Loading...

SBDJ Siri 152: Ketuanya Bomoh Wanita

Loading...
Bahagian depan (muka) ditutup dengan kain hitam yang nipis dan jarang. Ini membolehkan orang tersebut melihat sesuatu dengan bebas. Dan datuk macam tadi juga, berdiri dengan tenang. Sepasang matanya tetap menyorot setiap pergerakan orang yang berpakaian serba hitam di depannya.

SBDJ siri 139

"Huuuhhhh..."

Orang yang berpakaian serba hitam melompat ke udara, setinggi lebih dari sepuluh kaki dan akhirnya berdiri atas busut jantan untuk beberapa minit sebelum melompat dan berdiri di depan datuk.

Orang yang berpakaian serba hitam segera menghulurkan tangan untuk bersalam. Saya lihat datuk seperti keberatan untuk menyambut salam yang dihulurkan.

Dan orang itu seperti memaksa agar datuk menyambut salamnya. Dia cuba berusaha menyambar telapak tangan datuk. Macam tadi juga, datuk terus mengelak.

Ternyata perbuatan datuk itu menimbulkan kemarahannya. Kalau tadi dia menghulurkan tangan untuk bersahabat, kali ini dia melepaskan penumbuk sulung yang kencang ke arah datuk.

Datuk berjaya mengelak dan orang yang menyerang terbabas ke dalam rumpunan pepokok kecil, jatuh terduduk di situ.

Dia bangun dengan pantas lalu menyerang datuk dari arah kiri. Datuk tidak dapat mengelak.

Satu tendangan yang padu dan tajam singgah di rusuk kiri. Datuk tersungkur dan bergolek ke bumi menahan rasa sakit sambil mengerang.

Saya jadi terharu melihat apa yang datuk alami. Tetapi, saya tiada daya untuk menentang orang yang berpakaian serba hitam. Orang itu bukan lawan saya.

Di saat datuk menahan rasa sakit, orang yang berpakaian serba hitam tidak mahu melepaskan peluang untuk menamatkan riwayat datuk.

Dia segera melompat untuk menghentakkan sepasang kakinya ke dada datuk. Ternyata apa yang di rancangkan oleh si baju hitam dapat dibaca oleh datuk.

Dengan pantas datuk menggolekkan tubuhnya di bumi, ligat macam gasing menuju ke arah kaki si baju hitam yang mahu memulakan lompatan.

Kaki kiri si baju hitam (di bahagian buku lali) disambar oleh datuk lalu dipulas dengan sekuat hati.

Si baju hitam tidak dapat mengimbangi badannya. Terumbang ambing macam sabut dilambung ombak. Akhirnya dia tersembam ke bumi.

Dengan sedaya upaya datuk memeluk badan si baju hitam lalu melepaskan penumbuk ke arah perutnya.

Saya terdengar suara pekikan dan dalam rasa senak yang amat sangat si baju hitam cuba menendang tubuh datuk.

Ternyata datuk lebih cekap bertindak. Kain hitam penutup wajah segera di rentap dan dibuang oleh datuk ke dalam belukar.

Datuk berhenti dari memeluk tubuh si baju hitam dan dia terus mencangkung di depan si baju hitam yang tewas.

"Kamu bukan lawan aku, pulanglah," kata datuk.

Si baju hitam yang tewas segera duduk bersila di tanah sambil merenung penuh dendam ke wajah datuk.

Tanpa diduga dia melepaskan tendangan dari kaki kiri ke arah kemaluan datuk. Mujur datuk menepis tendagan itu lalu menangkap kaki kirinya. Datuk rentap ke kanan hingga si baju hitam menjerit kesakitan.

"Kamu bukan lawan aku," ulang datuk lagi.

"Ahhhh..." si baju hitam bersuara dengan wajah yang amat pucat.

Tanpa menunggu arahan dari datuk, saya terus mendekati si penyerang yang terbaring dengan keadaan terkangkang di bumi.

Saya tatap wajahnya dan saya kira usianya sekitar 21-25 tahun. Air mukanya bersih macam orang bijak pandai.

Dari raut mukanya, saya menduga dalam tubuhnya mengalir darah kacukan Melayu-Cina.

Gerak matanya membayangkan dirinya seorang yang berotak cerdas. Ada tokoh untuk menjadi pemimpin dan pendekar.

"Kenapa kamu serang aku? Aku tak buat apa-apa dengan kamu?" suara datuk meninggi.

Tangan si baju hitam segera di kilas hingga keris di tanganya jatuh ke tanah.

"Cakap kenapa kamu serang aku?" desak datuk.

"Ada orang yang suruh," katanya tercungap-cungap.

Tangan yang dikilas segera datuk lepaskan. dan keris yang tersadai di bumi segera datuk ambil.

Dengan tenang datuk menatap luk dan besi keris yang hulunya dibuat dari gading gajah dalam bentuk paruh burung lang (helang).

"Duduk," kata datuk

Si baju hitam yang terbaring di bumi merasai dirinya dalam bahaya. Dia segera akur dengan cakap datuk. Terus duduk mencangkung. Di wajahnya terpamer seribu penyesalan.

"Jangan bunuh saya," rayunya

"Aku tak bunuh kamu tapi, kamu mesti berterus terang dengan aku."

"Maksudnya?"

"Mudah saja. Kamu beritahu aku siapa yang suruh kamu buat semuanya ini," soal datuk lalu duduk bersila disisinya.

Cara datuk duduk nampak kemas sekali. Sengaja datuk berbuat demikian sebagai persediaan. Kalau si baju hitam membuat olah dengan senang dapat melepaskan buah silat.

Si baju hitam termenung sejenak. Dia kerutkan dahi sambil melepaskan beberapa keluhan. Dia tidak dapat menyembunyikan rasa bimbang yang bergolak dalam dadanya.

Si baju hitam renung kiri, renung kanan. Nampak resah semacam.

"Saya tak boleh tunaikan permintaan awak," dia bersuara.

"Sebabnya?" soal datuk.

"Kalau saya dengar cakap awak, ertinya saya langgar sumpah. Saya tak boleh langgar sumpah," tutur si baju hitam tersangkut-sangkut bersama dengan wajah yang sangat hiba sekali.

"Kalau kamu langgar sumpah macam mana?" tanya saya dengan mengejut.

Datuk pun melemparkan kerlingan amaran yang tajam untuk saya. Seolah-olah memberi amaran supaya jangan turut campur dalam urusannya.

Saya segera menarik nafas dalam-dalam. Kemudian menundukkan kepala sebagai tanda minta maaf atas keterlanjuran ang dilakukan.

JAWAB

Sebelum menjawab pertanyaan yang saya kemukakan, anak muda merenung ke langit. Dia lihat awan gemawan petang yang bergerak lemah.

Dia juga melihat beberapa ekor gagak berterbangan di atas kepalanya sambil berbunyi dengan agak nyaring. Si baju hitam benar-benar berada dalam cemas.

"Sekarang kamu terang dengan jujur, apa akibatnya bila melanggar sumpah," datuk mendesak.

"Saya muntah darah. Dalam seminggu saya terus mati. Tolong jangan paksa saya langgar sumpah," rayu si anak muda itu.

Saya lihat datuk jadi serba salah, termenung untuk beberapa saat, mencari akal untuk mengatasi masalah yang sedang dihadapinya.

Datuk tidak mahu kerana dirinya, si baju hitam akan menerima padahnya. Saya pun diamuk keresahan. Memang tidak diduga begini jadinya.

Saya kira setelah berjaya mengatasi halangan yang mencemaskan, perjalanan selanjutnya akan aman dan selesa.

"Begini saja, kamu terangkan pada aku, siapa yang suruh kamu buat kerja ni. Cakaplah, kalau ada apa-apa hal aku bersama kamu. Aku jadi galang gantinya. Aku tak biarkan kamu kesaorangan," datuk memberikan harapan dan janji.

Tetapi, si baju hitam masih ragu-ragu dengan janji itu.

"Awak tak akan berjaya melindungi saya. Saya tetap dimakan sumpah, saya tetap mati," si baju hitam mula menangis. Dari perlahan-lahan terus meraung sekuat hati.

Datuk segera memaut bahu si baju hitam sambil menekan ibu jarinya pada salah satu urat di sendi bahu kiri si baju hitam.

Dengan serta merta si baju hitam berhenti menangis. Wajahnya yang pucat bertukar menjadi merah.

Dari sedih bertukar menjadi garang, penuh dengan dendam kesumat yang amat sangat.

"Benar-benar awak mahu menolong saya," si baju hitam menjegilkan biji mata ke arah datuk. Macam tadi juga, datuk terus anggukkan kepala.

"Awak bersedia menghadapi kematian?" tanya si baju hitam .

"Bersedia," jawap datuk

Si baju hitam gosok pangkal hidungnya beberapa kali. Tumitnya ditekan ke bumi sehinga berlubang.

Semua gerak-geri yang diperlihatkan itu diperhatikan oleh datuk dengan terperinci.

"Awak banyak ilmu dunia," tanyanya lagi.

Datuk gelengkan kepala.

"Kalau awak tak ada semuanya tu, bagaimana awak mahu melawan mahaguru aku," si baju hitam makin bingung.

"Aku mohon pertolongan pada Allah."

Si baju hitam yang kebingungan itu tiba-tiba senyum sinis. Dia geleng kepala beberapa kali, membayangkan rasa kurang yakinnya atas kemampuan datuk.

"Pak Aji, Pak Lebai, Pak Imam, Tuk Kadi, guru agama semuanya kalah, tak ada doa yang boleh melawan ketua saya," si baju hitam bersuara penuh rasa bangga.

Dia seolah-olah memperolehi kekuatan baru untuk menghadapi apa tindakan dari datuk.

"Saya tak mahu langgar sumpah, saya mahu hidup lama," tuturnya sambil mengepal-ngepal penumbuk.

"Hei, dengar sini, mahaguru kamu tu bukannya Allah yang boleh menentukan panjang pendek umur sesaorang," sahut datuk sambil sepasang matanya mengawasi gerak kaki si baju hitam.

"Saya tak mahu langgar sumpah," jerit si baju hitam dengan sekuat hati. Dia menunjukkan sikap aggresif.

"Saya tak rela," katanya lagi.

Nada suaranya tetap tinggi dan keras. Datuk terus membisu, tidak tahu apa yang harus dilakukan.

Datuk bagaikan terpukau dengan jeritan dan tindak-tanduk si baju hitam.

"Saya tak rela," dia mengulangi perkataan yang sama untuk kali yang ketiga.

Saya terkejut, bila melihat si baju hitam bagaikan mendapat kuasa tertentu hingga boleh melompat melebihi paras pucuk pokok yang terdapat di situ.

Dia kelihatan seperti terbang di udara dengan kedua belah tangannya terbuka, macam kepak burung helang. Suara jeritannya terus menguasai kawasan sekitar.

SIAP

Datuk menyuruh saya siap sedia. Pada hematnya, besar kemungkinan si baju hitam yang sedang naik darah itu akan bertindak melulu menyerang apa saja.

Saya segera berlindung dalam rumpunan pokok senduduk. Datuk tidak berubah tempat dan bersedia menanti serangan dari si baju hitam.

Setelah beberapa minit berada di udara, si baju hitam kembali memijak bumi. Reranting yang kena sentuhan kaki dan tangannya terus bergoyang dan dedaun pun berguguran.

Si baju hitam yang mendapat semangat baru lagi sekali mengatur langkah untuk melakukan serangan terhadap datuk.

Ia pun angkat kaki kanan dan menghala penumbuk lalu menerpa ke arah datuk.

Aneh, langkah dan serangan yang diatur terus terhenti. Kenapa si baju hitam tidak meneruskan tindakan selanjutnya?

Rupa-rupanya datuk membaca sepotong ayat dari al-Quran untuk melemahkan gerak anggotanya.

Saya lihat si baju hitam jadi lemah, tidak mampu angkat tangan dan kaki. Dia terus kaku di situ, macam patung, cuma kelopak matanya yang terkebil-kebil.

Dengan cepat datuk menerpa ke arahnya. Datuk pun meletakkan ibu jari kanan ke pangkal dagunya.

Perlahan-lahan datuk tekan ibu jari hingga menimbulkan bekas di pangkal dagu si baju hitam.

Setelah tiga kali berturut-turut datuk hembus muka si baju hitam, barulah saya lihat si baju hitam bertenaga kembali. Boleh menggerakkan tangan dan kaki.

"Sekarang aku tak mahu bertolak ansur dengan kamu lagi. Kalau tak beritahu, siapa ketua kamu, aku cekik kamu kemudian aku gantung di dahan pokok itu," datuk segera menuding jari telunjuknya ke arah pokok petai.

"Sekarang kamu pilih, kalau kamu tak beritahu, aku bunuh kamu. Kalau kamu langgar sumpah, kamu muntah darah. Seminggu lepas muntah darah kamu mati.

"Pilih salah satu, pada hemat aku kalau kamu langgar sumpah, kamu masih ada harapan untuk hidup," sambung datuk dengan wajah yang cukup serius.

Si baju hitam gigit bibir. Mungkin dia berada dalam dilema, tidak tahu yang mana satu harus dipilih.

Saya lebih suka apa yang datuk ajukan. Dengan itu, tidak ada akan berlaku perkara yang tidak disenangi.

Saya terus gelisah kerana matahari semakin condong, tempat yang ditujui masih belum sampai.

Halangan dan rintangan juga belum tamat, kalaulah saya tahu jadi begini jadinya memijak bumi jambi, tidaklah saya mahu mengikut datuk.

Jika ada sesiapa yang lalu di sini, pasti saya tahan. Saya minta orang itu membantu datuk tetapi, anehnya tak ada seorang pun yang lalu di jalan sepi ini.

Dalam kegelisahan itu, saya renung ke langit melihat awan petang yang bergerak lembut. Melihat beburung yang berterbangan.

Saya renung ke arah dedaun yang bergerak lembut disentuh bayu.

"Kamu kata, kalau langgar sumpah ada harapan untuk hidup," dengan nada suara yang lemah si baju hitam bertanya.

"Iya," datuk anggukan kepala.

Si baju hitam tunduk merenung bumi, kemudian perlahan-lahan dia angkat kepala hingga matanya bertemu dengan datuk.

"Cakap," sergah datuk.

Si baju hitam terkejut dan tergamam.

"Siapa suruh kamu jahanamkan aku," nada suara datuk kian keras.

Sepasang biji matanya dijegilkan, tidak berkelip merenung wajah si baju hitam.

Datuk membongkok lalu sepasang tangannya menepuk bumi tiga kali berturut-turut.

"Cakap, siapa suruh kamu datang ke sini. Cakap sebelum aku cekik kamu," kata datuk sambil menegakkan tubuhnya.

Sepasang tangan dengan sepuluh jari terkembang diarahkan ke batang leher si baju hitam.

"Cakap sekarang," datuk maju dua tapak lagi hingga hujung jari jemarinya menyentuh kulit leher si baju hitam yang kelihatan cemas , tidak tahu apa yang harus dilakukannya.

"Siap suruh kamu, cakap!" datuk terus bersuara.

"Bomoh perempuan," katanya terketar-ketar.

"Bomoh perempuan," ulang datuk.

"Iya," balasnya gagap.

"Siapa namanya," desak datuk.

"Nama sebenarnya Halijah tapi orang panggil dia bomoh Minah Supandi."

"Halijah Supandi," kata datuk.

"Iya, iya," balas si baju hitam dengan terketar-ketar.

Tangan yang dihalakan ke batang leher si baju hitam segera di jatuhkan oleh datuk, kembali dalam keadaan asal.

Datuk cekak pingang sambil mengedutkan dahi, ada sesuatu yang datuk fikirkan. Datuk senyum panjang.

"Sekarang kamu boleh pergi dan jangan ganggu aku," datuk segera memusingkan badannya membelakangi si pendekar muda untuk meneruskan perjalanan.

Saya segera keluar dari tempat persembunyian.

"Aduh!"

Datuk segera menoleh kebelakang, dilihatnya si baju hitam tersembam ke bumi. Mukanya berlumuran darah.

Sebelum datuk menghampirinya, datuk suruh saya keluarkan golok perak dari dalam beg.

Dengan golok itu datuk tetak pucuk palas yang belum kembang. Pucuk palas itu datuk buka satu demi satu.

Darah yang berlumuran di muka si baju hitam datuk hilangkan dengan pucuk palas. Datuk dudukkan si baju hitam.

HITAM

Saya lihat muka si baju hitam jadi hitam, di mula bernafas tercungap-cungap macam ikan kekurangan air. Mula batuk tersangkut-sangkut tetapi tidak mengeluarkan darah.

Dalam usaha mengurangkan beban yang ditanggung oleh si baju hitam itu, datuk suruh saya korek tanah untuk mengambil akar pokok petai, memetik daun keladi besar atau keladi gergasi untuk di jadikan bekas air.

"Kamu ambil air di tepi parit kecil, taruhkan akar petai, daun serunai laut, dan pucuk tapak kuda campurkan semua dengan air di dalam daun keladi," kata datuk.

Perintahnya saya ikuti dan secara kebetulan dari tempat saya duduk itu terdapat parit kecil yang airnya mengalir perlahan-lahan menuju ke sungai Batanghari.

Ini memudahkan kerja saya. Semua barang-barang itu saya serahkan pada datuk.

Tanpa membuang masa barang-barang yang sudah bersatu dengan air, datuk curahkan ke dada si baju hitam.

Saya lihat si baju hitam meronta-ronta dan akhirnya terkapar atas tanah macam ayam kena sembelih. Bunyi nafasnya macam bunyi nafas kerbau.

"Biarkan dia di situ, sekejap lagi hitam dimukanya hilang dan dia pulih macam sediakala," ujar datuk penuh yakin.

Saya anggukkan kepala. Bibir datuk saya lihat bergerak-gerak, entah apa yang dibacanya saya sendiri tidak pasti.

Lima minit sudah berlalu, si baju hitam masih terkapar dibumi. Saya jadi resah dan mula rasa bosan.

Saya tersenyum, bila saya lihat sepasang tangan si baju hitam mula bergerak-gerak, mencakar-cakar buli dan menarik apa saja didepannya.

Datuk buat tidak tahu dengan perubahan ang berlaku terhadap diri si baju hitam.

Datuk masih macam tadi, tetap menggerak-gerakkan sepasang bibirnya, saya kira dia membaca ayat-ayat al-Quran.

Si baju hitam dengan saja terus duduk bersila. Benarlah seperti apa yang datuk katakan warna hitam di wajahnya sudah hilang.

Dia tidak batuk lagi, nafasnya kembali lancar dan normal. Wajahnya nampak berseri dan si baju hitam pun segera bergerak ke arah datuk.

"Apakah aku selamat dari sumpah?" tanyanya.

"Dengan izin Allah, kamu tidak apa-apa."

"Tapi..."

"Tak ada tapinya, Allah berkuasa atas segala-galanya," datuk segera menerpa ke arah baju hitam.

Disuruhnya si baju hitam itu bangun. Mereka bersalaman dan berpeluk-pelukan.

"Awak lindungilah aku," rayu si pendekar.

"Bukan pada aku minta perlindungan. Mintalah pada Allah. Dia Maha Mengetahui," datuk terus menepuk-nepuk belakang si baju hitam.

Di tengah-tengah suasana kemesraan dan keakraban itu, saya dikejut dengan tangis si baju hitam.

Dia kian erat memeluk tubuh datuk, bagaikan tidak mahu di lepaskannya. Datuk terus menepuk-nepuk belakangnya hingga tangisannya berhenti dengan sendiri.

"Begini saja, kamu ikut aku. Bila sampai di rumah keluarga aku nanti, kita boleh bercerita panjang," begitu cara datuk mengatasi masalah yang sedang dihadapinya.

"Di rumah nanti banyak perkara yang mahu aku tanyakan kepada kamu terutama asal-usul kamu. Sebab-sebab ketua kamu mahu membunuh aku.

"Di sini bukan tempatnya untuk membunuh aku," sambung datuk lagi.

Mana mungkin si baju hitam mahu memenuhi pelawaan datuk. Kalau permintaan itu dipenuhinya bererti si baju hitam mendedahkan dirinya dalam jurang bahaya. Demikian saya membuat kesimpulan.

"Saya setuju ikut awak."

Kata-kata yang diluahkan oleh si baju hitam membuat sepasang biji mata saya terbeliak. Kesimpulan yang saya buat memang tidak tepat. Sungguh mengejutkan.

Kesediaan si baju hitam menerima pelawaan datuk menggambarkan yang dirinya mahu keluar dari dunia lama menuju ke dunia baru yang lebih luas dan terbuka.

Barangkali Allah sudah memberikan dia cahaya keinsafan dan kebenaran, fikir saya sendirian.

"Kalau sudi marilah," ajak datuk.

Si baju hitam pun anggukkan kepala dan melangkah seiring dengan langkah datuk. Saya cuma mengekori mereka dari belakang.

PERAMAH

Si baju hitam rupanya seorang yang peramah, sambil berjalan dia bercerita kepada datuk tentang pengalaman masa kecilnya yang bersuka berlari di celah-celah pokok besar, melastik burung dan mandi di sungai.

"Sepanjang jalan ni memang tempat saya dan kawan-kawan berjalan-jalan dan kadang-kadang mencuri buah jambu orang," katanya.

"Sekarang kamu tak buat kerja macam tu lagi," tingkah datuk.

"Iya tapi..." si baju hitam tidak meneruskan percakapan.

"Tapi apa?" desak datuk tanpa memberhentikan langkah kaki.

Si baju hitam tunduk merenung permukaan bumi dipijaknya.

Kerana tidak menjawab pertanyaan datuk dengan segera menimbulkan keraguan dan kesangsian dalam hati saya.

Rasa mahu saya menyoal si baju hitam tetapi, kerana memikirkan perbuatan itu tidak disukai oleh datuk terpaksalah saya diamkan dalam hati.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 152/284

BACA: SBDJ Siri 151: Misteri Kain Hitam
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Loading...

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "SBDJ Siri 152: Ketuanya Bomoh Wanita"

Posting Komentar