Loading...
Kenaikan mendadak harga minyak masak menjadikan suri rumah dan peniaga kecil wanita begitu tertekan dan amat berharap keputusan dikaji semula.
Timbalan Ketua Sayap Wanita Amanah Kelantan Norashidah Jaafar berkata seluruh kumpulan wanita perlu menyatakan bantahan terhadap keputusan kerajaan ini dan perlu mendesak harga bahan utama masakan itu diturunkan segera.
"Minyak masak adalah keperluan yang amat sensitif kepada kaum wanita lebih-lebih lagi kepada yang berniaga makanan secara kecil-kecilan.
"Kepada mereka yang menjual goreng pisang dan kuih- muih yang kebanyakannya menggunakan minyak pastinya amat terasa dengan kenaikan ini," katanya ketika ditemui di pejabatnya petang tadi.
Kenaikan harga minyak ini katanya sudah pasti akan menyebabkan harga makanan yang dijual akan terpaksa dinaikkan.
"Kedua-dua pihak pembeli dan penjual akan menerima kesan dari kenaikan ini.
"Bagi penjual pula tentu akan kehilangan pembeli apabila ada yang tidak mampu menanggung kenaikan harga," katanya.
Bagi kebanyakan pembeli yang tiada pilihan katanya, beban kewangan akan bertambah akibat kenaikan harga yang semakin sukar dikawal.
Beliau berharap NGO-NGO wanita dan kumpulan-kumpulan pengguna lain segera bangkit bersama mendesak kerajaan mengambil tindakan membantu rakyat khususnya golongan wanita.
Angkatan Wanita Amanah (Awan) Kelantan katanya bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mahu berusaha mendesak kerajaan bertindak menurunkan harga bahan asas itu.
Loading...
0 Response to "Kerajaan didesak turunkan harga minyak masak"
Posting Komentar