelasan. Senyum sentiasa bermain di bibirnya.
“Allah itu maha pemurah, yang baik kamu minta, yang baik diberinya, kalau yang jahat kamu minta yang jahat juga dibaginya tetapi, kita sebagai makhluk yang berakal tentu dapat memilih mana yang baik dan yang buruk,” makin ghairah guru agama itu meluahkan keterangan yang diketahuinya.
“Hum, begitu,” Alang Abdul Rauf bersuara sambil anggukkan kepala.
“Iblis, tidak pernah berhenti berusaha merosakkan anak Adam, janganlah terkejut, kalau ada orang alim jadi tukang tilik, mencari nombor ekor dengan ayat Quran dan macam-macam lagi, padahal mereka tahu apa yang mereka lakukan itu bertentangan dengan ajaran agama tetapi, kenapa perkara itu dilakukan juga?” guru agama itu mengemukakan pertanyaan, matanya merenung muka saya, muka Datuk dan Alang Abdul Rauf seolah-olah mengharapkan jawapan dari pertanyaan yang diajukannya itu.
Imam masjid duduk dekat guru agama tersebut tetap membatu seperti tadi. Sesekali kelihatan ia menguap panjang sambil memejam-celikkan matanya. Saya tahu imam masjid itu mula terasa mengantuk.
Kerana tidak ada sesiapa pun yang mahu memberikan jawapan pada pertanyaannya itu, wajah guru agama itu nampak seakan-akan kecewa sedikit.
“Mereka dikuasai iblis,” mendadak saja imam masjid bersuara.
Saya lihat guru agama itu anggukkan kepala. Ia senyum lagi, sinar matanya yang bersinar tertumpu ke wajah saya.
“Orang yang tidak terdaya melawan nafsu, selalu jadi mainan iblis. Seorang dukun atau bomoh biasanya mempunyai keinginan dan nafsu yang tinggi, ingin memperlihatkan kebolehan diri sendiri pada orang lain, bila sudah ada orang percaya, mulalah kenakan bayaran.
"Pada mulanya murah, kemudian mahal. Bila sampai saat begini, iblis mencelah lalu memperkuda keinginan dan nafsunya.
"Kalau dia sedar betapa lemah dirinya dan betapa besar pula kuasa Allah, dia tidak akan melakukan semuanya,” satu keterangan dari guru agama yang amat mengesankan bagi saya.
Apakah keberkesanan itu terpancar juga dalam hati Datuk dan Alang Abdul Rauf. Hanya Allah saja yang tahu.
Entah mengapa malam itu, guru agama itu kian rancak mahu memberi semacam kursus agama singkat.
Guru agama itu mengingatkan kami supaya setiap kali bangun dari tidur mengucap dua kalimah syahadat sebelum melakukan sesuatu.
“Kamu tahu, bila kita terjaga dari tidur, iblis sudah pun mengikat diri kita dengan tiga rantai dan kita perlu memutuskan rantai itu terlebih dahulu sebelum kita meneruskan kehidupan.
"Apabila tidak diputuskan rantai, iblis terus mengikat diri kita sepanjang hari yang boleh mendorongkan kita melakukan sesuatu yang dimurkai Allah,” tercetus kata-kata dari guru agama itu.
Saya lihat imam masjid membeliakkan biji matanya. Datuk kemaskan silanya, begitu juga dengan Alang Abdul Rauf.
“Bagaimana caranya kita nak memutuskan rantai tu, tuk guru,” saya bagaikan mendapat satu kekuatan untuk mengajukan pertanyaan padanya.
Datuk menjeling tajam pada saya tetapi Alang Abdul Rauf menepuk bahu saya sambil berbisik memuji keberanian saya itu.
“Rantai pertama diputuskan dengan mengucapkan dua kalimah syahadat, sebaik saja terjaga dari tidur. Rantai kedua diputuskan dengan mengambil air sembahyang dan rantai ketiga diputuskan dengan mendirikan solat Subuh,” ujar guru agama itu.
Wajahnya nampak berseri-seri tanda kepuasan. Matanya masih merenung ke arah saya.
Alang Abdul Rauf terus menegakkan ibu jari kelingkingnya, beri semangat pada saya untuk mengemukakan sebarang pertanyaan lagi pada guru agama tersebut.
Saya gelengkan kepala sambil ekor mata melirik pada Datuk yang tertunduk merenung lantai.
“Rantai tu ada di bahagian mana tubuh kita tuk guru?” Alang Abdul Rauf mengemukakan pertanyaan.
Guru agama itu meraba-raba hujung hidungnya dengan jari kelingking berkali-kali.
“Pertama, iblis merantai hati dan niat kita, kemudian merantai fikiran dan mata kita, bila iktikad hidup dipesongkan sejak subuh, cubalah kita bayangkan bagaimana mudahnya iblis menguasai diri kita sepanjang hari,” guru agama itu menarik nafas dalam-dalam.
Matanya merenung ke arah jam yang terlekap di tiang seri masjid.
Dua tiga kali saya menggosok kelopak mata hingga berair sambil menguap. Saya mula terasa mengantuk.
Pak Imam yang duduk berdekatan dengan guru agama kelihatan tersengguk-sengguk dua tiga kali. Alang Abdul Rauf tersenyum panjang melihat telatah Pak Imam tersebut.
Tiba-tiba Pak Imam membeliakkan biji matanya sambil menggeliat dan terus berdiri.
“Dah pukul sebelas,” terpancut kata-kata dari mulut guru agama.
“Ya,” tingkah Abdul Rauf.
“Kalau begitu eloklah kita balik,” Pak Imam terus memotong.
Datuk dan saya berpandangan. Alang Abdul Rauf pula turut berdiri.
Guru agama masih lagi duduk bersila dengan sepasang tangannya bergerak lembut menyusun beberapa buah kitab yang berserak di depannya.
Semua kitab tersebut disumbatkannya ke dalam beg bimbit yang dibuat dari kulit kambing.
“Dah mengantuk?” guru agama itu mengajukan pertanyaan pada Alang Abdul Rauf.
“Macam mana tak mengantuk embun jantan pun dah turun,” sambung guru agama itu lagi bila melihat kami tidak menjawab pertanyaannya.
Guru agama itu segera bangun dengan diikuti oleh Datuk.
“Macam mana Pak Imam, bolehkah saya balik?” guru agama itu tujukan pertanyaan untuk Pak Imam yang selalu saja menggosok kelopak matanya.
“Boleh, tak salah asalkan tuk guru mahu.”
“Kalau begitu, lain kali saja kita bercerita panjang. Saya tak pandai cerita tentang politik dunia dan dalam negeri, saya cuma tahu cerita tentang agama saja, semua perkara yang dah di ceritakan itu saya ambil dari hadis yang sahih dan ada juga dari hadis yang daif".
Walaupun sudah mahu pulang tetapi, guru agama itu seperti mahu melanjutkan ceramah yang tidak termasuk dalam jadualnya. Ia berdiri sambil merenung wajah-wajah kami yang ada di depannya.
“Terima kasih tuk guru, saya cuma nak tanya sikit saja tadi tak sangka boleh berpanjangan sampai pukul sebelas malam,” Alang Abdul Rauf melahirkan rasa terkilannya.
“Tak apa, saya memang suka begitu, orang tanya sikit saya jawab panjang-panjang, sebabnya bila ada orang bertanya saya menjawab secara tak langsung mempertajamkan ingatan saya pada ilmu yang saya pelajari.
"Kalau saya tak dapat jawab ertinya ilmu saya tak cukup lagi dan saya mesti belajar lagi.”
Guru agama itu terus merendah diri. Pak Imam tetap tersengih. Datuk dan Alang Abdul Rauf tunduk merenung lantai, kagum dengan sikap guru agama yang mengamalkan resmi padi, makin tunduk makin berisi.
Saya terkejut bila saya melihat guru agama itu menghulurkan tangan pada Datuk, pada Alang Abdul Rauf dan saya untuk bersalam.
Memang, dia guru agama yang rendah diri dan hati, bisik hati saya kerana sebelum ini, saya pernah berhadapan dengan beberapa orang guru agama.
Mereka tidak akan menghulurkan tangan untuk bersalam dengan orang lain, melainkan orang yang ingin bersalam itu menghulurkan tangan terlebih dahulu barulah mereka mahu bersalam.
“Kita jumpa lagi lain kali tuk guru, maaf lahir batin,” kata Datuk.
Guru agama tersenyum tangan Datuk tetap digenggamnya erat-erat.
“Kalau diizinkan Allah dan umur kita panjang, kita tetap berjumpa, amalkan kata-kata saya yang baik dan buangkan mana yang difikirkan tidak baik.”
“Saya tak faham tuk guru.”
“Saya beritahu awak apa yang saya tahu, kemudian awak cari dan tambahlah ilmu, saya ni walaupun boleh memberi ceramah tetapi saya masih juga belajar, ilmu Allah tak ada sempadannya.”
“Saya faham tuk guru,” nada suara Datuk merendah.
Guru agama tersenyum kemudian merenung muka Alang Abdul Rauf. Mereka berbalas senyum.
“Rajin-rajin sembahyang dan ikut perintah Allah,” secara mendadak saja guru agama itu menjatuhkan telapak tangan kanannya ke bahu kiri saya, dituruti dengan tepukan yang bertalu-talu penuh kemesraan.
Alang Abdul Rauf, Datuk dan Pak Imam ketawa melihat keadaan saya yang tergamam.
“Anak awak ke?” Guru agama tujukan pertanyaan pada Datuk.
“Tidak,” jawab Datuk.
“Cucu?” Soal guru agama.
“Ya cucu saya,” Datuk anggukkan kepala.
Guru agama berhenti menepuk bahu saya. Ia terus mendekati Datuk dan Pak Imam, kemudian ia mengajak kami keluar dari perut masjid.
“Dia budak yang cerdik, asuhlah dia dengan agama sebelum melepaskan dirinya ke mana-mana, bila dirinya sudah ada asas agama kita tidak bimbang walaupun merantau ke kaki langit, dadanya sudah berisi dengan akidah Islam,” demikian guru agama itu menyatakan pada Datuk sebaik saja berada di luar masjid.
Saya faham, ungkapan yang diluahkannya itu adalah untuk diri saya. Datuk mendengar penuh teliti dengan nasihat yang diluahkan oleh guru agama itu.
Angin yang bertiup membuat badan saya terasa dingin. Kepala saya dongakkan ke langit, melihat awan-gemawan dan bintang-bintang yang berserakan.
Dalam saat yang sama terdengar lolongan anjing sayup-sayup datangnya dari arah pekan Batu Gajah.
“Membentuk diri seseorang supaya teguh beramal dan mengingati Allah, mestilah bermula dari kecil, macam kata orang tua-tua membentuk buluh dari rebungnya,” lanjut guru agama itu dan semua yang mendengarnya anggukkan kepala, macam itik air bertemu kawan.
Lagi sekali Datuk, Alang Abdul Rauf dan saya bersalaman dengan guru agama itu.
Kami berpisah, guru agama dan Pak Imam menghala arah selatan, saya, Alang Abdul Rauf serta Datuk menuju ke arah utara.
Tamat siri 82/284
BACA: SBDJ Siri 81: Di Cakar Kucing Hutan
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)
-SENTIASAPANAS.COM

0 Response to "SBDJ Siri 82: Harta Karun Di Kaki Changkat"
Posting Komentar