Loading...

Pemimpin pendidikan ialah arkitek pembina generasi masa hadapan - Menteri Pendidikan

Loading...
Berikut adalah ucapan YB Menteri Pendidikan Malaysia, Dato Seri Mahdzir Khalid di dalam Majis Dialog Profesional bersama peserta NPQEL Ambilan 1/2017 pada 23 Februari 2017 bertempat di Auditorium Perdana, Institut Aminuddin Baki, Bandar Enstek

Alhamdulillah, marilah kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan berkat limpah kurnia-Nya dapat kita bersama-sama hadir dalam Majlis Bicara Santai YB. Menteri Pendidikan Bersama Peserta NPQEL Ambilan 1/2017 ini.

Terima kasih kepada pihak IAB yang telah menganjurkan program ini. Syabas dan setinggi-tinggi tahniah kepada tuan-tuan dan puan-puan kerana terpilih mengikuti Program NPQEL Ambilan 1/2017.

Pada tahun 2017 ini, kita menghadapi permulaan yang mencabar ekoran kejatuhan harga minyak dunia dan kemelesetan ekonomi global.

Namun begitu, kekangan kewangan tidak menghalang Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memacu peningkatan sistem dalam Gelombang 2 PPPM (2013-2025). Inisiatif PPPM telah disusun dengan rapi dan dijajarkan dengan peruntukan sedia ada pada tahun lepas bagi memastikan tercapainya keberhasilan semua inisiatif yang dirancang.

Dalam Gelombang 2 khususnya, KPM sudah mula merancakkan lagi segala perubahan yang dirancang dalam Gelombang 1, khususnya pergerakan pengetua, guru besar dan guru kepada pakej kerjaya baharu.

Walau bagaimanapun, kita tidak harus tertumpu pada Gelombang 2 semata-mata. Kita juga perlu bersedia untuk menyambut kedatangan Gelombang 3 antara tahun 2021-2025 yang merupakan fasa terakhir PPPM (2013-2025).

Gelombang 3 akan memfokus kepada anjakan ke arah kecemerlangan dengan peningkatan keluwesan operasi. Pada permulaan Gelombang 3 ini, semua sekolah, guru dan pengetua/guru besar perlu menunjukkan prestasi melebihi standard minimum. Pada masa itu, semua pengetua/guru besar mesti berprestasi tinggi keseluruhannya.

Dengan kata lain, tuan-tuan dan puan-puan mesti bersiap siaga untuk menjadi pemimpin berprestasi tinggi sebagaimana yang digariskan dalam anjakan 5 PPPM.

MASA TELAH BERLALU ZAMAN TELAH BERUBAH

Masa telah berlalu, zaman telah berubah. Perubahan dan anjakan sentiasa berlaku. Teknologi baharu dan globalisasi membawa impak yang amat besar serta mengakibatkan perubahan politik, sosial dan budaya.

Perubahan ini memberi kesan yang mendalam kepada semua aspek kehidupan manusia, dan sudah tentu termasuk pendidikan. Namun begitu, apabila masyarakat telah berubah dan terus berubah, sekolah kita juga perlu berubah mengikut peredaran zaman. Walau bagaimanapun, sistem pendidikan negara kita masih kurang dinamik untuk mengikuti rentak perubahan dunia.

Sekolah, pemimpin sekolah, guru, murid, prasarana dan komuniti setempat tidak cukup pantas untuk bersaing dengan perubahan yang terlalu rancak mengakibatkan mereka ketinggalan zaman.

Mari kita membuat beberapa perbandingan tentang kemahiran bernilai tinggi masa dahulu dan kini:


  • Dahulu Knowledge is Power. Sekarang Application is Power.
  • Dahulu komunikasi amat penting, sekarang kecerdasan sosial (kolaboratif dan penyelesaian masalah).
  • Dahulu pembelajaran secara hafalan, sekarang pembelajaran kreatif berpusatkan murid.
  • Dahulu kecemerlangan peperiksaan diutamakan, sekarang pemikir yang inovatif diutamakan.
  • Dahulu celik huruf, sekarang celik digital.
  • Dahulu jaguh kampung, sekarang jaguh dunia


Segala contoh yang saya berikan itu mengingatkan kita bahawa, mahu tidak mahu, kita wajib menjadi pemimpin berwawasan. Pemimpin berwawasan adalah pemimpin yang mempunyai suatu pandangan visi serta misi yang jelas dalam organisasi. Pemimpin berwawasan sangatlah cerdas dalam mengamati sesuatu kejadian pada masa hadapan dan dapat menggambarkan visi serta misinya dengan jelas.

Mengikut Tony Bush (2000), kepimpinan merupakan satu proses untuk mempengaruhi organisasi berasaskan nilai dan kepercayaan yang jelas di samping mengurus visi sekolah. Visi ini digembleng dengan komitmen yang tinggi bersama-sama pengikut dan pelanggan untuk merealisasikan masa depan yang lebih cemerlang untuk sekolah, murid dan pelanggan.

Pemimpin berwawasan sentiasa berupaya membangkitkan semangat warga organisasinya dengan menggunakan motivasi dan imaginasinya. Pemimpin berwawasan membuat suatu organisasi lebih hidup, menggerakan semua komponen yang ada dalam organisasi, agar organisasinya dapat berkembang pesat.

PERANAN PEMIMPIN FUTURISTIK

Sebagai pemimpin, kita perlu sedar bahawa MASA HADAPAN adalah sangat penting dan HANYA MASA HADAPAN sahaja yang boleh kita kawal. Kita hanya dapat mengawal masa hadapan kerana kita tidak boleh menguruskan masa lalu. Apabila masa telah berlalu, tiada apa lagi yang boleh dilakukan. Kita hanya boleh mengubah keputusan yang lalu dengan membuat keputusan baharu sekarang.

Dengan kata lain, kita perlu mementingkan masa hadapan murid kita. Apabila murid kita sudah cukup dewasa untuk memasuki pasaran kerja, industri ataupun majikan tidak lagi mempunyai masa untuk melatih mereka kerana latihan itu melibatkan masa dan kos yang tinggi. Sistem pendidikan kita perlu menyediakan modal insan yang sedia untuk terus bekerja serta menyumbang tenaga kepada organisasi tersebut.

Kita sudah menitikberatkan kemahiran abad ke-21 dalam kalangan murid kita. Mereka perlu menguasai kemahiran komunikasi, kemahiran kolaboratif, kemahiran berfikir secara kritis, dan kreativiti. Kita perlu memberi peluang kepada murid untuk berangan-angan atau mempunyai impian kerana impian itu memberi visi dan idea bernas. Jika mereka mempunyai keazaman untuk melaksanakan impian atau idea tersebut, kejayaan adalah milik mereka.

KEPIMPINAN STRATEGIK

Dunia pendidikan kini semakin rencam dengan gelombang transformasi yang datang begitu deras dan pantas. Situasi ini terus mendesak pemimpin sekolah supaya lebih bersedia bagi mendepani cabaran tersebut. Sehubungan itu, pemimpin sekolah perlu sentiasa bersikap proaktif terhadap perubahan bagi memenuhi tuntutan dan keadaan semasa.

Semua ini memerlukan pemimpin sekolah menjana transformasi pemikiran masa depan agar selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang menjadi dasar negara. Pemimpin sekolah sebagai agen pelaksana dalam organisasi akan merealisasikan kelangsungan kerangka pelan ini. Aspek kepimpinan pendidikan, khususnya kepimpinan sekolah perlu menerima hakikat bahawa mereka berperanan menentukan kejayaan sekolah yang diterajui mereka.

Pemimpin pendidikan ialah arkitek pembina generasi masa hadapan. Mereka hendaklah sentiasa merancang dan melaksanakan program-program yang kreatif, inovatif dan mencabar agar modal insan yang dilahirkan akan lebih kompeten, berkarisma dan berketrampilan. Pemimpin seterusnya melahirkan generasi masa depan yang mampu bersaing di peringkat serantau dan global.

Pencapaian seperti inilah yang kita harapkan supaya tuan-tuan menjadi pengetua/guru besar berprestasi tinggi yang berupaya menerajui perubahan, fleksibel, futuristik, dan realistik. Pengetua/guru besar dapat memberi motivasi serta mengurus perubahan dalam organisasi, menentukan hala tuju yang positif dan berkekalan. Tuan-tuan perlu membayangkan tuan-tuan sebagai pengetua/guru besar yang mampu mengupayakan guru untuk berubah selaras dengan keperluan semasa dalam menyediakan murid untuk masa akan datang.

Pengetua/guru besar perlu berpandangan jauh ke hadapan kerana agenda pembangunan negara tidak terhenti pada tahun 2020 sahaja, malah akan diteruskan dengan pelaksanaan Transformasi Nasional 2050 (TN50). Untuk memenuhi agenda pembangunan negara serta memastikan negara kita mampu bersaing dengan negara lain, khususnya negara maju, kita memerlukan sumber tenaga pakar yang lebih ramai yang memilik kepakaran yang lebih menonjol di peringkat global. Bagi memenuhi hasrat dan keperluan tersebut, semua sekolah yang sedia ada tidak boleh beroperasi secara biasa lagi. Sekolah perlu beroperasi secara luar biasa bagi melahirkan murid-murid yang bersedia mengisi keperluan sumber tenaga pakar yang akan datang.

Sebagai pemimpin masa depan, tuan-tuan perlu bersiap sedia dalam menyediakan murid untuk kerjaya menjelang 2020 yang amat berbeza daripada kerjaya 20 tahun dahulu. Kini, kerjaya yang tidak pernah terjangkau dalam minda kita sebelum ini sudah wujud, misalnya cloud virtualization, mobile software engineering, simulation engineering dan connected intelligence.

PENUTUP

Cabaran pendidikan negara pada era ini amat rencam. Persoalannya, adakah tuan-tuan dan puan-puan sanggup untuk berhadapan dengan cabaran tersebut, lalu mengatasinya untuk menghasilkan modal insan yang memenuhi keperluan masa hadapan?

Saya tinggalkan persoalan itu untuk dijawab oleh tuan-tuan dan puan-puan.

Menteri Pendidikan
Dato Seri Mahdzir Khalid

jobs from my.neuvoo.com

Loading...

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :

0 Response to "Pemimpin pendidikan ialah arkitek pembina generasi masa hadapan - Menteri Pendidikan"

Posting Komentar