Loading...
SKANDAL 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak akan berlalu pergi. Sebuah buku dan filem mengenai syarikat pelaburan Malaysia yang sarat hutang hingga hampir RM42 bilion dan penyelewengan wang itu sedang disiapkan oleh dua kumpulan.
Antara dinamakan di dalam buku dan dokumentari itu termasuk Perdana Menteri Najib Razak yang juga bekas ahli lembaga penasihat 1MDB, ahli perniagaan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, bekas ketua eksekutif Shahrol Halmi, Hazem Abdul Rahman dan presiden terkini 1MDB Arul Kanda Kandasamy.
Yang lain termasuk pengarah syarikat Arab Saudi, PetroSaudi Tarek Obaid dan eksekutif Aabar dari Abu Dhabi, Khadem Al Qubaisi dan Mohammed Al Husseiny, syarikat yang pernah menjadi rakan kongsi dengan 1MDB dalam beberapa kerjasama.
Tom Wright dari Wall Street Journal (WSJ) yang banyak membuat laporan pendedahan mengenai 1MDB, sedang menyiapkan buku berkenaan sejak tahun lepas di mana dia menjanjikan akan ada “banyak lagi pendedahan”.
Syarikat penerbitan British, Salt Lick Films memulakan produksi dokumentari mengenai 1MDB dua tahun lalu dan menjalankan urus niaga penerbitan bersama dengan satu lagi syarikat, Roast Beef Productions dengan tarikh akhir tayangan perdana pada tahun ini.
Tidak diketahui adakah pengarang Sarawak Report Claire Rewcastle Brown terbabit dalam dokumentari itu tetapi dia yang melaporkan mengenai kerja produksi itu pada Mac lalu di portalnya yang membuat pendedahan mengenai 1MDB sejak 2015.
Sumber berkata penerbit dokumentari itu menemu bual beberapa pemimpin pembangkang dan aktivis mengenai skandal 1MDB yang kali pertama diketahui umum apabila syarikat pelaburan itu tidak melaksanakan bayaran bonnya.
Ahli politik pembangkang daripada DAP, Tony Pua dan Rafizi Ramli dari PKR antara yang terawal mendedahkan hutang 1MDB sebelum ia mendapat perhatian Sarawak Report dan WSJ.
WSJ menang Anugerah Scoop di Anugerah Persatuan Penerbit di Asia (SOPA) 2016 menerusi laporan
“Skandal 1MDB Malaysia” yang mendorong kepada pelancaran siasatan antarabangsa terhadap syarikat pelaburan negara itu dan juga liputan media seluruh dunia.
Wright, yang juga pengarang meja ekonomi edisi Asia memenangi Anugerah Wartawan SOPA 2016.
Pendedahan 1MDB juga meletakkan WSJ sebagai finalis bagi Kategori Laporan Antarabangsa dalam Anugerah Pulitzer di Amerika Syarikat, iaitu salah satu daripada beberapa pihak berkuasa yang menyiasat jejak laluan wang 1MDB.
Jabatan Kehakiman AS (DoJ) memfailkan tuntutan pada Julai 2016 memohon untuk menyita aset bernilai kira-kira AS$1 bilion yang didakwa dibeli menggunakan wang dicuri daripada 1MDB, menjadikan ia kes terbesar di bawah Inisiatif Perolehan Aset Kleptokrasi (KARI).
Kes 1MDB dilihat sebagai rampasan terbesar unit kleptokrasi itu di mana pendakwa AS memperincikan beberapa transaksi kewangan mengelilingi dunia dalam 136 halaman aduan. Kes itu masih belum selesai.
Pihak berkuasa di negara jiran Singapura juga memulakan siasatan kes berkaitan 1MDB, termasuk mendakwa beberapa warganegaranya atas kesalahan yang ada kaitan dengan syarikat pelaburan itu.
Seorang warga asing turut didakwa dalam siasatan negara itu terhadap 1MDB.-themalaysianinsight.com
Loading...
0 Response to "Buku, filem skandal 1MDB sedang disiapkan"
Posting Komentar