Loading...
Baru-baru ini kita digemparkan apabila sesi minggu suai kenal di beberapa universiti awam telah dijadikan medan sogokan pihak universiti dengan ancaman, amaran dan indoktrinisasi terhadap para mahasiswa baru.
Ini melengkapkan lagi beberapa penghukuman universiti awam ke atas aktivis mahasiswa yang kononnya mencemarkan nama universiti. Jelaslah, kokongan hak bersuara kepada mahasiswa yang semakin meluas di negara ini.
Cerita ini bukan baharu. Seakan skrip drama yang diulang tayang oleh pihak pentadbir universiti. Sangsi melihatkan suasana ini seakan wujudnya tangan ghaib yang terlibat melakar skrip lakonan di sebalik adegan ini. Sketsa ini berterusan namun hanya segelintir mahasiswa yang peduli. Sebahagian besar umpama tidak kisah bahkan mungkin tidak tahu akan perihal ini.
Mahasiswa dan Budaya Takut
Ini mengingatkan kami kepada istilah “budaya takut” (culture of fear), yang semakin hangat dibangkitkan oleh para pemikir kini. Budaya takut diartikan sebagai “ The belief of humanity confronted by desstructive forces that threateten our everyday existance” (Frank Furedi, Culture of Fear).
Menurut Furedi, golongan yang positif serta yakin dengan nilai kemanusiaan akan mendukung hak bersuara sebaliknya golongan yang takut akan kemanusiaan akan menekan menggunakan pendekatan budaya takut.
Tafsiran ini ditegaskan lagi oleh hujah Dato Dr Siddiq Fadzil sebagai “the concept that people may incite fear in the general public to archive political goals through emotional bias”.
Dalam konteks universiti, budaya takut boleh diungkapkan sebagai projek orang politik untuk mendapatkan dokongan dengan cara menakutkan-nakutkan mahasiswa bertujuan untuk mengecilkan kemampuan dan keunggulan sebenar mahasiswa sebagai generasi terdidik yang punyai keupayaan dalam mencorak perubahan negara.
Tidak menghairankan para penagih undi menekan mahasiswa. Orang politik melihat mahasiswa sebagai kelompok yang harus dikawal menatijahkan kepada keperluan untuk memperhebat usaha membenih budaya takut. Orang politik tidak kira kerajaan mahupun pembangkang berhujah pengawalan terhadap mahasiswa perlu agar mereka tidak melawan kerajaan.
Soalnya, mengapa kerajaan harus takut mahasiswa menentang mereka sekiranya apa yang dibuat itu betul? Harus ditanya mengapa kami berkonfranstasi dengan kerajaan bukan terus dihukum sebegini rupa.
Mahasiswa bukan penjenayah untuk dihukum tetapi seorang pewaris tanah bangsa yang harus diperbetul tatkala salah dan dididik sebagai antara “rakan kepemimpinan dalam pembangunan negara” (Saifuddin Abdullah,2009).
Jiwa peduli mahasiswa, golongan yang kononnya dibekalkan kapasiti intelektual tinggi, dilatih untuk berfikiran kritis dan berani menyuarakan pandangan serta sepatutnya prihatin tentang permasalahan semasa dalam soal krisis akautabiliti, ketirisan pengurusan dan salah guna kuasa seakan ghaib, hilang dan lenyap dibenamkan doktrinisasi sindrom “culture of fear”.
Ketakutan yang menghantui mahasiswa ini boleh diungkapkan sebagai penindasan intelek yang kian membarah. Pembangunan iklim keilmuan di menara gading hanya akan mekar apabila mahasiswa diberi ruang secukupnya untuk berwacana, bersuara, berfikir, serta berkarya.
Penghakupayaan mahasiswa (student empowerment) akan dijelmakan apabila membuka ruang lingkup diskusi yang subur tanpa sekatan yang mencengkam di universiti di samping pembebasan dan pembersihan universiti daripada unsur kepartian yang berkepentingan.
Menjadi mahasiswa bukan bermakna tertumpu dalam aspek kecemerlangan akademik semata namun harus diluaskan dalam kerangka pemahaman yang lebih mendalam dan lebar dalam pembangunan potensi insani yang dimiliki.
Mahasiswa bukan robot yang diprogramkan untuk menghafal nota-nota dan dimuntahkan semasa peperiksaan sahaja dan universiti bukan sekadar kilang memproses tenaga kerja seterusnya keluar bergraduasi bagi memenuhi keperluan industri.
Tetapi, mahasiswa sebenar ialah manusia yang punyai keunggulan dan kemuliaan insan (karamah insaniah) bertunjang keutuhan idelisme, keteguhan intelektulisme, hebat aktivismenya serta kukuh spiritulismenya.
Mahasiswa harus berani membebaskan diri dan jiwa mereka daripada belenggu budaya takut. Ikhtiar ini haruslah digerakkan dalam kerangka konsultatif bukannya bersifat konfrontatif.
Tidak dinafikan, segelintir kelompok mahasiswa punyai kesedaran dan keberanian bagi menegakkan hak yang diragut itu. Meminjam istilah Ali Syariati “Englightment Soul”, golongan ini harus memainkan peranan sebagai watak pencerah, memberi pencerahan serta penjelasan kepada apa yang berlaku di sekitar mereka.
Golongan ini harus mampu membentuk kekuatan dengan penuh keberanian menyedarkan mahasiswa untuk tidak sekadar terkongkong dalam wabak “3K” (Kuliah,Kafe,Katil), namun mereka punyai potensi dalam berpartisipasi menjayakan agenda bakti, khidmat dan advokasi.
Kami yakin dan percaya kerangka baru ini akan dapat digerakkan dengan perubahan cara fikir (Islah At-Tafkir) sebagai teras utama dalam merubah budaya seperti diungkap oleh Ibnu Ashur dalam karya beliau, Usul al-Nizam al-Ijtima’i fi Islam. Cara fikir mahasiswa hanya akan berubah dengan pembacaan yang mapan, sebagai asas utama pembinaan minda rasional dan matang dalam menilai sesuatu perkara.
Fenomena culture of fear ini harus ditangani secara pragmatik-realistik. Walau banyak pendedahan berkenaan kebobrokan dibuat, perubahan tidak akan berlaku tanpa keberanian.
Mahasiswa harus berani mencabar, sebagaimana diungkap oleh Prof Diraja Ungku Abdul Aziz “Belajar Sambil Mencabar” serta membina paradigma pembebasan (at-taharrur) dari belenggu penindasan dan ketakutan. Ayuh mahasiswa!!!
* Ahmad Farhan Bin Rosli ialah Exco Penerangan & Penyelidikan, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
Loading...
0 Response to "Mahasiswa penakut atau diajar takut?"
Posting Komentar