SEPANG - Sembilan lelaki warga Australia yang memakai seluar renang dengan gambar bendera Malaysia dibebaskan tanpa sabitan oleh Mahkamah Sesyen Sepang selepas kesemua mereka mengaku salah melakukan kesalahan itu minggu lepas.

Hakim Harith Sham Mohamed Yasin membuat keputusan itu terhadap kesemua mereka yang berusia antara 25 hingga 29 tahun itu selepas  membenarkan permohonan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengikut Seksyen 173A(2)(a) Kanun Acara Jenayah.

Mereka adalah James Daniel Paver, 27; Adam Patrick Pasfield, 26; Nicholas William Daymond Kelly, 27; Thomas Craig Laslett, 26; Edward Timothy Leany, 25; Timothy William Fiaschi Yates, 29; Thomas James Witworh, 28; Jack Robert Walker, 26; dan Brendan Stobs, 26.

Mengikut pertuduhan mereka didakwa bersama-sama dengan hanya memakai seluar renang  gambar bendera Malaysia yang menyebabkan keguasaran orang ramai yang berada di Litar Antarabangsa Sepang yang merupakan tempat awam di Litar Antarabangsa Sepang jam 5 petang 2 Oktober lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM400 jika sabit kesalahan.

Kumpulan itu meraikan kemenangan yang diraih pelumba Australia, Daniel Ricciardo yang merangkul kemenangan F1 pertamanya musim ini sambil meniru tradisi yang dilakukan oleh pelumba minum daripada kasut mereka. - SH