Loading...

Guru latih murid berenang guna kanvas

Loading...
Keadaan sekolah yang serba kekurangan tidak menjadi halangan bagi guru-guru pendidikan khas di Sabah untuk memberi yang terbaik untuk murid-murid mereka.

Tidak mampu membina kolam renang atau membawa anak-anak ke kolam renang awam, guru-guru Program Pendidikan Khas (PPKI) Sekolah Kebangsaan Gas Sandakan, Sabah, mencuba alternatif kreatif untuk memberi latihan akuatik asas.

“Kami guru-guru sediakan kolam renang dan kanvas untuk murid murid tersebut”

“Ada dua kanvas saya bentangkan di dewan terbuka sekolah. Satu kanvas sudah cukup untuk 20 orang murid tapi saya bentangkan dua untuk keselesaan dan ruang bergerak,” kata Fazri Hassan, guru SK Gas Sandakan ketika dihubungi.

Para pelajar akan baring atau meniarap di atas kanvas tersebut dan belajar teknik apungan lentang dan meniarap, flutter kick pada permukaan air dan banyak lagi.

Di samping itu, guru-guru pula menyiram air kepada para pelajar supaya mendapat sensasi, seolah-olah mereka di dalam kolam renang.

Mereka juga menggunakan kolam mudah alih untuk aktiviti tersebut.

“Sebelum aktiviti itu kami sempat melakukan aktiviti sensory walk untuk membantu merangsang sensory murid khas,” kata Fazri, 26.
Seramai 20 pelajar dari tiga kelas Tahun Dua, Tahun Tiga dan Tahun Lima terlibat dalam aktiviti tersebut, yang dijalankan ketika Pendidikan Jasmani.

“Idea (menggunakan kanvas dan kolam renang mudah alih) itu datang dari perbincangan bersama sama guru-guru Pendidikan Jasmani bagi pendidikan khas,” katanya.

“Saya rasa bertanggungjawab untuk memastikan anak anak murid saya mendapat pendidikan yang secukupnya membuatkan saya untuk mengajar topik tersebut (akuatik asas) walaupun serba kekurangan.”

Walaupun keadaan yang kurang memberangsangkan, guru-guru di sekolah tersebut mampu memberi senyum dan kebahagiaan kepada anak-anak murid mereka.

Video yang dimuatnaik di laman sosial Twitter itu, menarik perhatian orang ramai dan diberi komen-komen yang positif terhadap usaha guru tersebut.

“Besar pengorbanan cikgu untuk bahagiakan dan menggembirakan anak-anak muridnya. Terima kasih cikgu,” kata salah seorang netizen melalui ruangan komen.

Keadaan itu tidak langsung mematahkan semangat beliau dan berharap masyarakat, termasuklah guru-guru sekolah, meneruskan perjuangan mereka dalam membantu murid murid khas ini.

“Saya harap agar masyarakat di luar sana dapat memberikan peluang kepada murid murid khas untuk berdikari apabila mereka dewasa nanti seperti peluang pekerjaan untuk mereka,” kata guru Sabah itu.
Loading...

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "Guru latih murid berenang guna kanvas"

Posting Komentar