Loading...

COVID-19: UPSR, PT3 akan dtangguhkan?

Loading...

Bekas menteri pendidikan, Mahdzir Khalid, berpendapat Kementerian Pendidikan tidak perlu mewajibkan pihak sekolah melaksanakan sepenuhnya sukatan pelajaran tahun ini yang terjejas akibat Covid-19.

Beliau berkata, peperiksaan peringkat sekolah atau berpusat pula perlu mengambil kira jumlah hari pengajaran dan pembelajaran berlangsung serta sukatan pelajaran yang boleh dihabiskan bagi tahun ini.

Jelasnya, beliau menyambut baik sekiranya Kementerian Pendidikan melakukan perubahan serta penjajaran semula takwim pendidikan tahun ini.

"Saya setuju takwim diubah, kena kira balik jumlah hari yang ada proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah tahun 2020. Berapa sukatan pelajaran yang boleh dihabiskan untuk tahun ini bagi setiap mata pelajaran berdasarkan jumlah hari mengajar di sekolah.

"Berdasarkan jumlah hari dan jumlah sukatan pelajaran yang boleh diajar, peperiksaan peringkat sekolah atau berpusat boleh mengambil kira faktor itu.

"Tidak perlu lagi untuk menghabiskan sukatan pelajaran tahun 2020 untuk semua subjek. Lembaga peperiksaan mesti diberi peluang mengemukakan beberapa pilihan yang ada, masa yang sesuai untuk peperiksaan," katanya kepada Malaysiakini.

Hari ini, Malaysiakini melaporkan Kementerian Pendidikan dijangka akan meminda semua tarikh peperiksaan utama selaras dengan keputusan kerajaan melanjutkan PKP dan pengangguhan pembukaan persekolahan ekoran Covid-19.

Pinda semua tarikh peperiksaan

Malaysiakini dimaklumkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan peperiksaan PT3 akan ditangguhkan beberapa bulan.

Begitu juga dengan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bertulis serta Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Semester 3 dan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sumber bagaimanapun berkata ia tertakluk kepada kelulusan kabinet.

Dalam pada itu, Mahdzir berkata, Kementerian Pendidikan mestilah memberi gambaran awal kepada masyarakat umum bahawa mereka sudah mempunyai perancangan pasca-Covid-19.

Sementara itu Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Mohamad Ali Hassan, menyokong penuh pindaan tarikh peperiksaan utama dan takwim pendidikan tahun ini ekoran pelanjutan PKP.

"PIBGN menyokong penuh usaha dan tindakan KPM untuk meminda kesemua tarikh peperiksaan utama sekolah disebabkan pelanjutan PKP serta sebab-sebab pelanjutan tersebut ekoran Covid-19.

"Pihak PIBGN juga menyambut baik perubahan takwim persekolahan tahun ini dan berikutnya serta menyarankan Kementerian Pendidikan untuk terus mengatur sebaik mungkin pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran melalui e-pembelajaran, termasuk TV dan radio untuk akses semua pelajar," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu bagi Exco Pemuda Umno, Mustafa Shah Abdul Hamid, mahu Kementerian Pendidikan turut memberi tumpuan kepada murid-murid luar bandar termasuk anak Orang Asli agar mereka tidak tercicir pelajaran sepanjang pelaksanaan PKP.

Mustafa berkata, beliau khuatir jika murid-murid di kawasan pedalaman serta masyarakat Orang Asli tidak dapat mengakses pembelajaran secara dalam talian kerana capaian internet yang terhad.

"Kita menuntut supaya Kementerian Pendidikan turut memberi perhatian khusus kepada murid-murid yang berada di kawasan luar bandar termasuk anak-anak Orang Asli yang saya kira pelajaran mereka terjejas ketika ini.

"Walaupun KPM melakukan pendidikan secara dalam talian melalui e-pembelajaran dan TV pendidikan, namun bagi masyarakat yang tinggal di luar bandar pastinya berdepan kesukaran untuk mendapat liputan internet apatah lagi untuk melaksanakan pembelajaran secara dalam talian di rumah masing-masing," katanya.

Tambahnya lagi KPM perlu ada mekanisme khusus bagi memastikan kumpulan ini tidak ketinggalan dan tercicir pelajaran mereka.

Sumber: Malaysiakini
Loading...

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "COVID-19: UPSR, PT3 akan dtangguhkan?"

Posting Komentar