Loading...

Jabatan Penjara siap sedia 'pulih' pelajar bermasalah disiplin

Loading...
ZULKIFLI OMAR (dua dari kiri) dan Ku Nawawi Ku Abdul Hamid beramah mesra
dengan penerima-penerima anugerah (dari kiri) Nur Syameza Saharin,
Nurul Aini Mohd. Kamal, Nurul Najiha Kamaruzaman serta
Ziyan Farah Nuraini Zainodin di Taiping, semalam.
UTUSAN/ZULKARNAIN MOHD. SAIDIN
TAIPING 27 Ogos – Jabatan Penjara menyambut baik langkah Kementerian Pendidikan menghantar pelajar yang mempunyai masalah disiplin serius menjalani program pemulihan di penjara dan lokap tidak lama lagi.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Zulkifli Omar berkata, langkah tersebut mampu memberi ke­sedaran kepada pelajar terlibat selain mencegah mereka daripada mengulangi kesalahan sama serta terlibat dengan jenayah lain.

Tambah Zulkifli, pihaknya juga telah bersedia dengan modul yang sesuai untuk digunakan kepada pelajar yang terlibat dengan program berkenaan nanti.

“Dari dulu, kita memang ada program sebegini dinamakan 'Mesej Dari Penjara' dengan sekolah-sekolah dan universiti. Kita bawa pesalah yang telah berubah untuk berkongsi pengalaman mereka supaya tidak terjebak selain penerangan daripada kakitangan penjara sendiri.

“Ini untuk timbulkan kesedaran selain sebagai pemulihan kepada pelajar bermasalah. Kita juga ada modul bercorak pendidikan kaunseling yang kita ambil dari United Kingdom. Itu boleh digunakan bagi meningkatkan kesedaran dan ketahanan mental dalam diri pelajar.

“Insya-Allah, kami telah sedia untuk membantu usaha ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis Perbarisan Tamat Latihan 130 Siswa Siswi Koreksional (Siskor) Jabatan Penjara di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Bahagian Pembangunan Profesionalisme Ibu Pejabat Penjara, Ku Nawawi Ku Abdul Hamid dan Pengarah Penjara negeri, Tan Tien Heng.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid pada 19 Ogos lalu berkata, mana-mana pelajar yang mempunyai masalah disi­plin serius akan dihantar menjalani program pemulihan di penjara dan lokap tidak lama lagi bagi memerangi gejala sosial di sekolah.

Tambah Mahdzir, pihaknya sedang merangka program itu dan akan siap tidak lama lagi sebelum diperkenalkan secara rasmi.

Sementara itu Zulkifli berkata, pihaknya bercadang memperluaskan lagi program Siskor ke semua universiti di seluruh negara.

Menurut beliau, ketika ini hanya empat buah universiti iaitu Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Tun Hussein Onn dan Universiti Malaysia Perlis menyertai Siskor sejak ditubuhkan pada 2013.

“Alhamdulillah, sejak Siskor ditubuhkan empat tahun lalu, seramai 600 pelatih telah menyertai kursus ini dan pada hari ini, buat julung kalinya 130 orang telah tamat latihan dan seterusnya akan menerima sijil pelantikan sebagai Inspektor Penjara Siskor,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia


Loading...

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "Jabatan Penjara siap sedia 'pulih' pelajar bermasalah disiplin"

Posting Komentar