Loading...

Pengasingan KPM dan KPT adalah langkah terbaik - NUTP

Loading...
KUALA LUMPUR: Pemisahan portfolio Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi berupaya memberikan lebih tumpuan dalam merungkai pelbagai isu, termasuk berkaitan peningkatan bebanan guru serta pengurusan sekolah harian.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang, berkata langkah penggabungan dua kementerian itu sebelum ini menyaksikan kira-kira 600,000 guru dan pensyarah institusi pengajian tinggi terpaksa bernaung dalam satu ‘keluarga besar’.

Bagaimanapun, katanya, pendekatan berkenaan menimbulkan beberapa kepincangan, khususnya dalam pengagihan tumpuan pengurusan, peruntukan kewangan, dasar khusus dan penetapan hala tuju mengikut kepentingan bidang tugas masing-masing.

“Bila hanya seorang menteri ditugaskan untuk menjaga pendidikan dan pengajian tinggi, maka ia satu bebanan besar kerana setiap komponen memerlukan tumpuan tersendiri bagi memastikan kemajuan berupaya dipacu mengikut garis masa yang ditentukan.

“Kalau nak ikutkan, kedua-duanya penting, tetapi dari segi beban tugas, sekolah perlu menangani isu berbangkit membabitkan 10,200 sekolah menengah dan rendah di seluruh negara, selain pengurusan hal ehwal 460,000 guru.

“Justeru, memang wajar diperuntukkan dua timbalan menteri bagi menggalas tugas dan tanggungjawab yang digariskan dalam Kementerian Pendidikan, diharapkan janganlah ‘dirujuk’ lagi pemisahan dua kementerian ini pada masa depan,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam ketika mengumumkan barisan Kabinet, melantik seorang menteri dan dua timbalan bagi portfolio Kementerian Pendidikan, manakala Kementerian Pengajian Tinggi menyaksikan seorang menteri dan timbalan menteri.

Jawatan Menteri Pendidikan kini disandang bekas Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Md Jidin, dibantu dua timbalan, iaitu Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon dan Ahli Parlimen Sungai Besar, Muslimin Yahaya.

Tugas Menteri Pengajian Tinggi digalas Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr Noraini Ahmad, manakala timbalannya ialah bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga kini Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Dr Mansor Othman.

Menyuarakan harapan baharu terhadap kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN), Aminuddin berharap isu berkaitan cadangan untuk mengembalikan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tidak lagi ditimbulkan.

Sebaliknya, beliau mengusulkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 terus diberikan perhatian utama, memandangkan rancangan strategik itu bakal tamat dalam tempoh lima tahun.

“Muhyiddin adalah tonggak pelaksanaan dan penggubalan PPPM ketika menggalas tugas sebagai Menteri Pendidikan dan Timbalan Perdana Menteri, justeru pelan ini harus diberikan tumpuan khusus supaya menyumbang kepada keberkesanan bidang pendidikan negara.

“Pastinya Muhyiddin tidak mempunyai sebarang sebab lain untuk membuat kajian semula terhadap dasar berkaitan, termasuk PPSMI kerana PPPM menggunakan perbelanjaan yang cukup banyak dan tenaga pakar dari dalam serta luar negara bagi menghasilkannya.

“Nasihat saya, usahlah menteri sedia ada menoleh ke belakang lagi dengan cuba mengembalikan dasar lama, sebaliknya teruskan usaha memacu kemajuan bidang pendidikan bersandarkan pelan semasa dulu,” katanya.
Loading...

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "Pengasingan KPM dan KPT adalah langkah terbaik - NUTP"

Posting Komentar