Loading...

Iktibar Dari Setiap Kisah 25 Orang Nabi Dan Rasul Dalam Al-Qur’an

Loading...
Sebagai umat Islam, kita diwajibkan mengetahui nama dan kisah 25 orang para nabi dan rasul sebagaimana di dalam al-Qur’an di samping kewajipan beriman dengan kesemua para nabi dan rasul yang pernah diutuskan oleh Allah SWT sejak Nabi Adam a.s. sehinggalah penutup sekalian para nabi dan rasul iaitu Nabi Muhammad SAW.

Kisah 25 Rasul

Al-Qur’an penuh dengan kisah sejarah para nabi dan rasul serta umat-umat terdahulu yang disampaikan oleh Allah SWT sebagai pengajaran kepada kita semua.

Setiap kisah mereka ada pengajaran yang boleh kita pelajari dan manfaatkan dalam konteks zaman sekarang yang serba moden ini.

Ketiga-tiga agama samawi iaitu Yahudi, Kristian dan Islam mempercayai bahawa mereka berdua adalah ibu bapa sekalian umat manusia di muka bumi ini sebagaimana yang termaktub di dalam kitab suci masing-masing.

Bermula dengan kisah Nabi Adam a.s. dan isterinya, Hawa a.s. Mereka adalah pasangan manusia pertama diciptakan oleh Allah SWT. Mereka diciptakan di syurga dan di situlah juga kampung halaman asal manusia.

Sebelum dicipta, Allah SWT telah mengumumkan penciptaan makhluk baharu tersebut kepada para malaikat untuk dijadikan khalifah di muka bumi.

Para malaikat menyatakan kebimbangan mereka bahawa penciptaan makhluk baharu tersebut yang akan dilengkapi dengan jasad, roh, akal dan nafsu akan menimbulkan kerosakan di muka bumi.

Tetapi Allah SWT berfirman bahawa Dia maha mengetahui segala perkara yang mereka tidak ketahui. Tanpa lebih terperinci dan dicepatkan kisahnya, maka Allah SWT menciptakan Nabi Adam AS dan pasangannya Hawa serta mereka ditinggalkan di dalam syurga.

Persoalannya, mengapakah pada awalnya Allah SWT meninggalkan Nabi Adam a.s. dan Hawa a.s. tinggal di dalam syurga sedangkan mereka berdua diciptakan supaya mentadbir sebuah planet bernama bumi?

Ini adalah pandangan peribadi penulis sendiri dan harap dapat dibetulkan oleh pembaca yang arif sekiranya silap. Kehidupan awal Nabi Adam a.s. dan Hawa a.s. di dalam syurga bertujuan untuk memperkenalkan manusia tentang sejenis makhluk yang bernama Iblis dan kuncu-kuncunya syaitan.

Apabila Iblis berjaya memperdayakan Nabi Adam a.s. dan Hawa a.s. melanggar perintah Allah SWT dengan memakan buah larangan di syurga sehingga mereka berdua diturunkan oleh Allah SWT ke muka bumi, mereka berdua dapat mengenali sifat hasutan Iblis dan tipu dayanya supaya mereka dapat menjauhkan diri daripada tipu dayanya dan diajarkan kepada anak cucu mereka.

Iblis yang sejak mula menentang perintah Allah SWT dengan sifat takbur tidak mahu menerima kemuliaan seorang manusia yang dirasakan jauh lebih rendah martabat daripada dirinya, akhirnya disingkir oleh Allah SWT dan dia bersumpah akan berusaha menyesatkan umat manusia mengikuti jalannya.

Itulah sejarah dendam Iblis dengan umat manusia telah berlaku sejak penciptaan manusia pertama lagi. Setelah penurunan Nabi Adam a.s. dan Hawa a.s. ke muka bumi, mereka berdua memohon keampunan Allah SWT sehingga mereka berdua diampunkan dosa mereka.

Al-Qur’an menjelaskan bahawa tiada pewarisan dosa daripada seorang bapa kepada anaknya atau daripada anak kepada bapanya. Setiap manusia menanggung dosanya sendiri dan akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.

Walau bagaimanapun, kita sebagai masyarakat perlu mengamalkan "amar makruf, nahi mungkar" (menggalakan kebaikan, mencegah kemungkaran) kerana apabila azab Allah SWT melanda sesebuah tempat disebabkan dosa besar beberapa orang di tempat tersebut, maka semua penduduknya akan terkena azab tersebut kerana sifat diam mereka tidak berusaha mencegah kemungkaran tersebut.

Penurunan Nabi Adam a.s. dan Hawa a.s. ke muka bumi kemudian mereka mula beranak-pinak maka bermulalah tugas manusia sebagai khalifah yang bertanggungjawab mentadbir muka bumi ini dengan aman sehinggalah tiba kepada zaman Nabi Nuh a.s.

Zaman umat Nabi Nuh a.s. baharu sahaja lebih kurang sepuluh generasi, tetapi telah mula muncul kemusyrikan dalam kehidupan umat manusia ketika itu. Manusia mula menyembah berhala, meminta sesuatu dan perlindungan kepadanya.

Bermula daripada pemujaan sekumpulan manusia yang dianggap tokoh sehingga membawa kepada penyembahan atas nama mereka. Dari situlah bermulanya pengutusan rasul oleh Allah SWT untuk membetulkan keadaan dan akidah manusia. Nabi Nuh AS diutuskan kepada mereka dan berdakwah dalam tempoh yang sangat lama, memakan masa berabad.

Akan tetapi sangat sedikit umatnya yang beriman kepada Allah SWT. Kita boleh bayangkan bagaimana pengorbanan seorang rasul yang begitu sabar berdakwah sehari-harian kepada umatnya sehingga ratusan tahun, satu umur yang dianggap luar biasa bagi manusia pada masa kini, tetapi itulah yang berlaku.

Itulah sebabnya Nabi Nuh a.s. digolongkan sebagai rasul Ulul Azmi yang begitu sabar dan cekal berdakwah. Dakwah baginda tidak didengari, bahkan kalau boleh disumbatkan kelima-lima jari mereka ke dalam telinga mereka kerana keengganan mereka mendengar dakwah baginda.

Akhirnya, Allah SWT memerintahkan agar Nabi Nuh a.s. dan umatnya yang beriman membina sebuah bahtera kerana Allah SWT telah memilih untuk memusnahkan umatnya dengan cara banjir besar.

Kisah mengenai banjir besar ini begitu popular dalam sejarah, bahkan boleh dikatakan semua peradaban selepas itu mengetahui tentang kisahnya tetapi dalam pelbagai versi sehingga bertukar menjadi kisah epik dan mitos.

Tetapi kisah banjir besar tersebut benar-benar berlaku dan dibuktikan dengan penemuan arkeologi di perlembahan Mesopotamia (Iraq, Kuwait) baharu sekitar puluhan tahun lalu. Al-Qur’an tidak menyatakan bahawa banjir besar tersebut meliputi seluruh dunia, tetapi cuma melanda kawasan umat Nabi Nuh tersebut.

Tempoh dakwah yang panjang tidak menjamin penerimaan oleh semua orang termasuklah ahli keluarga sendiri. Salah seorang anak Nabi Nuh sendiri tidak beriman walaupun pada saat-saat akhir.

Ini dapat dilihat dalam sejarah para nabi dan rasul, bagaimana pengakhiran hidup bapa Nabi Ibrahim a.s., isteri Nabi Lut a.s. dan Abu Talib, ketiga-tiga mereka merupakan ahli keluarga rasul yang mati dalam keadaan musyrik.

Sifat majoriti umat manusia yang terpedaya dengan hasutan Iblis, kemewahan dunia, harta benda, anak pinak, tanaman, ternakan dan hawa nafsu menjadikan mereka tidak mengambil pelajaran atas peristiwa yang menimpa umat-umat sebelum mereka.

Lihatlah bagaimana umat Nabi Hud, kaum ‘Ad, dimusnahkan tanpa kesan dengan ribut pasir, umat Nabi Soleh a.s., kaum Tsamud, dimusnahkan dengan gempa dan halilitar, padahal mereka adalah umat yang begitu bertamadun pembangunannya, mampu mengukir gunung-ganang menjadi istana yang cantik dan gah, tiang-tiang binaanya sahaja boleh mengagumkan manusia pada masa kini dengan seni binaanya yang gah.

Mereka hidup selepas peristiwa banjir besar yang memusnahkan umat Nabi Nuh a.s., mereka mengetahui kisah kemusnahan umat terdahulu sebelum mereka, mereka diberi peringatan berulang kali oleh Nabi Hud a.s. dan Nabi Soleh a.s. tentang kemusnahan tamadun nenek moyang mereka kerana kesombongan dan kekufuran mereka, tetapi mereka tetap mengingkarinya, bahkan para rasul mereka ditentang keras dan dituduh gila.

Lebih teruk lagi, mereka meminta supaya disegerakan ancaman azab yang diperingatkan. Akhirnya, oleh kerana mereka tidak pernah belajar daripada sejarah dan bersifat penuh takbur, maka sejarah yang sama berulang kembali, mereka dimusnahkan sebagaimana umat terdahulu sebelum mereka.

Kisah sejarah Nabi Ibrahim a.s. pula bagi penulis penuh dengan hujah ilmiah yang begitu bijaksana. Bagaimana Nabi Ibrahim a.s. berhujah dengan rajanya, Namrud, jika baginda benar-benar berkuasa sebagai Tuhan sebagaimana yang didakwa, maka terbitkanlah matahari dari sebelah barat dan tenggelamkannya ke sebelah timur, bertentangan dengan kejadian alam semulajadi.

Tentunya cabaran tersebut tidak dapat dilakukan oleh Namrud, tetapi kerana kejahilan ditambah dengan sifat takburnya, Namrud masih tidak mahu menentang Nabi Ibrahim a.s..

Nabi Ibrahim a.s. kemudiannya membuat suatu contoh perbandingan kepada kaumnya dengan mendakwa bahawa matahari dan bulan adalah Tuhan kerana kecantikan sinar bulan pada malam hari dan keterikan cahaya matahari yang memancar menyinari alam, tetapi apabila berlakunya kejadian alam siang dan malam, kedua-duanya silih berganti meninggalkannya, hilang dari pandangan dan itu bukanlah sifat Tuhan yang meninggalkan dirinya.

Begitulah perumpamaan bijak yang mahu disampaikan oleh Nabi Ibrahim a.s. bahawa tiada makhluk atau benda yang kekal wujud, segalanya akan hilang dan lenyap kecuali Allah SWT yang kekal, tiada permulaan dan pengakhiran, satu-satunya Tuhan yang layak disembah.

Nabi Ibrahim a.s. sekali lagi berjaya membuatkan kaumnya “berfikir” secara rasional akan perbuatan mereka menyembah sesuatu yang diciptakan dengan tangan mereka sendiri dengan memusnahkan semua berhala mereka kecuali berhala yang paling besar, apabila semua kaumnya menghadiri majlis upacara di tempat lain.

Apabila mereka kembali pulang, mereka terkejut dengan kemusnahan tersebut dan mengesyaki bahawa Nabi Ibrahim a.s. yang memusnahkan semua berhala mereka, maka baginda disoal siasat.

Nabi Ibrahim a.s. menyuruh kaumnya tanyakan kepada berhala mereka yang paling besar yang tidak dimusnahkan tentang siapa yang memusnahkan berhala-berhala yang lain.

Sudah tentulah patung tersebut tidak boleh memberi sebarang respon, apatahlagi mempertahankan diri mereka sendiri, jadi mengapa ianya disembah untuk memohon sesuatu dan memohon perlindungan ke atas diri mereka?

Walau bagaimanapun, kaum Nabi Ibrahim a.s. masih tidak mahu menerima mesej bijaksana tersebut, bahkan mereka ingin membunuh baginda dengan membakar baginda hidup-hidup. Di situlah datangnya mukjizat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada para rasul-Nya. Baginda tidak terbakar di dalam api tersebut, malah berasa aman di dalamnya.

Mukjizat adalah perkara luar biasa yang berlaku pada para nabi dan rasul bagi membuktikan kerasulan mereka.

Kebiasaannya, manusia biasa lebih mudah menerima sesuatu mesej apabila mereka melihat suatu “bukti” luar biasa. Ini bukanlah sihir atau silap mata yang boleh dipelajari oleh manusia biasa, mukjizat adalah kurniaan daripada Allah SWT kepada para rasul-Nya.

Kisah sejarah pengorbanan Hajar a.s. yang mentaati perintah Allah SWT dan suaminya, Nabi Ibrahim a.s. begitu hebat sekali sehingga sanggup ditinggalkan berdua bersama puteranya yang masih kecil iaitu Nabi Ismail a.s. di tengah-tengah padang pasir.

Begitu juga keimanan dan kesabaran Nabi Ibrahim a.s. dan puteranya, Nabi Ismail a.s. kepada Allah SWT apabila mereka berdua sanggup menjalankan perintah Allah SWT untuk menyembelih Nabi Ismail a.s.

Ternyata perintah itu adalah ujian daripada Allah SWT dan baginda digantikan dengan korban binatang kibasy sebagai ‘hadiah’ kepada keimanan mereka.

Daripada sifat keimanan merekalah, disyariatkan ibadat Haji, ibadat korban dan lahirnya sejarah Makkah al-Mukarramah yang akan menjadi tempat kelahiran penutup dan penghulu sekalian para nabi dan rasul iaitu Nabi Muhammad SAW.

Kisah sejarah umat Nabi Lut a.s. masih lagi berlaku pada zaman serba moden kini iaitu kebejatan akhlak dan moral apabila umat baginda mengamalkan gaya hidup luar tabi’i atau songsang.

Dalam istilah pada masa kini dikenali sebagai LGBT (Lesbian, Gay, Bisexual, Transgander). Perkara tersebut yang membawa kedudukan manusia lebih rendah daripada haiwan. Mereka diselubungi hawa nafsu songsang yang menjijikkan dan bertentangan dengan fitrah alam.

Pada masa kini, perkara tersebut menyumbang kepada penyebaran penyakit-penyakit kelamin seperti HIV, AIDS yang memusnahkan generasi manusia dan belum dijumpai penawar yang berkesan.

Seperti para rasul yang lain, Nabi Lut a.s. sentiasa berdakwah menyeru kaumnya supaya kembali kepada fitrah dan mencari pasangan mereka yang berlainan jantina, kerana itulah manusia dan alam ini diciptakan berpasangan, lelaki dan perempuan, supaya boleh menghasilkan zuriat dan membawa kedamaian dan rahmat kepada kedua-dua mereka.

Kebejatan akhlak umat Nabi Lut a.s. begitu teruk sehingga sanggup berasak-asak menyerbu rumah Nabi Lut a.s. apabila mereka mengetahui kehadiran dua orang lelaki kacak (malaikat yang menyamar).

Walaupun Nabi Lut a.s. menawarkan puteri-puterinya untuk dijadikan isteri kepada mereka, namun mereka tetap berdegil dan berperangai lebih teruk daripada binatang.

Akibatnya, bumi mereka “diterbalikkan” (gempa yang sangat kuat) dan mereka semua dimusnahkan oleh Allah SWT dalam sekelip mata setelah Nabi Lut a.s. dan umatnya yang beriman meninggalkan tempat tersebut pada malam hari sebelumnya.

Adakah pengamal dan aktivis LGBT pada masa kini tidak mengambil iktibar dengan apa yang berlaku?

Tidak kiralah perbuatan songsang itu dilakukan secara paksaan atau kerelaan, ianya tetap haram dan bertentangan dengan etika, moral dan akhlak manusia yang akan melenyapkan umat manusia.

Kisah sejarah Nabi Yusuf a.s. diceritakan secara khusus dalam Surah Yusuf di dalam al-Qur’an. Kisahnya mengandungi tema kesayangan bapa terhadap anak-anaknya, hasad dengki antara adik-beradik, keruntuhan moral isteri seorang pembesar, keimanan seorang pemuda menolak pujuk rayu seorang wanita, kebijaksanaan seorang pembesar dalam mentadbir ekonomi negara dan kasih sayang antara ahli keluarga.

Nabi Yusuf a.s. amat diketahui sebagai seorang pemuda yang mempunyai paras rupa yang kacak, yang mampu mencairkan hati wanita-wanita yang melihatnya, tetapi baginda seorang yang dikurniakan kebijaksanaan dan mempunyai keimanan yang tinggi.

Walaupun baginda dikurniakan rupa paras yang kacak, tetapi baginda tidak sombong dengan “aset” dirinya dan tunduk kepada tuntutan hawa nafsu di sekelilingnya.

Lihat juga bagaimana kebijaksanaan Nabi Yusuf a.s. yang diberi kepercayaan sebagai seorang menteri perbendaharaan negara mengawal ekonomi dan bekalan makanan negara dengan mengawal dengan bijak hasil tanaman dan ternakan selama tujuh tahun yang aman untuk bertahan dalam cuaca kemarau berpanjangan selama tujuh tahun selepas itu.

Perkara tersebut perlu diteladani oleh mereka yang bertanggungjawab mentadbir negara supaya ekonomi negara dapat dikawal dengan bijak dan stabil.

Kisah sejarah Nabi Ayub a.s. dipenuhi dengan kisah ujian yang diberikan oleh Allah SWT ke atas Nabi Ayub a.s. dengan kemusnahan harta benda, kematian ahli-ahli keluarga, kemerosotan kesihatan tubuh badan dan kehilangan kesetiaan isteri baginda yang meninggalkan baginda kerana tidak tahan dengan ujian-ujian tersebut yang selama bertahun-tahun.

Walau bagaimanapun, Nabi Ayub a.s. adalah seorang nabi yang mempunyai keimanan yang tinggi dan kesabaran yang sangat luar biasa, baginda tetap terus beribadat dan berdoa kepada Allah SWT.

Akhirnya Allah SWT mengembalikan semula nikmat kesihatan dan kekayaan kepada baginda dan isteri baginda kembali kepada baginda setelah dihukum dengan hukuman yang setimpal. Jika kita ditimpa sebarang kesusahan, ingatlah kesusahan kita tidak seberat ujian Nabi Ayub a.s.

Kisah sejarah umat Nabi Syu’aib a.s. pula mengingatkan kita terutamanya golongan para peniaga supaya tidak menipu dalam urusan perniagaan sepertimana umat baginda.

Menipu dalam berniaga termasuklah mengurangkan sukatan dan timbangan, menyorokkan barangan yang sudah rosak, meningkatkan harga barangan sesuka-hati terhadap barangan yang disorok dan mengamalkan riba’ yang menganiaya orang.

Akibatnya, kaum Nabi Syu’aib di Madyan yang menyekutukan Allah SWT dengan menyembah hutan dan mengamalkan penipuan dalam urusan jual-beli itu dibinasakan oleh Allah SWT sekelip mata dengan satu pekikan bunyi dari langit yang mengguntur seolah-olah bandar tersebut telah lama mati.

Kisah sejarah Nabi Musa a.s. dan Nabi Harun a.s. adalah kisah yang paling banyak diceritakan dan diulang-ulang dalam al-Qur’an. Begitu juga kisah umat mereka, Bani Israel, seperti kisah lembu betina (Baqarah), Qarun dan Samiri.

Nabi Musa a.s. diselamatkan oleh Allah SWT daripada pembunuhan besar-besaran bayi lelaki ketika tahun kelahirannya dan membesar di dalam istana Firaun sendiri. Al-Qur’an menceritakan bagaimana Nabi Musa a.s. dan saudaranya, Nabi Harun a.s. setelah diutuskan sebagai rasul diperintahkan untuk berhadapan dengan Firaun yang menzalimi Bani Israel untuk berdakwah dan memberi peringatan kepada Firaun.

Al-Qur’an turut menceritakan keingkaran Bani Israel yang berkali-kali melanggar perintah rasul mereka walaupun setelah mereka diselamatkan oleh Allah SWT daripada bala tentera Firaun.

Banyak ayat di dalam al-Qur’an mengingatkan bangsa Bani Israel, bangsa keturunan Nabi Ya’akub a.s. bin Nabi Ishak a.s. itu supaya beriman dan mensyukuri nikmat Allah SWT yang telah banyak dikurniakan kepada mereka.

Dalam sejarah, ramai para nabi dan rasul diutuskan dalam kalangan mereka untuk membimbing mereka, tetapi sebahagian besar mereka yang musyrik tetap ingkar dan berbuat kerosakan sehingga ke hari ini.

Al-Qur’an sendiri menegaskan bahawa terdapat juga dalam kalangan Ahli Kitab (Yahudi dan Kristian) yang baik dan beriman, tetapi kebanyakan mereka adalah orang yang fasik, musyrik dan sering berbuat kerosakan.

Kita dapat melihat situasinya sehingga ke hari kini, bagaimana konflik antara pemimpin dan tentera Zionis Israel dan negara haram Israel mereka terus menganiaya, membunuh dan menzalimi umat Islam Palestin setelah mereka merampas tanah air umat Islam Palestin secara haram sejak tahun 1948.

Kesungguhan Nabi Musa a.s. dan Nabi Harun a.s. dalam membimbing kaum mereka, Bani Israel, diteruskan pula oleh para nabi dan rasul yang diutuskan oleh Allah SWT dalam kalangan mereka sehinggalah pengutusan Nabi Isa a.s.

Dalam kalangan para nabi dan rasul, terdapat juga mereka yang dikurniakan oleh Allah SWT kuasa pemerintahan sebagai seorang raja dan pemerintah seperti Nabi Daud a.s. dan puteranya, Nabi Sulaiman a.s.

Nabi Daud a.s. ditabal sebagai raja Bani Israel setelah kebijaksanaannya membunuh Jalut, musuh yang perkasa di medan perang dengan menghayun batu tepat ke arah kepala Jalut sehingga Jalut jatuh tersungkur dan mati serta merta.

Kelebihan Nabi Daud a.s. juga adalah mampu melentur dan melembutkan besi untuk membuat perisai dan juga dikurniakan suara yang sungguh merdu ketika membaca Kitab Zabur sehingga ditundukkan gunung-ganang dan burung-burung bertasbih bersamanya di waktu pagi dan petang.

Nabi Sulaiman a.s. mewarisi takhta daripada ayahandanya, Nabi Daud a.s, bahkan baginda diberi kekuasaan pemerintahan lebih daripada mana-mana raja yang memerintah di dunia ini.

Ini kerana kekuasaan pemerintahan baginda tidak hanya terhadap manusia sebagai rakyat jelata, bahkan Allah SWT mengurniakan kekuasaan kepadanya sehingga boleh menundukkan haiwan, jin malah angin mengikut perintahnya.

Begitu juga kekayaan baginda melimpah-ruah. Namun, baginda tidak pernah takbur malah terus kuat beribadat kepada Allah SWT. Ini memberi pengajaran kepada sesiapa juga yang diberi kuasa pemerintahan dan pentadbiran supaya menginsafi kedudukan mereka yang jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan kekuasaan Nabi Sulaiman a.s.

Dalam keadaan berkuasa seperti itupun, Nabi Sulaiman a.s. terus berdakwah menerusi kisah ratu Saba’ yang menyembah matahari. Kekayaan dan kekuasaan yang dikurniakan kepada Nabi Sulaiman AS membuatkan Ratu Saba’, Balqis, akhirnya tunduk patuh kepada kekuasaan Allah SWT dan baginda beriman dengan sekalian rakyat jelata di negerinya.

Kisah sejarah Nabi Yunus a.s. terkenal dengan ikan besar yang menelannya hidup-hidup. Bagi umat Kristian, mereka mengenalinya dengan kisah “Jonah and The Whale.”

Kisah bagaimana Nabi Yunus a.s. begitu marah dengan kaumnya yang degil dan ingkar sehingga baginda sendiri meninggalkan kaumnya. Apabila azab Allah SWT dilihat semakin hampir, maka kaum Nabi Yunus a.s. segera beriman dan bertaubat kepada Allah SWT sedangkan Nabi Yunus a.s. sendiri telah meninggalkan mereka.

Untuk memberi peringatan kepada Nabi Yunus a.s., Allah SWT telah mengarahkan supaya seekor ikan besar menelan baginda hidup-hidup ketika baginda sedang belayar meninggalkan kaumnya di Ninawa.

Allah SWT memelihara rasul-Nya di dalam perut ikan besar tersebut. Baginda yang menyedari kesilapannya meninggalkan perintah Allah SWT dengan segera memohon keampunan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh, menangis dan berzikir selama berada di dalam kegelapan perut ikan besar tersebut.

Allah SWT mengampunkan baginda dan dikeluarkan hidup-hidup setelah dimuntahkan oleh ikan besar tersebut di tepi pantai.

Kisah baginda mengajar kita supaya jangan lari dan putus asa daripada perintah Allah SWT. Sebagai seorang rasul, baginda terus ditegur oleh Allah SWT jika melakukan kesilapan kerana salah satu sifat rasul itu adalah bersifat maksum yakni terpelihara daripada dosa.

Kisah sejarah Nabi Zakaria a.s. pula mengingatkan kita bahawa Allah SWT berkuasa memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, tidak kira cepat atau lambat, bahkan boleh juga terjadi di luar kebiasaan.

Ini seperti Nabi Zakaria a.s. dan isterinya yang tidak dikurniakan zuriat sehingga usia kedua-duanya telah lanjut. Doa Nabi Zakaria a.s. diperkenankan Allah SWT dan isterinya mengandung walaupun usia kedua-duanya hampir seabad.

Mereka dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Nabi Yahya a.s. yang soleh dan meneruskan perjuangan dakwah bapanya. Perkara tersebut bukanlah pertama kali berlaku, sebelum itu, Sarah a.s. , isteri Nabi Ibrahim a.s., dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Nabi Ishak a.s. walaupun kedua-duanya telah lanjut usia.

Sekali lagi, tiada apa yang mustahil dengan kuasa Allah SWT. Kelahiran Nabi Isa a.s. tanpa bapa oleh Maryam a.s. adalah salah satu bukti nyata bahawa Allah SWT maha mencipta.

Maryam a.s. adalah seorang wanita suci yang kuat beribadat dan berada dalam jagaan Nabi Zakaria a.s. Apa yang hendak dihairankan sedangkan Nabi Adam a.s. diciptakan oleh Allah SWT tanpa seorang bapa mahupun ibu?

Allah SWT sendiri menjelaskan bahawa penciptaan Nabi Isa a.s. adalah sama seperti penciptaan Nabi Adam a.s., diciptakan daripada tanah dan diperintahkan, “Jadi!” maka jadilah.

Perihal tentang Nabi Isa a.s. amat berbeza antara ajaran al-Qur’an dengan kepercayaan umat Kristian terutamanya dalam hal ketuhanan, kerasulan dan penyaliban. Al-Qur’an menentang keras fahaman Triniti yang dipercayai oleh umat Kristian yang mendakwa bahawa Tuhan itu satu tetapi terdiri daripada tiga individu termasuklah Nabi Isa a.s.

Al-Qur’an menafikan penyaliban Nabi Isa a.s. berlaku ke atas baginda, tetapi baginda diselamatkan oleh Allah SWT dengan diangkat kepada-Nya. Al-Qur’an menafikan Nabi Isa a.s. adalah anak Tuhan, tetapi baginda adalah seorang rasul utusan Allah SWT kepada bangsa Bani Israel ketika itu.

Akan tetapi, umat Islam dan umat Kristian mempercayai bahawa Nabi Isa a.s. atau Jesus akan diturunkan semula ke bumi sebelum hari kiamat nanti.

Umat Islam percaya bahawa penurunan baginda sebelum hari kiamat bertujuan untuk memimpin umat Islam ketika itu dengan perlaksanaan syariat Nabi Muhammad SAW.

Kisah sejarah atau sirah Nabi Muhammad SAW sebagai penghulu dan penutup sekalian para nabi dan rasul sarat dengan pengajaran.

Daripada awal kelahirannya, zaman kanak-kanaknya, zaman dewasanya, zaman pengutusannya, zaman dakwah di Mekah dan zaman kehidupan baginda di Madinah sehingga pengakhiran hayat baginda selama 63 tahun penuh dengan pengajaran hidup di samping kehidupan baginda bersama para sahabat a.s.

Setiap tindak tanduk baginda, percakapan baginda dan sifat baginda adalah contoh dan hukum yang perlu diikuti sesuai dengan firman Allah SWT di dalam al-Qur’an bahawa pengutusan baginda adalah sebagai rahmat bagi sekalian alam dan bertujuan untuk menyempurnakan akhlak umat manusia.

Selain kisah sejarah para nabi dan rasul yang diceritakan kisahnya secara panjang lebar dan berulang kali di dalam al-Qur’an, terdapat juga beberapa orang nabi dan rasul dalam kalangan 25 orang yang wajib diketahui tersebut tidak diceritakan secara terperinci mengenai kisah mereka di dalam al-Qur’an seperti Nabi Idris a.s., Nabi Ishak a.s., Nabi Ya’akub a.s., Nabi Zulkifli a.s., Nabi Ilyas a.s. dan Nabi Ilyasa’ a.s.

Walau bagaimanapun, mereka dinyatakan sebagai seorang nabi yang benar, soleh dan penyabar.

Hayatilah kisah sejarah perjuangan para nabi dan rasul yang diceritakan di dalam al-Qur’an. Mereka adalah generasi manusia terbaik yang wajib dijadikan contoh tauladan sepanjang zaman.

Pelbagai aspek kehidupan manusia terkandung dalam setiap kisah para nabi dan rasul yang boleh dijadikan pengajaran. Surah asy-Syu’ara’ adalah antara surah yang menceritakan perihal ramai para nabi dan rasul dan umat-umat mereka dalam satu surah.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Loading...

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "Iktibar Dari Setiap Kisah 25 Orang Nabi Dan Rasul Dalam Al-Qur’an"

Posting Komentar