Loading...
Seorang hakim ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang tadi bagi membantu siasatan berhubung kes membabitkan pendatang asing.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya dalam kenyataannya berkata hakim terbabit bertugas di mahkamah sesyen di Kuala Kubu Baru, Selangor.
Latheefa menambah sejumlah wang turut dirampas dalam tangkapan berkenaan.
Katanya tangkapan tersebut mempunyai kaitan dengan penahanan seorang peguam, seorang timbalan pendakwa raya dan beberapa anggota polis baru-baru ini.
"Siasatan adalah berkenaan penahanan pendatang asing tanpa izin yang ditahan bagi tujuan pelepasan setelah dibayar," katanya.
Jumaat lalu The Sun melaporkan SPRM menahan seorang timbalan pendakwa raya, seorang peguam dan enam anggota polis dalam serbuan kira-kira jam 6.30 petang beberapa hari sebelum itu.
Menurut laporan tersebut, serbuan dibuat selepas SPRM mendapat maklumat mengenai pakatan beberapa orang membebaskan pendatang asing tanpa izin yang ada dalam tahanan pihak berkuasa.
Serbuan SPRM itu menemui wang tunai bernilai RM17,500 dalam milikan peguam terbabit, dipercayai untuk membayar anggota polis dan timbalan pendakwa raya berkenaan.
Sejumlah RM82,000 lagi ditemui di pejabat timbalan pendakwa raya di mahkamah terbabit.
Pagi tadi Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan penahanan awal itu dan suspek direman selama lima hari sehingga hari ini. - mk
Loading...
0 Response to "Hakim Mahkamah Seksyen Diberkas SPRM"
Posting Komentar