Loading...
Ketua Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad melahirkan kebimbangan terhadap visi yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang diberikan nama Transformasi Nasional 2050 (TN50).
Lukman berkata, perkara besar yang tertinggal dalam visi berkenaan ialah identiti Islam yang telah diiktiraf sebagai agama Persekutuan dan juga kebudayaan negara.
TN50 meletakkan agenda Islam hanya sebagai salah satu program dan kumpulan sokongan dan ia jelas menunjukkan TN50 telah mengenepikan identiti asas negara ini, katanya.
“Ya, terdapat program OIC Youth Capital sebagai salah satu program flagship (utama) dan juga kumpulan agama (merujuk kepada semua agama) sebagai salah satu kumpulan pakar yang akan memberikan kerjasama dalam menjayakan inisiatif ini, namun ia tidak memadai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, pembangunan belia di negara ini harus berteraskan agama, manakala dalam konteks umat Islam hendaklah berasaskan tarbiah Islam yang holistik.
“Ada kerisauan negara kita menuju ke arah mengiktiraf semua agama dan budaya bangsa adalah sama dan setaraf, atas nama 1Malaysia.
“Saya melihat ada sedikit elemen ini dalam TN50 apabila teras negara iaitu Islam dan Melayu tidak diperkasakan.
Selain itu, beliau berkata, program 100 Budaya Malaysia pula akan menenggelamkan budaya Melayu sebagai budaya teras negara.
Walhal, Melayu merupakan bangsa dengan komposisi terbesar di Malaysia dan perkara ini jelas sangat bahaya dan memberikan gambaran yang silap kepada dunia tentang identiti negara kita.
“Saya sering tekankan, anak muda perlu dipandu dan dibangunkan jati diri mereka yang telah lesu. Kita bukan sekadar bertanya apa yang mereka mahu? Tapi paling penting bertanya apa yang mereka perlu?
“Menggarap hasrat dan misi golongan belia di Malaysia semata-mata adalah bahaya jika kualiti generasi yang dibina tidak dibangunkan terlebih dahulu.
Sehubungan itu, sejajar dengan kebimbangan beliau terhadap visi baharu menggantikan wawasan 2020 ini, beliau berkata, pemuda Isma komited untuk menyumbangkan pandangan dan idea dalam projek pembangunan negara yang baik ini.
“Harapan kami pandangan para NGO akan turut didengari secara serius sebagai input TN50,” katanya. - ismaweb
Loading...
0 Response to "TN50 TIDAK PERKASAKAN Islam dan Melayu sebagai teras negara: Ketua Pemuda Isma"
Posting Komentar