Loading...
TAWAU, 8 Safar 1438H, Selasa – Pasaraya Giant Sdn Bhd di Tawau, Sabah menerima kecaman ramai apabila didapati menjual alas kaki bercorakkan logo rasmi PAS.
Alas kaki berukuran 40cm x 60cm itu mempunyai warna hijau sebagai latar belakangnya dan bentuk bulat putih di bahagian tengah persis logo pada bendera PAS.
Para netizen yang berang dengan kejadian itu mewujudkan kempen #BOIKOTGIANT kerana tidak senang dengan apa yang berlaku dan menganggapnya sebagai satu bentuk penghinaan yang tidak boleh diterima.
Mengulas insiden itu, Naib Presiden PAS, Idris Ahmad dalam catatan di laman Facebooknya berkata, bentuk penghinaan seperti demikian tidak akan pernah melunturkan semangat ahli parti Islam tersebut.
“Marah dekat PAS sampai ada kilang yang keluar alas kaki lambang PAS. Ada pula kedai yang jual.
“Cuma kena ingat ahli PAS ada hampir sejuta ahli. Yang tegar dengan semangat dibina atas akidah.
“Hendak musnah PAS bukan dengan cara ini. Lagi semangat ahli PAS apabila orang buat macam ini,” katanya.
Susulan itu, syarikat pengeluar alas kaki berkenaan, Pinvi Sdn Bhd telah memohon maaf atas kesilapan mengeluarkan alas kaki tersebut.
Katanya, selama berpuluh-puluh tahun mengeluarkan karpet, ini adalah kali pertama pihak mereka menjumpai reka bentuk sedemikian.
“Kami bukan secara sengaja mengimport reka bentuk ini yang dihasilkan oleh kilang di Mesir. Kami tidak pernah telihat reka bentuk ini selama dua puluh tahun kami mengedarkan produk karpet dari sana.
“Kami memohon maaf jika ia telah menyentuh sensitiviti sesiapa pun dan kami dengan rendah diri memohon maaf atas kesilapan dari pihak kami dan kami juga memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia terutamanya ahli-ahli PAS kerana terlepas pandang perkara ini,” katanya dalam catitan surat kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, semalam.
Sementara itu, menurut Harian Metro, GCH Retail (M) Sdn Bhd yang merupakan pengendali Giant sudah mengambil langkah susulan dengan melakukan pemeriksaan di semua 128 cawangan seluruh negara bagi memastikan tiada alas kaki berkenaan dijual kepada orang ramai.
Pengarah Hal Ehwal Komunikasi GCH Retail (M) Sdn Bhd Roseta Mohd Jaafar berkata, siasatan lanjut terhadap semua premis berkenaan mendapati hanya terdapat dua alas kaki bercorak demikian iaitu hijau dan putih serta hitam dan putih masing-masing di Tawau, Sabah dan Kuching, Sarawak.
Beliau berkata, tindakan segera sudah dilakukan dengan menarik balik alas kaki berkenaan termasuk melakukan siasatan terperinci bagi mengenalpasti bagaimana produk berkenaan boleh terlepas pandang hingga dijual kepada orang ramai.
“Kami akui perkara ini terlepas pandang kerana pada peringkat awal hanya ada 12 corak dipilih oleh wakil syarikat kami namun alas kaki berwarna hijau dan mempunyai bulatan putih di tengahnya tiada dalam senarai.
“Tindakan susulan sudah diambil termasuk memohon maaf kepada pihak berkaitan dan berjanji perkara berkenaan tidak akan berulang pada masa akan datang,” katanya. - ismaweb
Loading...
0 Response to "Orang ramai berang Giant jual ALAS KAKI berlogo PAS"
Posting Komentar