Loading...
Tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengharamkan kemasukan rakyat dari tujuh negara majoriti Muslim dan pelarian ke negara itu telah mengundang bantahan Indonesia.
Negara yang memiliki penduduk Islam terbesar di dunia itu menyifatkan keputusan Presiden AS ke-45 itu sebagai “pemeriksaan ekstrem”.
Walaupun tidak termasuk daripada senarai terbabit, Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi berkata, negaranya kesal dengan arahan Trump pada 27 Januari lalu iaitu seminggu selepas beliau mengambil alih jawatan Presiden.
Trump pada Jumaat lalu, menggantung program kemasukan pelarian ke AS selama empat bulan serta menyekat kemasukan pelawat dari Syria dan enam negara majoriti Islam lain buat sementara iaitu Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan dan Yaman.
Menurut Trump, perintah yang berkuatkuasa serta-merta itu bagi memastikan pengganas tidak berada di negaranya sekaligus melindungi rakyat AS daripada serangan pengganas.
Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Zeid Ra’ad al Hussein melalui laman sosial Twitternya menganggap langkah Trump tersebut sebagai 'haram' serta membawa kemudaratan dan kesakitan kepada mereka terbabit.
Beliau dilapor berkata, sekatan 90 hari yang dikeluarkan Trump tidak menggunakan sumber yang betul dalam langkah memerangi jenayah keganasan bahkan diskriminasi atas kewarganegaraan semata-mata adalah dilarang sama sekali di bawah undang-undang hak asasi manusia.
Ekoran kemarahan larangan perjalanannya ke atas tujuh negara Islam itu juga hampir sejuta rakyat Britain menandatangani petisyen mendesak kerajaan supaya membatalkan kunjungan rasmi Trump ke negara itu termasuk mengadakan pertemuan dengan Ratu Elizabeth pada tahun ini.
Walau bagaimanapun, semakan Malaysia Dateline setakat pagi ini mendapati kerajaan Malaysia sama ada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahupun Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman belum lagi mengeluarkan sebarang kenyataan bantahan rasmi berhubung arahan Trump itu.
Dalam perkembangan berkaitan, DAP melalui kempen #NoMuslimBan akan menyerahkan memorandum bantahan kepada Kedutaan AS di Jalan Tun Razak di ibu negara pada Jumaat (3 Februari) ini selepas solat Jumaat.
Loading...
0 Response to "Indonesia bantah AS, Najib masih diam?"
Posting Komentar