Loading...

Syor KPM masukkan isu khasiat sawit dalam buku teks sekolah

Loading...
KUALA KANGSAR: Kementerian Industri Utama mengesyorkan Kementerian Pendidikan memasukkan perkara berkaitan khasiat dan kepentingan minyak sawit dalam sukatan mata pelajaran apabila kajian semula kurikulum sekolah dilakukan tahun depan.
Menteri Industri Utama, Teresa Kok, berkata beliau sudah menulis surat kepada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berhubung perkara itu selaras dengan kempen Sayangi Sawitku yang dilancarkan kerajaan ketika ini.

“Saya sebenarnya sudah tulis surat kepada Menteri Pendidikan, bincang dengan beliau (Maszlee) dan beliau (secara dasarnya) pun setuju.

“Sebenarnya, Kementerian Pendidikan boleh masuk (isu khasiat sawit) dalam buku teks, mungkin dalam mata pelajaran kesihatan atau pelajaran lain, (atau) apabila mereka belajar Bahasa Malaysia.

“Ini boleh dijadikan salah satu bab dalam buku teks,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis taklimat pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) Penanam Sawit Perak di Dewan Millenium Lubok Merbau dekat sini, hari ini.
Kok berkata apabila perkara berkaitan khasiat, kepentingan dan kegunaan minyak sawit dimasukkan dalam sukatan mata pelajaran, maka ia membolehkan rakyat negara ini memiliki pengetahuan mengenainya sejak di bangku sekolah rendah.

Beliau berkata, antara tujuan kempen Sayangi Sawitku ialah memberi kesedaran dan pendidikan kepada orang ramai termasuk pelajar dan murid sekolah mengenai khasiat, kepentingan dan kegunaan minyak sawit.

Katanya, masih ramai yang tidak tahu bahawa banyak perkara dalam kehidupan harian mereka menggunakan minyak sawit seperti sabun, kosmetik dan biodiesel.

Sementara itu, beliau turut melahirkan kebimbangan mengenai peratusan yang masih rendah dalam pensijilan MSPO dalam kalangan pengusaha sawit khususnya pekebun kecil ketika ini.

Katanya, bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, 2.45 juta hektar atau 42 peratus daripada keseluruhan 5.85 juta hektar tanaman sawit di negara ini sudah mendapat pensijilan MSPO.

Kok berkata, daripada bilangan yang sudah ada MSPO, 2.1 juta hektar adalah milik syarikat perladangan manakala 386,000 hektar adalah milik pekebun kecil.
“Malaysia sudah menyatakan komitmen untuk memastikan semua tanaman sawit di negara ini memiliki MSPO sebelum 1 Januari tahun depan kerana kerajaan serius untuk melaksanakan kaedah pertanian baik dan mesra alam sekitar,” katanya.

Beliau menggesa semua pengusaha sawit segera mendapatkan sijil MSPO kerana tanpa sijil berkenaan, minyak sawit mereka akan dikategorikan sebagai kelas kedua, yang akan dijual pada harga lebih rendah serta sukar untuk menembusi pasaran tertentu seperti Eropah dan Jepun.

Pada masa sama, beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan pihak berkuasa negeri khususnya Menteri Besar dan Ketua Menteri bagi meminta untuk mempermudah proses tukar syarat tanah pengusaha sawit kerana ia antara faktor pengusaha belum mendapatkan pensijilan MSPO.

Sumber: BH Online
Loading...

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "Syor KPM masukkan isu khasiat sawit dalam buku teks sekolah"

Posting Komentar