Loading...

Waris Pemilik Tanah Bukit Chagar Tuntut RM300 Bilion Dari Kerajaan Johor

Loading...
Waris keturunan Mohammed Salleh Perang menuntut tanah di Bukit Chagar yang terletak di bawah nama Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, dengan wakil waris pentadbir keluarga terbabit, Mohd Zaini Aris, mendakwa tanah itu diberikan kepada keturunannya oleh sultan kedua Johor moden, Sultan Ibrahim Sultan Abu Bakar.

Waris Dato' Bentara

Menurutnya, ada banyak lagi tanah di seluruh Johor diberikan kepada Mohammed Salleh sebagai tanda penghargaan atas khidmatnya sebagai Datuk Bentara Luar dan ketua jabatan tanah dan ukur di negeri itu.

Beliau turut menyertakan satu salinan geran dari Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor sebagai bukti pemilikan keluarga Mohammed Salleh ke atas Lot 204 di Bukit Chagar, yang merangkumi tanah yang dipertikaikan.

Geran tersebut dilihat ditulis dalam bahasa jawi lama, antara terjemahannya ialah seperti berikut:

“Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Johor yang dikurniakan Allah bagi kerajaan di atas tanah Johor serta segala jajahan daerah takluknya mudah-mudahan dilanjutkan Allah esanya serta bertambah-tambah daulatnya dan memperolehkan kemenangan dunia akhirat amin.

“Ketahui olehmu dengan fikiran yang sempurna kita dan keturunan waris-waris ganti kita dengan sebenarnya mengurniakan kepada Mohd Salleh bin Perang, Dato Bentara Johor.

“Hingga menurun kepada waris-waris gantinya mempunyai sekeping tanah yang ada di dalam daerah bandar Johor selama-lamanya.”

Mengikut pemerhatian, geran itu ditulis pada 11 Rabiul Awal 1333 Hijrah bersamaan bertarikh 27 Jan 1915.

"Jadi, bagaimana pihak sultan Johor kata tanah itu dia punya, kerajaan pusat pula kata dia punya sedangkan dalam geran tanah itu Mohamed Salleh bin Perang punya," katanya.

Menurut Zaini, geran itu menjadi bukti bahawa tanah yang dituntut mereka memang menjadi milik Datuk Bentara Luar Johor.

“Jadi, bagaimanakah pihak Sultan Johor mengatakan bahawa tanah itu adalah milik mereka? Pemberian itu mengatakan bahawa ia adalah milik Mohamad Salleh Perang,” katanya.

Mengapa Bukit Chagar penting?

Tanah yang beralamat di Lot 204 itu meliputi kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Johor serta lot PTB 23354.

Lot PTB 23354 ialah laluan projek Rangkaian Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura yang seharusnya dimiliki oleh Putrajaya selepas perjanjian pertukaran tanah bersama Johor pada 2010 lalu.

Bagaimanapun, ia telah dipindah milik kepada Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 19 November 2017, iaitu dua hari selepas baginda bersetuju untuk menyusun semula projek RTS.

Sultan Ibrahim menjelaskan beliau tidak menyedari tanah itu diperuntukkan untuk projek RTS.

Sejak itu, baginda berjanji akan mengembalikan tanah berkenaan kepada kerajaan dengan syarat projek tersebut dibina dengan segera.

Tidak dapat dipastikan sama ada Putrajaya bersetuju dengan penyelesaian itu kerana projek RTS yang dimaksudkannya ditangguh selama enam bulan bagi membolehkan kerajaan meneroka pilihan lain.

Pampasan RM300 billion

Bukit Chagar 300 Bilion

Sementara itu, Zaini berkata waris Mohamed Salleh - yang dianggarkan seramai 4,000 orang - menjelaskan mereka tidak berminat untuk mendapatkan kembali tanah berkenaan sebaliknya, mereka mahu supaya diberikan pampasan dalam bentuk kewangan.

Zaini juga mendakwa Lot 204 serta lot-lot lain lain di sekitar Bukit Chagar kini bernilai kira-kira RM3 bilion.

Kadar itu adalah sebahagian daripada pampasan sebanyak RM300 bilion yang dituntut keluarga Mohamed Salleh daripada kerajaan Johor untuk tanah di sekitar Johor Bahru, Kota Tinggi, Gunung Pulai, Sungai Tiram dan Iskandar Puteri.

Tambah Zaini lagi, bekas menteri besar Johor, Osman Sapian, sebelum ini berkata beliau akan meneliti tuntutan keluarga itu terbabit.

Namun begitu, Zaini menjelaskan, bahawa pihaknya belum berjaya mengadakan pertemuan bersama menteri besar baru, Dr Sahruddin Jamal.

Pada 2017 yang lalu, keluarga terbabit memulakan tuntutan ke atas tanah tersebut di mahkamah.

Bagaimanapun, mereka berdepan beberapa halangan dalam kes mahkamah itu, antaranya terdapat dokumen yang menyatakan Mohamed Salleh menyerahkan semula Lot 204 berkenaan kepada istana Johor.

Dokumen itu bertarikh April 1915, iaitu tiga bulan selepas Mohamed Salleh mendapat tanah terbabit.

Zaini bagaimanapun mendakwa, dokumen itu dipalsukan kerana tandatangan Mohammed Salleh serta saksi dilihat tidak sepadan dengan dokumen asli lain yang dimilikinya.

Atas alasan tersebut, Zaini melaporkan hal itu kepada pihak berkuasa dan menggesa agar tindakan undang-undang diambil ke atas pihak yang berkenaan.

Keluarga itu juga berdepan masalah melantik seorang pentadbir berikutan pertikaian pada sijil kematian birokrat tersebut yang melibatkan umur Datuk Bentara Luar berkenaan.

Pada sijil kematian berkenaan, katanya, Mohammed Salleh didakwa berusia 67 tahun semasa menghembus nafas terakhirnya pada 2 Julai 1915.

Sepupu Zaini, Diah Khalid, menjelaskan jika mengikut umur yang dinyatakan pada sijil kematian berkenaan, bermakna Mohamed Salleh berusia 11 tahun semasa dia mendapat anak pertama pada 1859.

“Ini tidak masuk akal,” katanya.

Keluarga itu juga memaklumkan bahawa mereka menyaman Jabatan Pendaftaran Negara untuk mencabar kesahihan sijil kematian tersebut.

Untuk rekod, Mohamad Salleh adalah tokoh terkenal atas jasanya yang telah membuat peta lengkap pertama Johor serta ditugaskan oleh sultan pertama Johor moden, Sultan Abu Bakar, untuk membangunkan Batu Pahat.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Loading...

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "Waris Pemilik Tanah Bukit Chagar Tuntut RM300 Bilion Dari Kerajaan Johor"

Posting Komentar