Loading...

PKR BERPECAH DUA KUMPULAN

Loading...

Akar umbi keliru isu kerjasama PKR, Pas: Rafizi

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli - Foto Sinar Harian
(Ubah saiz teks) 
 
SHAH ALAM - Satu kongres khas kebangsaan disyorkan supaya diadakan bagi menyelesaikan persoalan mengenai bentuk kerjasama antara PKR dengan Pas.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, sudah tiba masanya ia diputuskan secara keseluruhan mengikut perlembagaan parti supaya jalan buntu itu diselesaikan mengikut kaedah terbaik iaitu demokrasi.

Menurutnya, ia perlu melibatkan pengundian perwakilan cabang PKR seluruh negara seperti diperuntukkan perlembagaan parti.

“Setelah undian dibuat dan kedua-dua pihak ada peluang adil untuk membentangkan hujah masing-masing.

"Saya yakin apa pun keputusannya, keseluruhan ahli PKR dari atas hingga bawah bertanggungjawab memikul apa-apa kesan daripada keputusan itu tanpa boleh menuding jari kepada satu pihak lagi.

“Hanya dengan keputusan dimuktamadkan mengikut kaedah kongres khas ini, barulah kita boleh berlaku adil kepada rakyat Malaysia, rakan Pakatan Harapan dan diri kita sendiri,” katanya.

Rafizi berkata, perbezaan pendapat itu berlanjutan terlalu lama dan ahli PKR serta rakyat keseluruhannya tidak boleh terheret ke dalam kancah tersebut.

Katanya, isu itu juga membahagikan PKR kepada dua kumpulan sejak kebelakangan ini, sehinggakan mengelirukan akar umbi untuk meneka pandangan setiap pemimpin pusat.

“Oleh kerana ada kalangan pemimpin pusat yang turut memegang jawatan kanan di peringkat Pakatan Harapan, perbezaan pendapat ini ada kesan kepada persediaan PRU14.

"Dua kumpulan dalam parti ialah mereka yang bersetuju dengan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk terus berunding dengan Pas, dan satu pihak yang tidak bersetuju dan mahukan komitmen penuh kepada Pakatan Harapan.

“Pembahagian pimpinan mengikut pendapat masing-masing sebegini berlaku dari peringkat Biro Politik ke Majlis Pimpinan Pusat (MPP) ke peringkat akar umbi,” katanya.

Menurutnya, kepimpinan kanan PKR di kedua-dua peringkat itu memang berbeza pendapat mengenai perkara itu sejak sebelum Pakatan Harapan ditubuhkan.

“Malah semasa Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan penubuhan Pakatan Harapan dan saya mengaturkan langkah-langkah sebelum dan selepas itu, kumpulan yang tidak bersetuju dengan penubuhan Pakatan Harapan telah mengumpul satu petisyen untuk memecat saya daripada jawatan Setiausaha Agung ketika itu,” katanya.

Hakikatnya, dakwa Rafizi, perbezaan pendapat itu berlarutan sejak pertengahan 2015 hingga sekarang di antara dua pemikiran berbeza di dalam PKR.

“Di satu pihak berasakan keutamaan parti tertinggi ialah mengekalkan tampuk pemerintahan di Selangor.

“Oleh itu, sebarang keputusan politik PKR mestilah mengambil kira terlebih dahulu kesannya kepada penguasaan PKR sebagai tonggak Kerajaan Selangor.

“Hasil pendapat ini mudah, PKR tidak sepatutnya mengambil langkah yang ada risiko kerana sebarang risiko boleh menyebabkan ketidaktentuan kepada Kerajaan Selangor.

"Maka, pihak ini sangat menolak sebarang perbincangan yang boleh menyebabkan berlakunya pertembungan tiga penjuru dalam pilihan raya," katanya.

Mengambil kira perkara itu, Rafizi berkata, beliau bimbang ia terus berlanjutan dalam bulan-bulan terakhir sebelum PRU14.

Menurutnya, isu itu mengheret sama Pakatan Harapan dalam keadaan secara rasionalnya, sebarang rundingan antara PKR -Pas yang tidak melibatkan Pakatan Harapan adalah satu usaha yang mustahil membuahkan hasil.

“Saya menyebut begitu kerana PKR tidak boleh merundingkan bagi pihak Amanah dan Bersatu dalam keadaan sebahagian besar tuntutan Pas itu melibatkan Amanah, Bersatu dan juga DAP.

“Pas berkehendakkan supaya kerusinya di Selangor dan seluruh negara tidak disentuh. Ini bermakna Amanah dan Bersatu tiada kerusi untuk bertanding.

“Saya tidak yakin PKR dan DAP akan menyerahkan kerusi kepada Amanah dan Bersatu semata-mata untuk memenuhi tuntutan Pas,” katanya.

Oleh itu katanya, dalam keadaan rundingan itu mustahil membuahkan apa-apa kerana PKR tiada kuasa dan mandat memaksa persetujuannya ke atas Pakatan Harapan, rundingan pada saat ini hanya akan melengah-lengahkan rundingan kerusi di peringkat Pakatan Harapan yang sedang berjalan.

“Dengan kenyataan demi kenyataan Pas yang bukan sahaja menolak pelawaan kumpulan daripada PKR yang mahu berkawan, tetapi menghina PKR dari semasa ke semasa, strategi terus melayan karenah Pas dan menyakitkan hati rakan daripada Pakatan Harapan hanya akan menyebabkan kekalahan seberapa ramai calon PKR termasuklah dalam kalangan mereka yang tidak bersetuju dengan pendekatan itu,” katanya.

Ini kerana kata Rafizi, dalam proses cuba memujuk Pas, PKR akan dilihat tidak berprinsip dan mementingkan diri.

“Apabila rundingan gagal akhirnya, PKR bukan sahaja tidak mendapat undi penyokong Pas, malah hilang undi bukan Melayu dan pengundi tegar Pakatan Harapan yang marah dengan tindakan membelakangkan Pakatan Harapan itu,” katanya.
Loading...

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "PKR BERPECAH DUA KUMPULAN"

Posting Komentar