Loading...

Peruntukan sekolah Cina dianggap "penghalang" perpaduan - Prof Teo Kok Seong

Loading...
Profesor Teo Kok Seong
KUALA LUMPUR: Masyarakat Melayu sering menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap peruntukan yang diberikan kerajaan kepada sekolah Cina kerana ia dianggap penghalang perpaduan, kata Prof Teo Kok Seong.
Felo utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, rata-rata sekolah Cina dilihat ‘tidak cukup’ nasional dan gagal melahirkan generasi yang memupuk perpaduan walaupun setelah lebih 60 tahun negara mencapai kemerdekaan.

“90% lepasan pelajar sekolah Cina masih tidak fasih berbahasa Melayu, mereka tidak bergaul rapat dengan bangsa lain seolah-olah berada dalam dunia sendiri – satu koloni Cina di Malaysia – sedangkan mereka tidak lagi dianggap pendatang.

“Apabila peruntukan tambahan diberikan kepada sekolah Cina, proses pembentukan negara dilihat terbantut, ia seperti penghalang kepada perpaduan,” katanya kepada FMT.
Apabila ditanya mengapakah sekolah Cina, terutama sekolah swastanya, sering menjadi sasaran, bukannya sekolah Tamil mahupun sekolah di Sabah dan Sarawak, beliau berkata, ini kerana kaum Cina mempunyai satu “kelebihan” yang tidak dimiliki kaum lain.

“Kaum minoriti seperti orang India atau etnik lain tidak mempunyai kuasa ekonomi seperti kaum Cina.

“Ramai mereka adalah ‘tauke’ yang mampu menjadikan sekolah Cina sama hebat seperti universiti awam. Mungkin ada peruntukan yang wajar diberikan, tetapi kerajaan perlu lebih berhati-hati dalam usaha meraih orang sokongan Melayu,” kata Teo.

Dalam pada itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd Isa pula menganggap peruntukan yang diberikan kerajaan tidak sepadan dengan keadaan sebenar sekolah di negara ini.
“Banyak sekolah kebangsaan berada dalam keadaan daif sedangkan sekolah Cina jauh lebih baik, tiada sebab untuk mereka menerima peruntukan yang besar.

“Orang Melayu marah bukan kerana perkauman, tetapi apabila peruntukan diberikan kepada sekolah Cina, sekolah kebangsaan dirasakan semakin ketinggalan,” katanya.

Pada awal Januari lepas, ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mempersoalkan pemberian dana khas kepada Kolej Universiti New Era kerana kerajaan tidak pernah menyatakan sebarang pemberian bantuan kepada institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) itu dalam Belanjawan 2019.

Kementerian Pendidikan bagaimanapun menafikan ia ada kaitan dengan dana khas yang diberikan itu, dan sebaliknya berkata, peruntukan tersebut bukan sebahagian daripada wang RM652 juta yang diperuntukkan dalam bajet negara, sebaliknya diberikan secara langusng oleh Kementerian Kewangan.
Dalam kenyataan terbaru mengenai peruntukan kepada sekolah menengah persendirian Cina tahun ini yang berjumlah RM12 juta, kementerian itu berkata, ia bukan merupakan peruntukan daripadanya.

“Sebaliknya ia adalah dana khas yang disalurkan terus oleh Kementerian Kewangan kepada sekolah terlibat,” katanya.

“Dalam kes yang dipertikaikan oleh beberapa pihak, peruntukan penyelenggaraan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) yang diumumkan oleh timbalan menteri pendidikan kebelakangan ini adalah peruntukan yang diluluskan untuk 2018, bukannya peruntukan 2019.

“Memandangkan peruntukan tersebut adalah peruntukan 2018, maka KPM perlu menyalurkan peruntukan tersebut ke Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) masing-masing sebelum penutupan akaun tahun 2018,” katanya.

Daripada jumlah tersebut katanya, sebanyak RM527 juta diperuntukkan kepada sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan agama (RM250 juta); sekolah jenis kebangsaan Cina (RM50 juta); sekolah jenis kebangsaan Tamil (RM50 juta); sekolah berasrama penuh (RM50 juta); sekolah agama bantuan kerajaan (RM50 juta); sekolah mubaligh (RM50 juta); sekolah menengah jenis kebangsaan/conforming school (RM15 juta) dan sekolah menengah persendirian Cina (RM12 juta).

“Manakala baki sebanyak RM125 juta diperuntukkan kepada Maktab Rendah Sains MARA (RM50 juta); sekolah tahfiz (RM50 juta) dan sekolah pondok yang berdaftar (RM25 juta)” kata KPM.

Sumber: Free Malaysia Today

Loading...

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "Peruntukan sekolah Cina dianggap "penghalang" perpaduan - Prof Teo Kok Seong"

Posting Komentar