Loading...
SHAH ALAM: Bekas senator, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor mengesahkan keluar dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), selepas kurang daripada tiga bulan menyertai parti tersebut.
"Ya, betul," katanya dipetik Malaysiakini.
Terdahulu, portal Free Malaysia Today yang memetik sumber melaporkan, Ezam memaklumkan perkara itu kepada setiausaha agung PPBM dalam suratnya.
Menurut sumber portal itu, Ezam mengambil tindakan berkenaan kerana kecewa dengan haluan parti yang baru-baru ini menyaksikan Anina Saadudin, diturunkan daripada jawatan ketua sayap wanitanya, Srikandi.
Namun Ezam menafikan sebeb pengundurannya ada kaitan dengan masalah dalaman parti. Beliau sebaliknya berkata mahu menumpukan perhatian kepada NGO antirasuah Hisbah yang dipengerusikannya.
Katanya, mesyuarat tahunan lembaga pengarah Hisbah juga memintanya menjadi tidak partisan dalam menumpukan perhatian kepada kemelut 1MDB dan dakwaan berkaitan Felda.
“Atas sebab itu saya secara rasmi hantar surat undur diri dari PPBM kepada setiausaha agung.
“Tidak ada sama sekali soal masalah dalaman parti. Saya tidak pernah terlibat dalam pimpinan parti sama sekali dan saya tidak mahu dilibatkan,” katanya.
Untuk misi antirasuah melalui Hisbah itu, kata Ezam lagi, beliau akan bekerjasama dengan semua pihak, termasuk PPBM.
Ezam berkata telah menghantar surat pengundurannya seminggu lalu.
Bagaimanapun, beberapa pemimpin PPBM yang dihubungi Antarapos petang ini berkata mereka tidak tahu menahu berkaitan perkembangan itu.
Setiausaha Agung PPBM, Datuk Shahruddin Md Salleh ketika ditanya perkara itu hanya menjawab 'Maaf, tiada maklumat'.
Ini adalah kali ke-2 PPBM berdepan dengan 'pengunduran' ahli selepas kali pertama oleh Datuk Khairuddin Abu Hassan pada 27 Oktober lalu.
Untuk rekod, Ezam menyertai PPBM pada 13 Oktober lalu, selepas mengumumkan keluar Umno pada 2 Oktober.
Loading...
0 Response to "Ezam sah keluar PPBM"
Posting Komentar