Loading...

COVID-19: CUEPACS mohon penangguhan bayaran LPPSA

Loading...
KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menangguhkan sementara pembayaran balik pinjaman perumahan Penjawat Awam yang dibuat melalui Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA).

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat, berkata langkah itu wajar dibuat selari penangguhan bayaran balik pinjaman atau moratorium selama enam bulan yang dilakukan oleh institusi perbankan di negara ini.

“CUEPACS mengambil maklum keluhan dan harapan ramai penjawat awam termasuk kesatuan pekerja perkhidmatan awam yang mahukan penangguhan bayaran pinjaman kepada LPPSA.

“Bukan semua penjawat awam di negara ini mempunyai pasangan yang sama-sama bekerja, ada yang pasangannya suri rumah, peniaga kecil atau bekerja di sektor swasta.

“Rata-rata gaji bersih penjawat awam adalah sekitar 20 peratus sekiranya mempunyai pinjaman perumahan atau ditolak dengan pinjaman perumahan dan pinjaman lain, ” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Pada masa sama, Adnan berkata, penjawat awam boleh memperuntukkan jumlah bayaran balik pinjaman LPPSA yang kebiasaannya mewakili separuh daripada gaji itu untuk kecemasan jika ditangguhkan.

Katanya, situasi semasa disebabkan penularan COVID-19 mengganggu rutin kerja dan menjejaskan pendapatan isi rumah penjawat awam.

“CUEPACS harap keluhan dan permintaan penjawat awam ini mendapat pertimbangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan LPPSA.

“Walaupun permohonan ini sedikit sebanyak memperlahankan sumber dana LPPSA, kerajaan melalui bank dan institusi kewangan dalam negara diharap dapat membantu mengukuhkan aliran tunai lembaga itu.

“CUEPACS yakin penangguhan ini akan memperkukuhkan semula pergerakan ekonomi dalam negara, ” katanya.

Bank Negara Malaysia (BNM) membenarkan pelanggan perbankan, termasuk individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menangguhkan pembayaran balik pinjaman sedia ada, termasuk gadai janji dan sewa beli untuk tempoh enam bulan.
Loading...

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "COVID-19: CUEPACS mohon penangguhan bayaran LPPSA"

Posting Komentar