Loading...
Produk alas kaki ada ayat al-Quran disiasat
KUALA TERENGGANU - Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) membuka kertas siasatan bagi mengenal pasti pihak bertanggungjawab mengeluarkan produk alas kaki mengandungi ayat-ayat suci al-Quran seperti mana yang menjadi viral di laman media sosial sejak kelmarin.
Pesuruhjaya JHEAT, Datuk Wan Mohd Wan Ibrahim berkata, pihaknya ada menerima aduan daripada seorang pembeli alas kaki di sebuah pasar raya di Dungun yang mengadu terdapat ayat-ayat al-Quran di dalam alas kaki berharga RM2 itu.
“Semalam (kelmarin), pembeli itu datang ke Pejabat Agama Dungun untuk mendapatkan kesahihan berhubung penemuan ayat suci al-Quran di dalam alas kaki yang baru dibelinya disebuah pasar raya di Dungun.
“Pihak kami telah menjalankan siasatan dan mendapati kertas bercetak yang mengandungi ayat suci ini dipercayai digunakan pihak tidak bertanggungjawab untuk dijadikan sebagai salah satu cara menampakkan alas kaki itu lebih tebal berbanding alas kaki lain,” katanya kepada pemberita, ketika ditemui di pejabatnya.
Wan Mohd berkata, operasi bersepadu bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) diadakan bermula semalam, di pasar raya dan kedai yang dikenal pasti menjual alas kaki terbabit.
Jelasnya, JHEAT akan mengambil tindakan berdasarkan peruntukkan undang-undang mengikut Seksyen 9 (Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Tazkir Terengganu 2001) kepada pengeluar produk berkenaan.
“Bagi kesalahan itu, individu didapati bersalah mempersendakan ayat al-Quran atau hadis boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya.
“Bagaimanapun, sekiranya pengeluar produk itu berada di negeri lain, pihak kami akan memanjangkan perkara ini kepada pihak berkuasa agama di negeri berkenaan,” katanya.
Dalam masa sama, Wan Mohd turut menasihatkan kepada orang ramai yang telah membeli alas kaki yang mengandungi ayat al-Quran supaya menyerahkan dengan kadar segera kepada Bahagian Penyelidikan JHEAT untuk dilupuskan.
“Ini kerana alas kaki yang mengandungi ayat suci ini tidak boleh digunakan demi menjaga kehormatan dan kesucian al-Quran.
“Dalam kes ini, saya amat kesal dengan pihak pengeluar produk ini kerana tidak menjaga sensitiviti umat Islam di negara ini dan saya berharap mereka yang terlibat akan dikenakan tindakan undang-undang yang sewajarnya,” katanya.
Loading...
0 Response to "CARI SAMPAI DAPAT, BURU SAMPAI LUBANG CACING"
Posting Komentar