Loading...
Datuk buka baju teluk belanga lalu disangkutkan pada paku dinding. Seperti selalu, Datuk terus duduk bersandar sambil mendirikan lutut sebelah kanan. Beberapa saat kemudian nenek pun meletakkan secawan kopi pahit di depannya. Datuk tidak segera meminumnya. Dia hanya melihat asap nipis di permukaan cawan.
"Ramai orang di masjid?"
"Tak seberapa," Datuk terus menghirup kopi pahit.
"Begitulah selalunya, tak ramai orang yang mahu belajar di masjid, orang lebih suka tengok Fun Fair," sambung Datuk dengan nada kesal.
Cara kebetulan pula di pekan kecil sudah seminggu diadakan Fun Fair. Macam-macam pertunjukan diadakan yang dapat memikat hati orang-orang di tempat saya.
"Memang begitu adat hidup. Dunia dilebihkan, akhirat buat endah tak endah. Maklumlah, dunia nampak, alam akhirat tak nampak," ujar nenek lalu memicit buah betisnya.
Datuk tidak memberikan sebarang komentar terhadap kata-kata yang nenek tuturkan. Dengan tenang Datuk mengangkat cawan lalu menghirup kopi pahit. Saya sudah pun merebahkan badan di lantai, sejak Datuk meneguk kopi pahit pertama.
Sengaja saya rapatkan kedua belah kelopak mata. Biar nenek dan Datuk menyangka yang saya sedang tidur.
"Rasa-rasanya, aku nak ke Jambi. Rindu nak tengok kaum keluarga, saudara mara di sana. Aku rindukan tanah Jambi," hasrat yang Datuk luahkan itu membuatkan saya membuka kedua belah kelopak mata dengan luas.
"Kita faham niat awak, kita tak menghalangnya, hubungan kaum keluarga, kata orang macam air sungai, di cincang tak putus, Tapi, ada...," nenek tidak meneruskan kata.
"Ada apa?" Datuk pun menegakkan badannya.
Biji matanya tepat merenung wajah nenek. Seolah-olah memaksa nenek supaya menyambung segera kata-kata yang terputus itu.
"Awak tu, tak sekuat dulu lagi. Awak bukannya muda, cuma itu saja yang saya nak ingatkan," nenek pun angkat muka lalu bola matanya terpaku ke wajah Datuk.
"Awak takut saya mati?"
"Tak pula, kerana saya tahu, mati tu adalah hak Allah."
"Habis apa yang awak bimbang dan takutkan."
"Awak nak ke Jambi tu nak naik apa, kapal terbang atau kapal laut?" soal nenek lagi.
Tidak ada jawapan dari Datuk. Dia hanya tunduk merenung lantai sambil menghela nafas perlahan-lahan.
Ternyata seperti ada sesuatu yang bermain dalam kepala Datuk, ekoran dari pertanyaan yang nenek kemukakan.
"Nak ikut apa?" ulang nenek lagi.
Tidak ada jawapan dari Datuk dan baki air kopi pahit dalam cawan segera dihirupnya. Kemudian Datuk lunjurkan kaki kanannya.
Datuk seperti keberatan untuk menjawab pertanyaan dari nenek, macam ada sesuatu yang ingin Datuk sembunyikan dari perempuan yang tertonggok di depannya.
Saya yang sedang baring terus pasang telinga. Saya juga ingin mendengar jawapan dari Datuk.
Bunyi cengkerik berdendang di luar cukup rancak. Angin yang bertiup terus menjatuhkan reranting yang kering ke bumi. Suara kucing jantan cukup nyaring memanggil kucing betina.
"Aku nak ke Jambi dengan kapal laut," secara mengejut Datuk bersuara. Kaki yang di lunjur dirapatkannya kembali. Silanya diperkemas.
"Sungguh-sungguh awak nak ke Jambi."
"Tentu," Datuk anggukkan kepala.
"Bila agaknya awak nak pergi?"
"Bila semua urusan selesai baru sedap berjalan."
"Pergi seorang saja?"
"Berdua."
Nenek terus membeliakkan biji matanya.
"Awak nak bawa saya?"
Tanya nenek, cepat-cepat Datuk gelengkan kepala.
Nenek ambil sirih, pinang, kapur dan gambir. Semuanya disatukan lalu disumbat dalam gobek. Dengan tenang nenek menggobek sirih.
Saya kira sambil menggobek sirih, nenek memerah otak memikirkan siapakah kawan karib Datuk yang bakal menemaninya ke tanah Jambi.
"Siapa kawan awak tu," nenek berhenti menggobek sirih.
"Siapa lagi...," Datuk terus diam.
Dia menggeliat untuk menghilangkan rasa lenguh di pangkal belikatnya.
"Agaknya awak nak bawa cucu kita, si Tamar," nenek terus menyerkap jarang.
"Memang begitulah hajat di hati, mahu aku perkenalkan si Tamar dengan kaum keluarga di seberang. Aku tak mahu dia kehilangan akar umbi keturunannya. Biar dia kenal siapa dirinya dan dari mana asal-usulnya," Datuk bersuara penuh semangat.
Bila Datuk mengakui yang dia memang berhasrat mahu membawa saya ke tanah seberang. Saya semacam tidak sedar terus bangun dan duduk bersila merenung muka Datuk dan nenek.
Saya masih mengharapkan kata-kata selanjutnya yang bakal keluar dari kedua kelopak bibir Datuk dan nenek.
"Wah! tengok si Tamar ni, sebut pasal nak berjalan dari tidur terus bangun," nenek menghalakan matanya ke arah saya.
"Maknanya dia pura-pura tidur, bukan apa tu, dia nak mengelakkan dari disuruh membaca Quran. Perbuatan macam tu tak ada untungnya Tamar, apa faedahnya menipu diri sendiri," sampuk Datuk tanpa merenung ke arah saya.
Tebal rasa kulit muka bila kena sindir macam tu. Apa mahu dikata, salah sendiri terpaksa ditanggung malu.
"Pergi tidur dalam bilik," herdik Datuk.
"Baik tuk," saya segera akur dengan cakap Datuk.
REBAH
Nenek hanya melihat telatah saya yang tergesa-gesa masuk ke bilik tidur. Saya tidak merebahkan diri di atas katil. Saya lekapkan telinga kanan ke dinding untuk mengikuti perbualan selanjutnya antara Datuk dan nenek.
"Budak tu cukup nakal, makin besar makin menjadi nakal," itulah komen nenek terhadap saya.
"Budak lelaki memang begitu, suka membantah cakap. Kalau kena cara cakap dan minta mahu mendengar kata. Suruh apa saja, sanggup dibuatnya. Tamar tu boleh dibentuk lagi untuk menjadi manusia," Datuk membela saya.
Saya senyum sendirian, megah kerana ada orang yang bersedia mempertahankan diri saya. Bukan kepalang gembiranya rasa di hati, bila Datuk memuji saya di depan nenek.
Dan saya mula faham, begitu tinggi sekali harapan Datuk pada saya. Keseronokan yang melonjak-lonjak terus terbantut, bila teringatkan ungkapan dari Datuk berbunyi: Tamar tu boleh dibentuk lagi untuk jadi manusia.
Wah! ini sudah keterlaluan. Apakah batang tubuh saya yang wujud ini, bukannya manusia Apakah saya ini binatang yang bertubuhkan manusia?
Datuk sudah melampau, secara mendadak saya jadi marah. Kalau ikutkan hati, mahu rasanya papan dinding saya tumbuk, biar tercabut.
Dalam mengawal perasaan itu, saya cuba membaca surah Al-Fatihah tiga kali. Ketenangan datang dalam diri saya dan saya mula memikirkan ada maksud tertentu dari ungkapan yang Datuk luahkan itu.
Telinga terus saya lekapkan ke dinding. Saya mengalami kekecewaan yang amat sangat. Datuk dan nenek tidak lagi memperkatakan tentang hal yang ada hubungannya dengan niat Datuk mahu pulang ke Jambi.
Mereka membawa persoalan lain, mereka memperkatakan tentang tanah sawah, kebun getah, amal ibadah dan hal-hal yang bersangkut-paut dengan kematian. Saya cukup hampa dengan tindakan Datuk dan nenek itu.
Saya pun rebahkan sekujur tubuh atas katil, saya mula memikirkan tentang perjalanan ke Jambi dengan kapal laut membelah Selat Melaka.
Kalaulah benar, Datuk bersedia membawa saya ke tanah Jambi, saya akan memujuk Datuk agar membawa saya ke Palembang untuk melihat puncak Bukit Seguntang tempat Wan Empuk dan Wan Malini berhuma padi.
Saya juga teringin sekali mahu melihat Sungai Mati yang membelah Palembang. Semoga cita-cita dan impian terlaksana.
"Bolehkah dipercayai cakap Datuk tu?"
Timbul pertanyaan dalam hati saya di malam yang dingin. Saya terdengar bunyi jam gantung berdenting sepuluh kali. Perbualan Datuk dengan nenek tidak serancak tadi.
Saya menguap, sekejap saya melentang, sekejap saya meniarap dan sekejap mengiring. Entah mengapa saya resah tak menentu.
"Agaknya, saya terpengaruh dengan cerita Datuk mahu membawa saya ke Jambi, inilah sebabnya saya resah tak menentu dan tak mahu tidur," begitulah saya membuat ramalan dalam hati.
Saya terus bangun duduk atas katil sambil memeluk sepasang lutut. Macam-macam yang saya fikirkan tentang kampung halaman Datuk di Jambi.
Suburkah bumi Jambi dengan tumbuhan. Sombongkah anak buah Datuk. Kasarkah gerak-geri mereka dan celuparkah mulut anak buah Datuk di sana.
Dapatkah saya menerima mereka sebagai kaum keluarga yang masih mempunyai pertalian darah dengan Datuk, sedangkan saya tidak pernah mengenali mereka secara dekat, tidak mesra.
Mungkin cara mereka berfikir dengan saya tidak sealiran. Jangan-jangan bahasa yang diucapkan tidak saya fahami. Dapatkah saya menerima mereka saya yang telah dipisahkan oleh Selat Melaka. Semuanya bergolak dalam dada saya.
"Di sana ada sungai, ada jambatan, nanti kau dah besar tuk bawa ke sana," teringatkan dialog yang terjadi antara saya dengan Datuk ketika saya mula bersekolah dulu.
"Sungai itu apa namanya tuk?"
"Sungai Batanghari."
"Jambatannya nama apa tuk?"
"Aur Duri, dibuat dari besi, nantilah kamu besar Datuk bawa kamu ke sana."
"Lembu di sana, serupa dengan lembu di sini tuk."
"Tentulah sama," Datuk terus ketawa panjang.
Barangkali dia merasa amat lucu dengan pertanyaan saya itu.
Saya tersenyum mengingati ketololan diri sendiri. Saya menguap panjang. Dan mata saya terasa amat berat sekali.
Saya hilang keinginan untuk mengikuti perbualan antara Datuk dengan nenek, saya terus menarik gebar untuk menghilangkan rasa dingin yang menguasai sekujur tubuh.
Dan sesungguhnya, setelah itu saya tidak tahu apa yang berlaku.
RUANG
Bila saya bangun untuk menunaikan solat Subuh, saya dapati ada seorang lelaki duduk di ruang tengah.
Lelaki itu memakai songkok hitam, berbaju cekak musang dengan kain I membalut sebahagian dari dadanya. Memakai pelekat berpetak empat, macam petak papan catur.
Waktu saya lalu di sisinya, lelaki itu tidak angkat muka. Tunduk merenung lantai macam orang bertafakur. Datuk berdiri di kirinya dengan pakaian yang lengkap untuk berjemaah Subuh di masjid.
Kerana dia tidak menghiraukan saya, saya pun tidak menegurnya. Saya teruskan perjalanan ke bilik air. Setelah mandi dan ambil air sembahyang, lagi sekali saya lalu diruang tengah.
Saya dapati lelaki dan Datuk sudah tiada lagi di situ. Pada hemat saya, pasti kedua-duanya menuju ke masjid.
Setelah menunaikan solat Subuh, saya terus mendapatkan nenek yang sedang menjerang air di dapur.
"Ada orang baru datang ke rumah kita nek? siapa orang tu?" saya kemukakan soalan pada nenek.
Sakit juga hati bila nenek buat tidak kisah dengan pertanyaan yang saya ajukan padanya. Saya ulangi pertanyaan itu beberapa kali, barulah nenek bersuara.
"Entah, aku tak kenal siapa dia, Tamar."
"Masa bila dia datang nek?"
"Kalau tak silap dekat pukul sebelas malam tadi. Pada mulanya Datuk kamu terdengar bunyi orang berjalan di luar, tidak lama kemudian, pintu rumah kita diketuk berkali-kali," nenek memperjelaskan cerita sebenar dengan harapan keraguan yang berada dalam hati saya akan berakhir.
"Kemudian tuk suruh dia masuk. Bukan begitu nek?" tingkah saya, nenek pun segera anggukkan kepala.
"Itu silap besar, membenarkan orang yang kita tak kenal bermalam di rumah kita," saya luahkan protes.
"Tuk kamu bukannya bodoh, dia fikir buruk baiknya dulu sebelum menerima orang tu bermalam di sini. Kau tahu Tamar, orang tu cacat."
"Cacat," saya terkejut besar lalu membeliakkan biji mata.
"Ya," angguk nenek.
"Tadi saya nampak elok sempurna."
"Kamu tengok sekali lalu, macam mana kamu boleh kata begitu," dari nada suaranya itu, ternyata nenek kesal dengan sikap saya.
Buat beberapa saat saya tidak bersuara. Biarkan perasaan nenek kembali tenang. Kalau banyak soal nanti dia naik darah. Kalau nenek sudah naik darah nanti puntung kayu api naik ke muka saya.
Nenek buka tingkap bahagian dapur. Cuaca di luar nampak samar-samar. Kokok ayam masih kedengaran sekali-sekala. Di kaki langit ada kilau cahaya yang mula bangkit.
"Apa cacatnya nek?"
Nenek menarik nafas lambat-lambat. Di wajahnya terpancar rasa simpati yang amat dalam terhadap tetamu yang kurang saya restui itu.
"Dia jalan merangkak, ampun maaf cakap, berjalan macam biawak."
"Pelik, kenapa macam tu. Apa kata tuk tentang cara dia berjalan tu nek," saya berminat sekali untuk mengetahui keganjilan yang terjadi pada diri lelaki tersebut.
"Tak ada apa-apa katanya, cuma dia kesian saja."
"Hairan juga saya, macam mana dia terus datang ke rumah kita nek?"
"Itu kau kena tanya tuk kamu, dia melayan orang tu bercakap berjam-jam malam tadi. Lepas aku menghidangkan air kopi dan kuih, aku terus masuk bilik, aku mengantuk," tutur nenek dengan tenang.
Nenek terus taruh kopi dan gula ke dalam teko lalu disusuli dengan air panas. Nenek kacau air panas dengan sudu hingga kopi dan gula bersatu.
Bau air kopi yang menyegarkan itu terus menusuk lubang hidung, saya kian terangsang untuk minum kopi.
"Kamu minum dulu."
Nenek tuang kopi panas ke dalam cawan. Tanpa membuang masa lagi saya terus menghirupnya.
"Kalau nak makan goreng pisang tunggu sekejap lagi," ujar nenek lagi sambil mengangkat goreng pisang dari kuali dan diletakkan atas para dengan tujuan untuk menyejukkannya.
"Tak apa nek, dapat air kopi ni pun dah cukup baik," kata saya.
"Baiknya kamu pagi ni Tamar," nenek menyindir.
"Saya cakap ikhlas nek, nenek buat goreng pisang ni untuk orang cacat tu?"
"Ya," angguk nenek.
Tanpa diminta, sambil bercerita bagaimana tetamu cacat itu datang. Pada mulanya, Datuk keberatan mahu mengizinkan tetamu cacat itu bermalam di rumah.
Tetapi, setelah dirayu dan diterangkan tujuan sebenarnya, barulah Datuk membenarkan tetamu cacat itu masuk ke rumah.
"Apa alasannya nenek?" saya memotong cakap nenek.
"Katanya, sudah berbulan-bulan dia mencari rumah Datuk kamu. Dia mendapat tahu dari orang tertentu yang Datuk kamu berkebolehan, kerana itu dia mencarinya."
"Waktu malam datang ke rumah," cemuh saya.
"Begitulah, kalau dah berhajat."
"Orang mana nek?"
"Entah, nenek tak tahu."
"Hum..." keluh saya.
Saya terus minum baki kopi panas yang masih ada dalam cawan. Saya kira, selesai saya minum nanti nenek akan menyambung kembali cerita tentang tetamu cacat tersebut.
SALAH
Perkiraan saya tidak salah lagi. Sebaik saja saya meletakkan cawan atas meja. Nenek duduk bersila di depan saya.
"Khabarnya orang jauh," nenek memulakan cerita.
Ternyata cerita yang mahu bermula itu, mati setakat itu saja. Disekat oleh kepulangan Datuk dan tetamu cacat.
"Bukakan pintu Tamar, mereka dah balik dari masjid," suruh nenek.
Tanpa tangguh-tangguh lagi saya menerpa ke pintu dengan harapan mahu melihat tentang kecacatan yang dialami oleh tetamu baru itu.
Pintu saya buka, saya lihat Datuk tercegat di halaman, sedangkan tetamunya merayap memanjat tangga.
Tetamu itu menggunakan kekuatan sepasang tangannya untuk mengheret tubuhnya naik tangga rumah. Apa yang saya lihat membuat saya tergamam dan terkejut.
"Kenapa tercegat di situ!" pekik Datuk.
Saya terkejut dan terus menuju ke ruang dapur mendapatkan nenek yang sudah mengaturkan piring untuk goreng pisang dan cawan atas talam.
"Apa yang bising tu, Tamar?" nenek renung muka saya.
"Tuk marah saya berdiri di depan pintu."
"Tak manis melihat orang cacat macam tu, sepatutnya lepas kamu buka pintu, kamu berubah ke tempat lain."
"Kesian dia, nek."
"Sekarang kamu dah tahu kenapa tuk kamu membenarkan dia bermalam di rumah kita," tutur nenek dengan renungan yang sayu ke arah dinding dapur.
Mungkin ada sesuatu yang bermain dalam tempurung kepala nenek.
Bila nenek sudah yakin yang Datuk dan tetamu cacat sudah sampai dan duduk di ruang tengah. Nenek pun mengarahkan saya supaya membawa makanan pagi ke ruang tengah.
Cakapnya segera saya patuhi. Setelah hidangan itu diletakkan, saya segera angkat kaki untuk ke dapur kembali.
"Tamar."
Langkah saya terhenti. Wajah Datuk saya renung.
"Kamu duduk di sini, minum sama kami," sambung Datuk lagi.
"Tapi cawannya ada dua saja tuk," saya mencari helah.
"Nanti aku suruh nenek kamu bawa lagi dua cawan," Datuk segera bangun menuju ke ruang dapur.
Dan datang kembali ke ruang tengah bersama dengan nenek membawa dua cawan kosong.
Saya gagal menjauhkan diri dari Datuk. Saya tidak ada pilihan lain lagi. Sama ada suka atau tidak saya terpaksa akur dengan cakapnya.
Saya duduk dekatnya, tetamu cacat tunduk merenung lantai, dia kelihatan seperti takut mahu melihat batang hidung saya.
Bila saja nenek selesai menuangkan air kopi ke dalam cawan, dia segera beredar ke dapur.
Saya sandarkan badan ke dinding sambil mengarahkan sepasang anak mata ke tingkap yang terdedah. Saya lihat suasana di luar cukup cerah.
Matahari yang kian meninggi terus memancarkan cahaya, kicau burung bersahut-sahutan.
"Silakan minum, Khoja Lisut."
"Ya, terima kasih."
Tetamu cacat segera angkat cawan lalu menghirup kopi. Saya mengalami kejutan yang kedua. Bibir tetamu cacat kelihatan terbelah dua dan lidahnya berwarna putih. Dia tidak menghirup kopi tapi menjilat.
Mungkin kerana menyedari yang perbuatannya jadi tumpuan saya, tetamu cacat segera berhenti minum kopi. Dia angkat muka lalu renung ke arah saya.
"Jangan terkejut nak, memang begini cara pak cik minum," katanya tersekat-sekat.
"Kerana ini jugalah pakcik dibuang keluarga, ditinggalkan oleh anak bini pak cik," sambungnya dalam nada suara yang penuh kehampaan.
"Khoja Lisut, tak usahlah bercerita apa-apa pada cucu saya tu, minum dan makan dulu," Datuk bertindak kerana dia menyedari kalau dibiarkan Khoja Lisut meneruskan percakapan, mungkin Khoja Lisut akan menangis.
Bagi Datuk memang pantang tujuh keturunan, kalau orang bertandang menangis pagi di rumahnya.
Perbuatan itu seolah-olah menyuruh rezeki lari jauh dari tuan rumah di samping menggambarkan yang tuan rumah tidak bersyukur pada Tuhan yang menjadikan waktu pagi yang indah.
Selain dari itu, perbuatan tetamu menangis pagi di rumah orang yang didatangi seolah-olah mendoakan tuan rumah dan keluarganya supaya hidup dalam bahaya dan pendek umur.
Entah dari mana pantang larang dan petua itu dikutip oleh Datuk.
Kata nenek, petua dan pantang larang itu telah diwarisi oleh Datuk dari nenek moyangnya. Entah berapa keturunan.
Apakah pantang larang, petua dan petunjuk sedemikian mesti dilanjutkan di abad-abad yang akan datang? Ingin saya bertanya demikian pada Datuk. Tetapi, tidak pernah saya ajukan, saya takut dimarahinya.
Sarapan pun berakhir, cawan dan piring kosong saya bawa ke dapur. Saya segera memberitahu Datuk yang saya mahu menemani nenek ke kebun pisang.
"Tak payah, nenek kamu boleh uruskan," sanggah Datuk.
"Saya nak tolong dia petik mentimun, cabai dan sayur."
"Tak payah, nenek kamu boleh buat."
"Saya nak tengok jerat di tepi hutan."
"Biar aku beri tahu nenek kamu untuk menengoknya."
"Eh, saya nak tengok bubu di sungai."
"Semuanya sudah aku cakapkan pada nenek kamu, dia boleh selesaikan kerja tu, kita cuma tunggu waktu makan saja," Datuk begitu serius.
Apalagi mahu saya katakan. Semua helah dan dalih ditolak mentah-mentah oleh Datuk.
"Tamar, hari ini kamu kena tolong Datuk dari pagi hingga petang, boleh jadi sampai ke malam," cukup tenang Datuk bertutur. Matanya terpaku ke wajah saya.
"Pertolongan apa tu tuk."
"Sekarang bukan masanya kamu nak bertanyakan hal itu, tunggu saja perintah aku," saya dapat merasakan ada riak kemarahan dalam hati Datuk berdasarkan pada tekanan suaranya.
RANCAK
Bila melihat Datuk dalam keadaan demikian, saya segera mengambil sikap membisu, tunggu serta lihat. Apa juga perintahnya pasti saya turut.
Saya perhatikan, sejak tadi Datuk tidak begitu rancak berbual dengan tetamu cacat. Datuk lebih banyak termenung sambil melihat ke dada langit, macam ada sesuatu yang difikirkannya. Sesekali wajah Datuk berkerut dan cemas.
"Kita ke kebun pisang, duduk berborak di pondok," Datuk luahkan arahan.
"Pak cik Khoja macam mana, tuk?"
"Ha, ikut sama."
Saya menarik nafas panjang. Terbayang di kepala bagaimana susahnya si tetamu cacat merangkak ke sana.
Apa Datuk mahu menyeksanya? Tidakkah Datuk tahu jarak antara kebun pisang dengan rumah hampir satu batu. Ini kerja gila.
"Kita pimpin dia," Datuk memecahkan kebuntuan dalam kepala saya.
Tapi, cara itu juga tidak praktikal. Memimpin orang cacat sejauh itu memang menyulitkan.
"Siap," Datuk renung saya.
"Baik," kepala segera saya angguk.
Datuk masuk ke kamarnya dan keluar dengan memakai seluar hitam. Kain pelekat besar dijadikannya samping.
Bila sudah berpakaian demikian, ertinya ada tugas tertentu yang bakal dilaksanakan oleh Datuk.
Saya lihat Datuk memasukkan kain lilit kepalanya ke dalam saku baju. Dan dia mengenakan kopiah putih di kepala.
"Ayuh, tunggu apa lagi, Tamar."
Saya segera turun, begitu juga dengan tetamu cacat terpaksa menyusur tangga dengan hati-hati. Bila kami sampai ke bawah baru Datuk turun. Saya bersedia mahu memimpin tetamu cacat.
"Tak payah," Datuk menolak saya ke tepi sebelah kanan.
Datuk terus membongkok lalu mengangkat tetamu cacat, diletakkan atas kedua belah bahunya.
"Aku bawa dia," katanya pada saya.
Saya anggukkan kepala. Mungkin kerana tidak mahu perbuatannya diketahui oleh orang-orang kampung, Datuk mengambil keputusan ikut jalan pintas yang agak sukar menuju ke kebun pisang.
Terpaksa melalui denai di pinggir belukar. Saya sering saja tersepak akar-akar pokok dan ada kalanya saya terjatuh.
Datuk tidak kisah dengan apa yang terjadi pada saya. Dia jalan terus seakan-akan berlari, saya tercungap-cungap memburunya dari belakang.
Sampai saja di pondok pisang sesikat Datuk terus letak Khoja Lisut atas lantai pondok yang dibuat dari buluh. Khoja Lisut segera mengisut ke tengah pondok. Datuk terus menuju ke perigi membasuh muka. Saya naik ke pondok.
"Kenapa tuk bawa pak cik Khoja ke sini."
"Memenuhi syarat."
"Syarat apa?" saya bertambah hairan.
"Syaratnya, pak cik boleh menceritakan dari mana pak cik datang dan sebab-sebab pak cik jadi begini di pondok yang berlantaikan buluh, atap rumbia dan berdinding separuh."
"Begitu," saya menarik nafas dalam-dalam. Syarat-syarat yang dikehendaki itu ada di pondok pisang sesikat yang didirikan oleh Datuk.
"Di rumah tak boleh ke, pak cik?" saya mula mencungkil rahsia darinya sebelum Datuk naik ke pondok.
"Tak boleh, kalau buka rahsia di rumah yang elok, alamatnya pak cik bertambah susah," jelas Khoja Lisut.
Selesai saja Khoja Lisut bercakap, Datuk pun sampai dari perigi lalu naik ke pondok.
Beberapa minit kemudian nenek muncul membawa beberapa helai pucuk pisang yang masih hijau serta kendi berisi air. Semua barang-barang itu diserahkan pada Datuk.
Saya kira perkara ini bukannya kebetulan tetapi, telah dirancang lebih awal antara Datuk dengan nenek. Mereka merahsiakan perkara ini dari saya.
Semasa penyerahan barang-barang itu dilakukan, Datuk dan nenek tidak bertentang wajah. Masing-masing renung ke arah yang berlainan. Tidak bercakap walaupun sepatah.
Nenek meninggalkan kami, dia meneruskan tugasnya memetik putik jagung, mentimun, daun salang, cekur manis.
Bila tugas itu selesai nenek turun ke sungai melihat lukah. Semuanya itu diadunkan menjadi bahan makanan tengah hari yang amat menyelerakan.
"Kamu macam mana sekarang Khoja? sudah bersedia untuk menceritakan segala-galanya seperti yang kamu janjikan, semua syarat yang kamu minta sudah aku sediakan," Datuk pun mengemaskan silanya.
"Saya sudah bersedia."
"Tamar, kamu duduk di sini, barangkali ada perkara yang dapat kamu bantu aku," begitu tajam biji mata Datuk menyorot wajah saya.
Cepat-cepat saya mengangguk.
Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 121/284
BACA: SBDJ Siri 120: Diganggu Monyet Besar
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)
-Sentiasapanas.com

0 Response to "SBDJ Siri 121: Tetamu Cacat"
Posting Komentar