Loading...

Kalau boleh belajar bahasa Jepun, kenapa tidak tulisan Jawi? soal guru Cina

Loading...
Perdebatan mengenai tulisan Jawi yang ingin diajar di sekolah Cina dan India masih lagi dibicarakan meskipun mahkamah telah membuat ketetapan.

Ada pihak yang bersetuju, ada yang tidak atas sebab-sebab tertentu.

Namun dalam pertikaian tersebut, seorang guru Cina yang telah berkhidmat lebih 30 tahun dalam dunia pendidikan menyokong tindakan supaya pelajar Cina dan India untuk mempelajari tulisan Jawi.

Bagi Susan Leong, tindakan itu tidak menjejaskan kesatuan serta keharmonian dalam masyarakat malah memberi ilmu tambahan kepada pelajar pada zaman kini.

Seperti dirinya sendiri, Susan berkata beliau turut mempelajari tulisan tersebut sejak kecil dan masih mengingati kesemua 28 huruf Jawi meskipun sudah berusia 56 tahun.
Lima daripada enam adik beradiknya itu mempunyai kemahiran tulisan jawi dengan begitu baik. - Free Malaysia Today
“Dulu saya pergi belajar tulisan Jawi dengan seorang ustaz, tak ada masalah. Bukan saya seorang, 5 adik beradik saya juga pergi belajar tulisan Jawi.

“Sebab ibu bapa saya pada waktu itu menekankan pendidikan, ketika itu semua bahasa rumi akan di Jawikan, jadi mereka cepat-cepat hantar kami belajar tulisan Jawi,” katanya kepada FMT.

Tambahnya ketika itu, langsung tidak timbul sebarang masalah jika bangsa selain Melayu mempelajari tulisan Jawi.

Sehinggakan Susan berkata tulisan tersebut telah sebati dengan dirinya dan menganggap ia merupakan seni dalam kehidupan yang menarik untuk dipelajari.

“Saya memang suka seni, jadi bila menulis Jawi Saya seronok sangat sebab ia seperti seni baru yang kita boleh pelajari,” katanya lagi.

Masih mengingati kesemua huruf jawi sehingga kini.- Free Malaysia Today
Namun, mempelajari semua ilmu itu tidak langsung melambangkan dirinya menentang sesebuah kaum sebagai seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Malah Susan berkata yang dia bangga dan merasakan dirinya sangat istimewa kerana mempunyai kemahiran dalam bahasa selain Mandarin dan Kantonis.

“Sedangkan ramai orang Melayu kini pun tidak pandai tulisan Jawi, bukankah itu istimewa pada saya?

“Dan kenapa perlu ‘rasis’, perkara melibatkan Melayu sahaja, tidak boleh diajar di sekolah Cina dan India, tetapi mengapa mereka boleh belajar bahasa Jepun sebagai bahasa tambahan di sekolah?” soalnya.

Menceritakan pengalamannya sewaktu mengajar di sebuah sekolah di Petaling Jaya, Susan berkata dia terpaksa menjalankan tugas sebagai guru ganti dan keadaan kelas tersebut sangat tidak boleh dikawal.
Tulisan jawi dianggap seni pada dirinya. - Free Malaysia Today
“Kita sudah dibahagikan untuk menjaga mana-mana kelas yang gurunya tidak dapat hadir. Saya masuk ke kelas yang keadaannya sangat riuh rendah, keadaan sangat tidak terkawal.

“Saya sebut tolong diam, semua tak mahu dengar, jadi saya tulis di papan hitam ‘tolong diam, jika tidak saya pukul’ (dengan tulisan Jawi), tiba-tiba semua diam dan tepuk tangan. Selepas itu bila keluar dari kelas dan terserempak dengan pelajar di koridor, mereka akan berkata ‘selamat pagi ustazah,” katanya sambil ketawa.

Sejak itu Susan berkata yang dia mula terkenal dalam kalangan pelajar sebagai seorang guru Cina yang mahir tulisan Jawi.

Malah guru lain juga turut bangga dengan kemahiran istimewanya itu.

“Dulu pendidikan agama antara pelajaran yang saya letakkan sasaran kerana ia mudah. Sehingga saya darjah dua sahaja diberi peluang untuk mempelajarinya, selepas itu tidak boleh lagi kerana pada waktu itu politik sudah mula menular.

“Kementerian tidak lagi membenarkan bangsa Cina dan India mengambil pelajaran pendidikan agama. Ketika itu saya sangat sedih, jadi sebab itu saya tidak mahu pelajar sekarang ketinggalan dalam mempelajari tulisan jawi,” ujarnya lagi.

Tulisan Jawi telah menjadi entiti bangsa Melayu sejak 1,000 tahun lalu.

Jadi Susan berkata ia bukanlah suatu kepelikan jika masyarakat majmuk kini mempelajari tulisan tersebut sebagai seni dalam kehidupan masing-masing.

“Dalam hal ini, semua orang perlu berfikiran terbuka, baru hasilnya menjadi lebih positif,” ujarnya.

via: Free Malaysia Today
Loading...

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "Kalau boleh belajar bahasa Jepun, kenapa tidak tulisan Jawi? soal guru Cina"

Posting Komentar