Loading...
Gambar hiasan |
Sudah pasti ibu bapa sibuk mempersiapkan anak masing-masing seperti membeli buku sekolah, pakaian seragam, menyelesaikan urusan van atau bas sekolah dan lain-lain lagi sepanjang minggu lalu.
Pada masa yang sama, pihak Kementerian Pendidikan, jabatan pendidikan daerah, pihak sekolah dan guru-guru juga pastinya sibuk membuat persiapan akhir menguruskan sesi baharu sekolah berjalan dengan lancar.
Bagaimanapun, sepanjang kesibukan orang ramai mempersiapkan anak masing-masing, mungkin ada satu perkara yang pihak berwajib terlepas pandang iaitu timbunan pelbagai borang yang perlu diisi secara bertulis oleh ibu bapa atau penjaga.
Budaya mengisi borang demi borang setiap kali sekolah bermula seakan-akan tiada penghujung dan kadangkala borang tersebut semakin bertambah setiap tahun.
Lebih parah jika sesebuah keluarga mempunyai ramai anak yang bersekolah dan setiap anak mempunyai satu set timbunan borang yang perlu diisi secara bertulis.
Amalan mengisi borang yang sama setiap tahun secara manual sudah berlarutan sejak berpuluh-puluh tahun lalu dan sudah sampai masanya dihentikan dan diganti dengan satu sistem berteknologi tinggi yang lebih canggih, mudah dan mesra pengguna.
Mungkin ada yang beranggapan semua ini perkara remeh dan tidak perlu diperbesarkan dan diberi perhatian.
Namun, dalam era teknologi canggih sekarang pelbagai aplikasi dalam talian boleh dibangunkan.
Adalah lebih baik jika pihak berwajib terutamanya Kementerian Pendidikan memperkenalkan satu sistem yang membolehkan ibu bapa mengisi borang dalam talian.
Borang dalam talian yang komprehensif merangkumi semua maklumat yang lengkap berkenaan murid, ibu bapa atau penjaga, maklumat waris kecemasan, senarai adik-beradik murid, pendapatan keluarga, alamat tetap dan salinan dokumen-dokumen seperti sijil kelahiran, MyKid dan lain-lain.
Dengan membangunkan sistem dalam talian seumpama ini, ibu bapa tidak perlu lagi mengisi borang yang sama berkali-kali setiap tahun kerana salinannya wujud secara digital dan boleh dikemas kini jika ada perubahan baharu.
Lebih praktikal sekiranya maklumat lengkap pelajar dan latar belakang yang diisi secara dalam talian oleh ibu bapa dari mana-mana terminal komputer menggunakan salinan nombor kad pengenalan dan kata lalu seperti e-filing yang dilaksanakan Lembaga Hasil Dalam Negeri.
Sistem itu juga boleh dikembangkan untuk dijadikan rujukan atau urusan pendaftaran lain seperti kelas agama, ko-kurikulum, tuisyen dan lain-lain.
Setidak-tidaknya sistem baharu itu disediakan sebagai alternatif sementara kaedah pengisian borang secara bertulis dikekalkan untuk ibu bapa yang tidak mempunyai kemudahan komputer dan internet.
Negara kita sebenarnya mempunyai ramai lulusan sains komputer dan berkebolehan untuk membangunkan sistem tersebut bagi pihak berwajib.
Sistem pendidikan negara menyasarkan untuk melahirkan lebih ramai yang celik teknologi maklumat, berinovasi dan kreatif tetapi kaedah pendaftaran sekolah anak-anak kita masih di takuk lama.
Saya bukannya mencadangkan rombakan besar-besaran pengurusan di peringkat sekolah, jabatan pendidikan mahupun Kementerian Pendidikan sebalik penambahbaikan secara berperingkat ke arah pengurusan secara digital seperti sektor kewangan dan perniagaan.
Kekalkan dahulu kaedah pendaftaran sedia ada sambil bangunkan serta laksanakan pendaftaran digital secara berperingkat sebelum cukup stabil untuk digunakan sepenuhnya oleh semua ibu bapa di negara ini.
Langkah ini juga sebenarnya mengurangkan beban guru dan pentadbiran sekolah menguruskan fail murid memandangkan semua maklumat yang diperlukan untuk sebarang situasi sudah ada dalam bentuk digital dan boleh diakses dari mana-mana alat elektronik dalam kawasan sekolah.
ZULKIFLI ABAS
Seremban, Negeri Sembilan
Loading...
0 Response to "Laksana pendaftaran murid awal tahun secara digital"
Posting Komentar