Loading...
SHAH ALAM : PAS mengalu-alukan perkembangan positif proses gencatan senjata yang dipersetujui di kalangan pihak yang bertempur di Syria.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pihaknya melihat keadaan yang tegang dan berdarah di bumi Syria sememangnya perlu dihentikan segera.
“Kesejahteraan rakyat awam perlu dikembalikan segera, dan pada masa yang sama sebarang cubaan provokasi jahat untuk menggagalkan gencatan ini mestilah dihalang dari berlaku terutamanya pada masa yang sangat kritikal ini.
“Formula ini adalah antara syarat awal dalam memastikan gencatan ini dapat dipertahankan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurutnya lagi, umat Islam juga mestilah cermat memahami bahawa apa yang berlaku adalah campurtangan strategik kuasa besar dunia untuk mewujudkan ketidakstabilan di bumi Syria sebagai tindakan menjaga kepentingan keselamatan Israel di rantau itu.
“Maklumat risikan rekacipta dan propaganda media negara kuasa besar ini diangkat sebagai fakta yang dikelirukan terhadap umat Islam.
“Negara-negara Arab dipergunakan sebagai proksi dengan cagaran mempertahankan takhta kerajaan masing-masing sebagai umpannya dan seterusnya ditiupkan adu domba api peperangan Sunni-Syiah.
"Percaturan kompleks geo-politik sebegini memerlukan kefahaman di kalangan umat Islam supaya tidak dikelirukan oleh agenda zionis dan kepentingan mereka,” katanya lagi.
Tambah Abdul Hadi, apabila keadaan keselamatan lebih terpelihara, maka baharulah isu berkaitan dengan kezaliman dan pembunuhan semasa tragedi berdarah ini berlaku dapat disiasat seterusnya diambil langkah sewajarnya.
Turki dan Rusia bersetuju dengan gencatan senjata untuk seluruh wilayah yang dilanda konflik bermula 28 Disember lalu.
Loading...
0 Response to "PAS sambut baik gencatan senjata di Syria"
Posting Komentar